Kewangan: Lupuskan Mentaliti Perang Dingin

Sempat saya membelek majalah The Thinker, sebuah penerbitan dari Afrika Selatan yang khusus memuatkan rencana serta wacana segar sebelum berangkat ke Kahirah untuk menyampaikan ucapan dan menemui Mufti Mesir Syeikh Ali Gomaa. Majalah tersebut membariskan komentar ilmuwan samada dari benua Afrika ataupun dari luar.

Keluaran terbaru memuatkan wawancara di antara ketua editornya; Essop Pahad dengan saya tatkala di Afrika Selatan beberapa bulan lalu. Kandungan wawancara berkisar antara nya perkembangan pemikiran yang mempengaruhi saya sepanjang bergerak melalui wadah gerakan pelajar, Abim dan politik. Turut disentuh adalah pandangan saya mengenai krisis kewangan 97 serta segala macam fitnah yang dihamburkan buat mengaibkan diri dan keluarga.

Saya tuntas menyatakan pendirian, sungguhpun wujud kelemahan sistem Bretton Woods yang diilhami antara lainnya ahli ekonomi tersohor awal abad 20, John Maynard Keynes; yang mengabsahkan peranan kerajaan di dalam pasaran dan ekonomi, ianya tidak harus menghalang kita dari bermuhasabah, juga berlapang dada, mengakui permasalahan menimpa. Tidak masuk akal, jika rasuah dan penyelewengan kuasa yang menjadi amalan, lalu negara luar yang hendak dipersalahkan.

Keengganan mengakui kelemahan sendiri hanya merumitkan keadaan sekaligus membebankan rakyat. Joseph Conrad, pengarang novel Heart of Darkness, begitu indah dan berkesan menggambarkan kesan penjajahan terhadap yang dijajah. Lebih memeritkan apabila kezaliman penjajah diwarisi mereka yang berusaha mendapatkan kemerdekaan.

Sekonyong-konyong kemerdekaan yang dikecapi merupakan kezaliman berterusan. Mereka menjadi wira kampung dengan menuding jari kepada barat misalnya, dalam diam mendapatkan khidmat penasihat asing, khusus untuk merebut peluang duduk semeja dengan pemimpin negara bekas penjajah.

Mengapa mahu melindungi mereka yang tidak layak mendapat habuan dan manfaat dari kontrak berbillion ringgit, kononnya demi kebajikan rakyat terbanyak. Ketirisan menyedut berbillion-billion khazanah negara. Penyelewengan berleluasa sebegini dikhuatiri membudaya lalu membunuh ruh bangsa dan negara.

ANWAR IBRAHIM

No comments

Powered by Blogger.