Kenikmatan orang yang mati syahid

Hadis
Oleh FARIDAH MOHAMED SANI
Dialog yang tertera di atas adalah antara Allah s.w.t. dengan hamba-Nya, Abu Jabir yang telah mati syahid dalam peperangan Uhud. Abdullah bin Amr bin Haram, atau lebih terkenal dengan panggilan Abu Jabir, pernah menyertai Rasulullah s.a.w. dalam peperangan Badar dan Uhud.

Beliau merupakan salah seorang sahabat daripada kaum Anshar, yang menyerahkan seluruh jiwa raga, harta benda dan keluarganya kepada Allah s.w.t. Anaknya yang bernama Jabir bin Abdullah juga termasuk salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w.

Ketika dalam peperangan Uhud, sebelum kaum Muslimin berangkat ke medan pertempuran, Abu Jabir mendapat firasat bahawa dia tidak akan kembali lagi dari medan perang. Dengan hati gembira dan senang, dia membayangkan kematiannya sebagai seorang syahid yang pertama di antara kaum Muslimin dalam peperangan tersebut.

Dalam peperangan Uhud ini, pada mulanya kaum Muslimin mendapat kemenangan yang diharapkan, tetapi tiba-tiba pasukan pemanah yang telah diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. supaya tetap berada di tempat masing-masing, mengingkari perintah baginda dengan meninggalkan kubu pertahanan di atas bukit, kerana berebut mengumpulkan harta rampasan yang ada.

Melihat peristiwa ini, pihak musuh yang telah mengalami kekalahan, dengan segera mengumpulkan sisa-sisa kekuatan mereka untuk menyerang kembali kaum Muslimin yang sedang sibuk mengumpulkan harta rampasan, dari sebelah belakang.

Dalam pertempuran dahsyat yang akhirnya mengakibatkan kekalahan pada kaum Muslimin, Abu Jabir bertempur dengan sekuat tenaga dan seluruh kemampuannya untuk mempertahankan agama Allah yang suci.

Sebaik sahaja peperangan tamat, kaum Muslimin pun bersurai untuk mencari saudara-saudara mereka yang gugur sebagai syuhada. Jabir bin Abdullah, akhirnya menemui mayat ayahnya yang telah dicincang oleh kaum musyrikin. Peperangan Uhud merupakan peperangan yang terakhir bagi Abu Jabir, yang selama ini bercita-cita untuk menjadi seorang Muslim yang syahid.

Setelah lama Abu Jabir meninggal dunia. Rasulullah s.a.w. menceritakan kepada Jabir suatu peristiwa penting yang menggambarkan tentang keinginan dan harapan ayahnya yang paling besar, iaitu mati syahid, dan khabar gembira mengenai ayahnya yang telah dapat bercakap-cakap secara langsung dengan Tuhannya.

Baginda s.a.w., bersabda: “Wahai Jabir, Allah hanya berfirman kepada seseorang dari balik tabir. Belum pernah Dia berfirman secara langsung, kecuali dengan ayahmu, Abu Jabir.” Selanjutnya Nabi s.a.w. pun menceritakan perbualan antara Abu Jabir dengan Allah s.w.t. sebagaimana yang telah dicatatkan di atas.

Dalam tanya jawab tersebut, Allah s.w.t. menyuruh Abu Jabir memohon sesuatu yang diidam-idamkannya kepada Allah. Tetapi dia hanya meminta supaya dihidupkan kembali ke dunia, dengan harapan agar dia dapat mengalami syahid buat kali kedua. Permohonan ini dibuat oleh Abu Jabir, setelah dia merasakan dan melihat balasan serta nikmat yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada para syuhada.

Namun Allah s.w.t. telah menetapkan ketentuan-Nya, iaitu setiap makhluk yang telah meninggal dunia tidak akan dihidupkan kembali. Oleh kerana itu Abu Jabir memohon kepada-Nya supaya memberitahu orang-orang yang masih hidup tentang kenikmatan orang yang syahid.

Dalam riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Al-Hakim, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah menjadikan roh-roh saudaramu yang gugur dalam peperangan Uhud sebagai burung-burung hijau yang mengunjungi sungai-sungai di syurga dan memakan buah-buahan yang ada di dalamnya.

“Mereka terbang bebas sehingga menghampiri lampu-lampu yang bergantungan di bawah naungan `Arsy.” Menurut Ibnu Majah, setelah Abu Jabir meminta kepada Allah s.w.t. supaya menyampaikan khabar tentang nikmat yang telah diterimanya, maka Allah s.w.t. pun menurunkan ayat 169 daripada surah Ali Imran untuk memenuhi permohonannya itu. “Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki.”

Selanjutnya Allah s.w.t. menggambarkan para syuhada di syurga: “Mereka dalam keadaan gembira disebabkan kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada mereka, dan mereka bergirang hati terhadap orang-orang yang masih tinggal di belakang yang belum menyusul mereka, bahawa tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (Ali Imran: 170).

Untuk menggambarkan lagi nikmat orang yang mati syahid Nabi s.a.w. bersabda: “Tidak ada seorang pun yang ingin kembali ke dunia setelah dimasukkan ke dalam syurga, walaupun dia mempunyai kekayaan yang paling banyak di dunia kecuali orang yang mati syahid. Dia ingin kembali lagi ke dunia supaya terbunuh lagi dalam perang fi sabilillah sebanyak sepuluh kali kerana dia telah melihat kehormatan dan kemuliaan yang diberikan kepada orang-orang yang mati syahid.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

No comments

Powered by Blogger.