Isteri PM Singapura bawa dompet RM45 ke White House



Isteri PM Singapura bawa dompet RM45 ke White House

PETALING JAYA: Isteri perdana menteri Singapura yang dilihat hanya membawa sebuah dompet berharga S$14.80 (RM44.60) ketika lawatan rasmi bersama suaminya ke White House kelmarin menerima pujian ramai.

Dompet yang dikepit isteri kepada Lee Hsien Loong, ketika pasangan itu disambut secara rasmi oleh President Barack Obama dan isterinya Michelle Obama, merupakan antara yang dijual The Art Faculty, sebuah kedai online yang menjual hasil seni pelajar kurang upaya dan autistik di Sekolah Pathlight.

Di bawah program tersebut, pelajar boleh menerima royalti hasil jualan reka seni mereka di samping mempertingkatkan kemahiran.

Dompet yang dipegang Puan Lee menampilkan lukisan berbentuk dinosaur, dan merupakan hasil seni Seetoh Sheng Jie, 19, seorang pelajar yang sangat berminat dengan seni berkonsepkan haiwan purba itu.

“Kami teruja dan menganggap satu penghormatan melihat beliau membawa beg itu ketika lawatan rasmi,” kata pengarah pembangunan seni di Sekolah Pathlight, Loy Sheau-Mei, kepada The Straits Times.

Akhbar itu melaporkan Puan Lee, yang merupakan penaung Persatuan Autisme Singapura, membeli dompet itu ketika menghadiri pertunjukan konsert amal Sabtu lalu bagi mengutip derma membantu perkhidmatan sokongan golongan autistik.

No comments

Powered by Blogger.