Bajet gula-gula rosakkan kesihatan

Saban tahun pada September atau Oktober, setiap daripada kita akan tertumpu kepada Bajet – yang bermakna ‘belanjawan’ tetapi ditukar istilahnya (dialih bahasa dari perkataan Inggeris ‘budget) tanpa bangkangan dari Dewan Bahasa dan Pustaka.

“Orang ramai menunggu-nunggu apakah ‘gula-gula’ yang akan disediakan oleh kerajaan; adakah cukai pendapatan kita akan dipotong? Adakah subsidi diteruskan? Adakah rebat cukai jalan disambungkan?” – ikhtisar buku The Budget: How the Government is spending OUR oney.

Bagi meneruskan legasi pemerintahan, setiap kali pembentangan bajet, kerajaan akan menyifatkan bajet mereka – kata pengarang buku The Budget Teh Chi-Chang – sebagai “bajet rakyat” lah, “bajet mesra” lah, “bajet pertumbuhan” lah.

Menurut The Budget yang baru diterbitkan oleh Research for Social Advancement (Refsa), kita perlu mengetahui sesuatu yang menakjubkan apabila meneliti ‘gula-gula’ yang dibentangkan, yakni, apa juga ‘gula-gula’ yang diberikan, jumlah tersebut sebenarnya disumbangkan oleh kita – pembayar cukai.

Kita juga perlu menyedari bahawa “Pembentangan itu dipanggil Bajet kerana kerajaan mempunyai sejumlah wang yang tetap yang perlu diusahakan setiap tahun. Kerajaan memperolehi wang yang dibelanjakan daripada cukai pendapatan dan korporat. Kerajaan juga mendapat perolehannya dari pelbagai eksais, duti tarif dan sudah tentu dari royalti minyak.”

Buku itu juga menerangkan perbelanjaan digunakan untuk membayar kakitangan kerajaan, membiayai penjagaan kesihatan dan pendidikan; juga pembangunan nasional dan ‘gula-gula’.

Setiap ringgit dari ‘gula-gula’ yang kita hisap akan dikurangkan dari perbelanjaan yang diperuntukkan. Sebagai contoh, peruntukan dari penjagaan kesihatan atau pendidikan akan dikurangkan untuk diberikan sebagai ‘gula-gula’ yang diumumkan.

Duit kita hangus

Teh Chi-Chang

Mengimbas kembali bajet lepas, RM47.8 bilion diperuntukkan tahun 2009 bagi tujuan ‘pendidikan dan latihan’. Mengikut kiraan penulis buku Teh, jumlah ini bersamaan RM8,000 diperuntukkan untuk mendidik setiap seorang murid yang berada di bangku sekolah.

Maka timbullah soalan ini: Kenapa pula ramai para ibubapa merasakan diri terpaksa menghantar anak-anak mereka ke sekolah swasta atau kelas tuisyen? Pertanyaan Teh: “Apa sudah terjadi kepada duit semua itu?”

Melihat kepada laporan media arus perdana, mereka hanya menjurus dan memfokuskan kepada ‘gula-gula’ kerana perkara itu akan mengelak daripada perbincangan dan perdebatan mengenai isu-isu yang lebih mustahak termasuk akauntabiliti dan pilihan.

Seperti yang diketahui, media arus perdana akan berat sebelah dalam laporan mereka dengan tidak mengenengahkan bidangan makroekonomik yang dibelanjakan oleh kerajaan berjumlah RM200 bilion setiap tahun itu. Perbelanjaan termasuk penyediaan infrastruktur yang melibatkan pengangkutan, utiliti, penjagaan kesihatan, pendidikan, pertahanan bagi keperluan rakyat dan rangsangan ekonomi.

Antara intipati yang mendapat perhatian media ialah ekonomi Malaysia dijangka berkembang 2-3 peratus pada 2010, penyediaan subsidi, insentif dan bantuan berjumlah RM2 bilion untuk petani dan nelayan untuk menjaga kepentingan mereka serta memperuntukkan RM9 bilion untuk biayai projek infrastruktur, dengan RM4.7 bilion untuk projek jalan dan jambatan, RM2.6 bilion untuk bekalan air dan perkhidmatan pembentungan, RM899 juta untuk kemudahan rel, RM820 juta untuk perkhidmatan pelabuhan dan laut serta RM276 juta untuk projek lapangan terbang.

Perbahasan terhad di Dewan Rakyat

Menurut buku ini, sistem yang ada di Malaysia tidak cukup kondusif dalam membincangkan bajet yang dibentangkan sungguhpun di dalam Dewan Rakyat. Tidak seperti di Britain dan Australia, kedua negara itu mempunyai jawatankuasa khusus di dalam setiap kementerian yang menjurus kepada perdebatan.

Jawatankuasa itu diwakili oleh pelbagai parti politik. Di dalam tempoh perkhidmatan ahli-ahli parlimen ini, mereka diberikan tugasan dalam memperlihatkan kemajuan dan mengkritik peningkatan di dalam kementerian yang mereka tugaskan. Dengan itu, rakyat dan para pengundi boleh melihat bagaimana wakil-wakil rakyat mereka menyumbang dan memberi khidmat.

Di Malaysia, seluruh ahli-ahli parlimen merupakan ‘jawatankuasa’. Mereka mempunyai 18 hari untuk membincangkan 28 kementerian yang ada.

Akhirnya, ahli-ahli parlimen tidak mempunyai peluang bagi menunjukkan kepakaran mereka. Mereka tidak dapat membangkitkan perkara-perkara di dalam Dewan sekiranya mereka tidak mampu untuk menarik perhatian Yang Dipertua Dewan untuk bangun dan berucap.

Kadangkala persidangan akan berlanjutan sehingga lewat malam yang mengakibatkan ahli-ahli parlimen letih. Semasa perdebatan Bajet 2009 tahun lalu, setiap kementerian hanya diberikan 2-3 jam dan akhirnya hanya tiga atau empat orang ahli parlimen sahaja dibenarkan memberi ucapan.

Di dalam perspektif yang lebih luas, ahli-ahli parlimen tidak diberikan sumber-sumber yang mencukupi dengan dokumen-dokumen yang berbondong. Mereka juga tidak dibekalkan dengan pembantu-pembantu penyelidik yang berpendirian neutral, tidak seperti sistem parlimen negara maju.

Perbelanjaan operasi dan subsidi

Kita perlu menyedari bahawa kos perbelanjaan operasi negara melalui bajet telah meningkat 15% setahun dari RM75.2 bilion pada tahun 2003 hingga mencapai RM151 bilion pada tahun 2008.

Peruntukan terbesar kepada pemberian subsidi yang meningkat enam kali lipatan; pada tahun 2008, jumlah subsidi yang diperuntukkan ialah RM34 bilion.

Kedua besar ialah peruntukan bagi gaji kakitangan dan ketiga ialah pembekalan dan perkhidmatan. Mungkin alasan peningkatan tersebut kerana peningkatan jumlah penduduk negara, namun lebih tepat jika dikatakan peningkatan jumlah kakitangan kerajaan berlaku secara mendadak.

Memang benar, subsidi digunakan untuk membantu orang miskin. Sungguhpun banyak yang diperuntukkan, hampir 400,000 isi rumah atau lebih kurang dua juta rakyat di negara ini masih hidup di bawah garis kemiskinan.

Melalui buku ini juga, dinyatakan bahawa bajet yang selama ini digunapakai hanya memberi manfaat kepada orang yang berada. Sebagai contoh, petrol yang murah lebih menyenangkan pengguna Porsche Cayenne berbanding dengan rakyat Malaysia yang hidup sederhana yang memandu Perodua Myvi.

Kita perlu menyedari subsidi sedemikian menjadikan kita lemah dan bergantungan. Isu-isu inilah yang diketengahkan oleh buku tulisan Teh Chi-Chang ini.

Faisal Mustaffa seorang penulis dan penerbit kepada organisasi Refsa. Teh Chi-Chang ialah penasihat ekonomi kepada setiausaha agung DAP. Book ‘The Budget’ telah dilancarkan oleh Ketua Menteri Besar Pulau Pinang Lim Guan Eng semalam di Dewan Perhimpunan Cina Selangor.

No comments

Powered by Blogger.