PENYERTAAN DATUK HUSAM MUSA DI DALAM MAJLIS PORTAL BERITA SOKMO.NET MENGUATKAN LAGI DAKWAAN WUJUDNYA PAKATAN ANTARA AMANAH DAN UMNO UNTUK MENJATUHKAN PAS DI KELANTAN



PENYERTAAN DATUK HUSAM MUSA DI DALAM MAJLIS PORTAL BERITA SOKMO.NET MENGUATKAN LAGI DAKWAAN WUJUDNYA PAKATAN ANTARA AMANAH DAN UMNO UNTUK MENJATUHKAN PAS DI KELANTAN

Bulan lalu, seorang rakan memaklumkan kononnya Naib Presiden AMANAH, Datuk Husam Musa, telah mendapat restu daripada seorang pemimpin veteran UMNO Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah, untuk menjadi Menteri Besar Kelantan yang baru selepas PRU 14.

Berita ini bagaimanapun tidak saya pandang serius kerana kesukaran untuk memikirkan logik bagaimana Tengku Razaleigh, yang bukan pun menjawat jawatan Pengerusi UMNO Kelantan, boleh mempengaruhi UMNO Kelantan untuk menyokong Datuk Husam.

Pada masa yang sama, dakwaan bahawa wujudnya kerjasama antara PAS dan UMNO di Kelantan di dalam PRU 14, selain ditepis berkali-kali oleh Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapha Mohamed, turut dinafikan oleh para pemimpin PAS Kelantan.

Di dalam menafikan kerjasama antara PAS dan UMNO di Kelantan di dalam PRU 14 ini, kerap kali pula para pemimpin PAS Kelantan menyebut bahawa AMANAH dan UMNO-lah yang sebenarnya sedang berpakat untuk menjatuhkan PAS di Kelantan di dalam PRU 14.

Malam tadi, 28 Disember, Datuk Husam, yang merupakan bekas Ahli EXCO Kanan Kerajaan Negeri Kelantan, hadir sebagai tetamu di dalam majlis “Bicara Anak Kelantan” anjuran portal berita Sokmo.Net di Dewan Kayangan, Hotel Crystal Lodge, Kota Bharu.

Moderator di dalam majlis ini ialah bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad, yang bertindak keluar dari PKR untuk menyertai UMNO pada 22 April 2010, tiga hari sebelum hari pengundian PRK Hulu Selangor.

Desas-desus yang berlegar kuat di kalangan orang ramai ialah portal berita Sokmo.Net ini mendapat pembiayaan daripada UMNO Kelantan dan ini diperkuatkan lagi dengan paparan pelbagai gambar dan aktiviti Datuk Seri Mustapha di dalam page portal berita ini.

Penyertaan Datuk Husam di dalam majlis anjuran portal berita yang dikaitkan dengan UMNO Kelantan dan yang dimoderatekan oleh aktivis UMNO Kelantan menguatkan lagi dakwaan wujudnya pakatan antara AMANAH dan UMNO untuk menjatuhkan PAS di Kelantan.

Persepsi orang ramai adalah bahawa Datuk Husam dan UMNO Kelantan saling cuba mempergunakan di antara satu sama lain bagi membolehkan kritikan-kritikan keras terhadap Kerajaan Negeri Kelantan dapat disuarakan dengan lebih berkesan dan lebih meluas.

Itulah yang kelihatan berlaku pada malam tadi di mana Datuk Husam telah membuat pelbagai pendedahan mengenai pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan di samping mendorong moderator mengemukakan tuntutan tertentu terhadap Kerajaan Negeri Kelantan.

Malah, Datuk Husam juga telah menyerahkan dokumen Kerajaan Negeri Kelantan yang didakwa ditandatangani oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob, membabitkan Jambatan Kedua Sdn Bhd kepada moderator “sebagai akuan dan saksi bahawa (beliau) ada dokumen ini”.

Menariknya, ketika ditanya oleh moderator yang kelihatan bimbang kemungkinan dokumen ini melanggari Akta Rahsia Rasmi, “Tidak OSA ni dih?”, Datuk Husam telah menjawab, “Tak apalah OSA pun, berjuang kan, kalau kena jel sekali dengan moderator masuk”.

Lebih dari itu, Datuk Husam juga kelihatan cuba memberi gambaran bahawa Kerajaan Negeri Kelantan yang dipimpin oleh Datuk Ahmad pada waktu ini lebih teruk berbanding Kerajaan Negeri Kelantan yang ditinggalkan oleh Tan Sri Mohamed Yaacob dulu.

Antara lain, kata Datuk Husam: “KELKON yang dulunya ditinggalkan oleh Tan Sri Mohamed Yaacob ada cash, kalau tak silap saya ada dalam fixed deposit KELKON hampir RM60 juta kalau tak silap saya, tetapi pada hari ini KELKON sudah tidak wujud”.

Tambah Datuk Husam lagi: “KPK (Kompleks Perkayuan Kelantan Sdn Bhd) semasa Tan Sri Mohamed Yaacob (ada) beratus orang pekerja, hari ini ada lapan orang sahaja pekerja KPK, jadi bermakna rakyat Kelantan anak muda telah dinafikan peluang kerja.”

Kesimpulannya, majlis malam tadi kelihatan menepis terus dakwaan wujudnya kerjasama antara PAS dan UMNO di Kelantan sebaliknya menguatkan lagi dakwaan wujudnya pakatan antara AMANAH dan UMNO untuk menjatuhkan PAS di Kelantan di dalam PRU 14.

Bagaimanapun, sama ada UMNO mendapat laba daripada majlis ini adalah soal lain pula kerana beberapa kali juga Datuk Husam kelihatan turut membedal UMNO, termasuk dengan menyebut “orang marah kor PAS tapi marah kor UMNO tu berat lagi pada marah kor PAS”.

No comments

Powered by Blogger.