Berbeza pendapat tetapi usah berpecah
Seorang peserta Seminar Islam, Politik dan Kerajaan di Johor Bahru baru-baru ini membandingkan pendapat yang dikemukakan seorang pembentang kertas kerja dengan perpecahan di kalangan orang Melayu sekarang. Katanya, kalaulah kita orang Melayu menghayati ajaran Islam, tentulah kita tidak berpecah.
Peserta ini seorang ahli politik kecil dari Muar. Menurutnya, dia mengikuti senario politik tanah air, terutama apa yang berlaku di antara orang UMNO dengan orang Pas.
Katanya, “Saya pening memikirkan bilalah orang Melayu dapat mengikuti ajaran yang baik tentang perbezaan pendapat seperti yang pernah berlaku di zaman Rasulullah.”
Peserta ini barangkali tercuit hatinya setelah mendengar pembentang kertas kerja, Timbalan Rektor Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), Prof. Datuk Dr. Abdullah Mohd. Zain yang bertajuk “Adab-adab Mengendali Perbezaan Pendapat Menurut Islam.” Terlalu banyak iktibar yang diperoleh daripada kertas kerja itu. “Islam begitu mulia untuk sesama umatnya berpecah,” kata peserta itu.
Pandangan Dr. Abdullah itu memang relevan dalam keadaan masyarakat Melayu yang kini berpecah akibat fahaman fanatik politik sempit. Dr. Abdullah sedih kerana ada di kalangan aktivis Islam yang tidak menjaga dan menghargai perbezaan pendapat dan pandangan.
Malah ia menyebarkan benih-benih perpecahan dalam masyarakat. Aktivis seperti ini sentiasa sahaja meniupkan api permusuhan. Perhatiannya sentiasa terfokus kepada titik-titik perbezaan dan perselisihan, bukan kepada titik-titik menguat dan menyempurnakan. Mereka sangat fanatik kepada jemaahnya dan menganggap jemaah lain tidak berada di pihak yang benar.
Mesej daripada pandangan Dr. Abdullah itu jelas, iaitu unsur fanatik yang mengakibatkan perpecahan dan permusuhan itu amat berbahaya, hanya disebabkan pendapat yang berbeza. Oleh yang demikian, apa yang diperlukan seperti yang disebut Dr. Abdullah iaitu satu gerakan Islam yang menganut pelbagai aliran dan mengamalkan manhaj itu memerlukan kesedaran yang mendalam tentang cara terbaik mengendalikan sebarang perbezaan pendapat menurut ajaran Islam.
Mudah dikata tetapi sukar dikota. Inilah keadaannya hari ini. Ada sahaja golongan daripada pelbagai aliran yang melihat tertib mengendalikan perbezaan pendapat itu tidak selari dengan perjuangan mereka. Ada pula golongan yang menjadikan perbezaan pendapat sebagai cara untuk memperluas pengaruh, walaupun akibatnya kita sudah sama-sama maklum. Pendek kata seperti yang dirumuskan oleh seorang peserta lain, perbezaan itulah yang membolehkan golongan fanatik melebarkan sayap pengaruhnya.
Abdullah banyak memberikan contoh-contoh bagaimana perbezaan pendapat itu boleh dianggap sebagai satu rahmat. Abdullah mengutip sabda Rasulullah. Dengan kata lain, ada masa-masanya Islam bersetuju untuk tidak bersetuju. Malah pendapat yang berbeza perlu dihormati. Salah satu contoh terbaik ialah perbezaan pendapat antara Imam Shafie dengan Abu Hanifah tentang amalan qunut ketika solat subuh. Imam Shafie berpendapat bacaan doa qunut hendaklah dilakukan sementara Abu Hanifah pula ia tidak diperlukan. Setelah Imam Shafie berhijrah ke Kufrah, di tempat tinggal Abu Hanifah dan menjadi imam solat subuh, Shafie meninggalkan qunut. Imam Shafie menghormati pendapat Abu Hanifah.
Cuma masalahnya, Imam Shafie dan Abu Hanifah tidak menggunakan agama untuk kepentingan politik. Mereka bukan orang politik, dan tidak mempunyai kepentingan apa sekalipun, kecuali mendekatkan diri dengan Rabul Alamin. Bagi mereka, Islam bukan cara atau alat tetapi Islam merupakan sebahagian daripada kehidupan yang mampu menggerakkan dinamisme masyarakat.
Di kalangan ulama di alam Nusantara, Dr. Abdullah menanggapi pandangan seorang peserta wanita seminar yang terasa terkilan kerana contoh-contoh yang diberikan Abdullah hanya berkisar kepada ulama Arab dan tidak ulama Malaysia. Apakah ada contoh-contoh terbaik yang boleh diangkat dari daerah Melayu sendiri? Dalam hal ini Dr. Abdullah menyatakan kekagumannya dengan pandangan ulama Indonesia, Hamka. Bagi Dr. Abdullah, Hamka merupakan salah seorang ulama besar yang memanfaatkan perbezaan pendapat untuk meningkatkan syiar Islam.
Sebagai contoh Hamka pernah berbeza pendapat tentang siapa yang patut hadir dalam kuliah subuh. Kuliah ini sebenarnya biasa dilakukan oleh umat Islam di Indonesia baik sebelum atau sesudah subuh. Dan ia dilakukan pada hari Ahad (hujung minggu). Hamka mempunyai pandangan bahawa sesiapa sahaja boleh hadir dalam kuliah subuh, walaupun wanita yang berpakaian tidak menutup aurat seperti mini skirt. Hamka melihat kuliah subuh sebagai proses dakwah yang paling efektif. Beliau tidak memaksa. Menurut Hamka paling tidak wanita seumpama itu mendengar apa yang dikuliahkan. Bukankah itu lebih baik daripada memintanya meninggalkan dewan kuliah. Siapa tahu dengan pendengaran bertubi-tubi kali, wanita seumpama itu akan sedikit demi sedikit berubah sikap. Daripada memakai mini skirt, dia akan mula memakai pakaian menutup aurat.
Bagi Dr. Abdullah sikap Hamka itu patut dimiliki oleh pendakwah Islam dan tidak melihat serong terhadap golongan yang masih belum menghayati tertib berpakaian dalam Islam. Selain Hamka, Dr. Abdullah menghormati pandangan dan pemikiran Syed Sheikh al-Hadi yang berdakwah melalui medianya.
Demikianlah, Dr. Abdullah membincangkan tertib mengendalikan perbezaan pendapat. Baginya tidak perlu ada bertegang leher atau permusuhan, hanya kerana pandangan dan pendapat yang berbeza. Ikutilah contoh dan ambillah iktibar daripada perbezaan pendapat di kalangan ulama yang berakhir dengan satu persetujuan bersama seperti sabda Nabi s.a.w bahawa perbezaan pendapat adalah rahmat.
Dalam politik, perpecahan dapat dielakkan sekiranya perbezaan pendapat dikendalikan dengan tertib tanpa memanfaatkan keadaan untuk kepentingan golongan tertentu. Barangkali akan lebih baik jika apa yang dirumuskan oleh Dr. Abdullah dalam kertas kerjanya itu diteliti dan dimanfaatkan. Abdullah menyenaraikan lima adab yang perlu dijaga oleh golongan yang terlibat dalam perbezaan pendapat.
Pertama, perbezaan pendapat jangan sampai membawa perpecahan di kalangan umat Islam. Kedua, perbezaan pendapat jangan sampai meminggirkan hak persaudaraan Islam kerana Islam sangat menekankan kepentingan hak-hak persaudaraan dan perpaduan. Ketiga, umat Islam harus menghormati pendapat yang berbeza. Keempat, janganlah menggunakan pendekatan yang kasar dan keras ketika mengemukakan pendapat yang berbeza. Dan kelima, berikanlah kelonggaran kepada mereka untuk membuat pilihan.
Ertinya, jangan terlalu ketat menghukum sesuatu perkara itu halal atau haram. Perlu ada apa yang diistilahkan oleh Dr. Abdullah sebagai zon kelonggaran dan neutral yang dalam Islam ia sangat luas. Zon ini jangan ditutup rapat ataupun dibuka sempit. Kata Dr. Abdullah, aliran pengetat atau al-tashaddud wa al-azimah sepatutnya mengambil kira keadaan umum majoriti umat Islam seperti kemampuan penghayatan Islam, baru mula berjinak dengan ajaran Islam dan baru memeluk agama Islam.
Jika kelima-lima adab perbezaan pendapat ini diamalkan oleh umat Islam di Malaysia atau di mana sahaja umat Islam berada, maka diyakini satu perubahan sikap yang menyeluruh akan dapat dilakukan. Sehingga dengan demikian perbalahan dan pergaduhan akan digantikan dengan persatuan dan persaudaraan di kalangan umat Islam. Di Malaysia akan muncul satu umat Melayu yang akan bersatu dalam komitmen menyebarkan syiar Islam walaupun mempunyai aliran politik yang berbeza.
Apakah mungkin dapat dihalang aliran politik yang berbeza daripada memutuskan tali silaturahim dan meleraikan ikatan fanatik pengikut-pengikutnya? Apakah umat Islam di negara ini, terutamanya dapat mengambil iktibar daripada pandangan Hassan al-Banna?
Menurut Hassan, beliau berpegang dengan satu pendapat, lalu beliau memohon maaf sebanyaknya bagi mereka yang berbeza dengan beliau dalam perkara cabang.
“Kami sentiasa berpendapat ia bukanlah penghalang kepada perpaduan, kasih sayang dan kerjasama untuk kebaikan… bukankah kita orang Islam dan begitu juga mereka?” ujarnya.
Seminar Islam, Politik dan Kerajaan anjuran kerajaan Johor baru-baru ini yang dihadiri pelbagai lapisan masyarakat seperti orang politik, ekonomi dan pentadbiran merupakan tempat menghening cipta dan introspeksi diri umat Islam sendiri. Setidak-tidaknya soalan Menteri Besar Johor, Datuk Ghani Othman, di mana silapnya umat Islam begitu dihina dan lemah terjawab juga.
Menghindarkan polemik dan perdebatan tentang isu siapa lebih Islamik dapat menghindarkan pelunturan semangat persaudaraan seagama. Dan yang lebih penting kata Ghani, perpaduan ummah adalah berasaskan ukhuwah Islamiah dengan mengetepikan kepentingan peribadi, suku, puak, darjat, perbezaan politik dan sebagainya.
- A.F. Yassin ialah pengkaji sastera dan dunia Melayu.

No comments
Post a Comment