TONGKAT ALI & KACIP FATIMAH BUKTI PENGARUH SYIAH DALAM MASYARAKAT ALAM MELAYU?



TONGKAT ALI & KACIP FATIMAH BUKTI PENGARUH SYIAH DALAM MASYARAKAT ALAM MELAYU?

Saya pernah ditanya seseorang tentang herba istimewa alam Melayu yang dinamakan sempena nama Saidina Ali dan Saidatina Fatimahرضي الله عنهما sama ada ia bukti pengaruh Syiah dalam Alam Melayu. Beliau juga sangsi kerana Islam turut dibawa ke Nusantara oleh pendakwah Parsi, maka boleh jadi masyarakat di Alam Melayu dahulu menganut fahaman Syiah.

Jawapan saya :

1) Dakwaan pengaruh Syiah itu hendaklah dibuktikan terlebih dahulu. Tanpa bukti, ianya hanyalah sangkaan semata2.

2) Yang membawa Islam ke Nusantara rata2nya ialah pendakwah2 berakidah ASWJ Asya’irah -Maturidiyyah & bermazhab fiqh Syafie. Sama ada gerombolan pendakwah dari Yaman, Parsi atau Gujerat, mereka adalah pendakwah Asya’irah bermazhab Syafie. Buktinya, akidah dan mazhab rasmi (majoriti) di Alam Melayu /Nusantara adalah seragam iaitu ASWJ Asya’irah Syafi’iyyah. Dari Champa, Aceh, Sumatera, Jawa, Brunei, Kalimantan, Sulawesi hinggalah ke Selatan Filipina. Malah penganut Syiah sangat asing di wilayah ini. Secara logiknya, para mad’u yang dulu beragama Hindu-Budhha pasti akan mengikuti fahaman para da’i.

3) Memang benar, antara pendakwah yang ramai membawa Islam ke Nusantara adalah dari Parsi. Namun kita perlu tahu bahawa wilayah Parsi (Iran) bertukar menjadi wilayah Syiah hanya selepas tahun 1501 ketika Kerajaan Shafawi mula memerintah Iran. Ketika ini pegangan ASWJ di Nusantara sudah pun kukuh & meluas (well established).

Kerajaan Shafawi menukarkan pegangan bangsa Parsi dari ASWJ kepada Syiah dengan perang & paksaan. Sebelum tahun 1501, majoriti bangsa Parsi di Iran berakidah ASWJ & bermazhab Hanafi dan Syafie. Sebab itu ramai di kalangan ulama2 Parsi yang masyhur & lahir di Iran sebelum penguasaan Dinasti Shafawi, berakidah ASWJ Asya’irah -Maturidiah & bermazhab Syafie seperti Imam Al Ghazali (pengarang Ihya’ Ulumuddin), Abu Nu’aim Al Isfahani (pengarang Hilyatul Auliya’), Imam Baihaqi (pengarang Syu’abul Iman & Sunan Al Kubra) & ramai lagi.

4) Sekurang2nya tiga orang pembesar Melaka yang bernama Umar. Tun Umar anak Seri Bija Diraja, Khoja Umar anak Khoja Muhammad Syam dan Tun Umar anak Seri Wak Raja. Di samping itu ulama besar Kesultanan Melaka bernama Maulana Abu Bakar. Sekuat manapun seseorang Syiah itu bertaqiyyah, mereka tidak akan sama sekali menamakan anak-anak mereka dengan nama Abu Bakar & Umar. Kebiasaan orang2 Melayu menamakan anak2 mereka dengan nama Umar membuktikan mereka bukan Syiah.

5) Mencintai Saidina Ali & Ahlil Bait yang lain memang tuntutan dari Rasulullah SAW & ianya thabit dengan hadith2 sahih & hasan. Sebagai contoh Imam At Tirmidzi meriwayatkan :-

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخَذَ بِيَدِ حَسَنٍ وَحُسَيْنٍ فَقَالَ مَنْ أَحَبَّنِي وَأَحَبَّ هَذَيْنِ وَأَبَاهُمَا وَأُمَّهُمَا كَانَ مَعِي فِي دَرَجَتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Rasulullah SAW pernah memegang tangan Hassan dan Hussain sambil bersabda, “Barangsiapa yang mencintaiku, mencintai kedua-dua anak ini, (Hasan dan Husain) dan ayah (Ali) serta ibu (Fatimah) mereka berdua, maka dia akan bersamaku pada hari kiamat”. (Jami’ At Tirmidzi. Hadith No. 3695)

Kecintaan terhadap Saidina Ali & Ahlil Bait inilah yang diajar oleh pendakwah2 Islam kepada masyarakat di Nusantara. Dengan sebab itu, sultan2 Melaka dinamakan dengan nama2 Ahlil Bait seperti Raja Ibrahim (Sultan Abu Syahid), Raja Kassim (Sultan Muzaffar), Raja Abdullah (Sultan Mansur) & Raja Hussain (Sultan Ala’uddin). Atas sebab itu juga, dua herba istimewa itu dinamakan tongkat Ali & kacip Fatimah sempena nama dua insan yang disayangi Rasulullah SAW.

Kefahaman yang ‘elergik’ dengan nama Saidina Ali & Ahlil Bait ini sangat bahaya. Apa sahaja yang bersangkutan dengan nama Ali, Fatimah & Ahlil Bait akan dikatakan dari Syiah. Kefahaman begini bertentangan dengan tuntutan Nabi SAW yang menyuruh kita mencintai Saidina Ali & Ahlil Bait. Ia sebenarnya sama bahaya dengan kefahaman yang mendewakan & memaksumkan Saidina Ali.

والله أعلمُ بالصواب
Hasanuddin Yusof
Maktab Penyelidikan
Tamadun Islam Nusantara

No comments

Powered by Blogger.