Muhyiddin mula kemaruk publisiti

Safar Jumaat

PENDAPAT
TIMBALAN Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dilihat kemaruk publisiti sejak memegang jawatan nombor dua itu.


Di kalangan orang-orang Umno, Muhyiddin digelar sebagai 'raja yang tiada rakyat' kerana dialah satu-satunya Timbalan Presiden Umno yang menjadi Timbalan Perdana Menteri tanpa 'sesiapa di kiri dan di kanannya'.

Ketika semua orang sedang memperkukuhkan kedudukan dalam parti, Muhyiddin tetap keseorangan. Malahan, setiausaha-setiausahanya juga tidak tahu bergaul dengan orang ramai, hingga digelar 'angkuh' dan perasan.

Kini, terpancul dari mulutnya kononnya rundingan Umno-PAS masih terbuka sedangkan kepimpinan PAS sudah memberitahu secara terbuka 'sudah tutup buku' hal tersebut.

Kenapa Muhyiddin bersikap demikian? Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad menyifatkan Muhyiddin sebagai hidung tidak mancung, pipi tersorong-sorong.

Ketika pemilihan Umno Mac lalu, Muhyiddin secara jelas mahukan Mukhriz Tun Mahathir menang kerusi Ketua Pergerakan Pemuda Umno tetapi apabila Mukhriz tewas, khabarnya Muhyiddin kini mahu berdamping dengan Khairy Jamaluddin yang dikatakan cuba dikalahkan oleh Muhyiddin suatu ketika dahulu.

Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Pagoh sendiri mencalonkan Mukhriz sebagai calon ketua Pemuda, membuktikan Khairy bukan pilihan Muhyiddin. Namun, kemenangan selesa Khairy merisaukan Muhyiddin kerana pengaruh Pemuda dalam Umno sebenarnya tidak boleh dipandang sepi oleh calon Timbalan Presiden.

Membenarkan dakwaan beberapa pihak mengatakan Muhyiddin adalah 'raja yang tiada rakyat', hari ini pengaruh Naib Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Afdal merisaukan Muhyiddin.

Sejak sekian lama, Muhyiddin memang dikenali sebagai pemimpin Umno yang keseorangan. Suatu ketika dia menang besar kerusi Naib Presiden (1993) tetapi kemudiannya dia kalah teruk (1996). Dia menang kembali kerusi Naib Presiden dalam tahun 2000 atas bantuan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu menjadi Perdana Menteri dan Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu, apabila bahagian tersebut memberi pencalonan kepadanya.

Empat tahun kemudian, Muhyiddin menang di tempat ketiga sebagai Naib Presiden menyebabkan dia 'mengamuk'. Kemenangannya itu disifatkannya sebagai 'tidak menang tetapi terselamat' kerana walaupun mendapat pertolongan dari Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Muhyiddin hampir-hampir tewas di tangan dua muka baru, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Menjelang 2008, Muhyiddin tampil membuat desakan supaya Abdullah berundur dengan kata-kata 'kaji balik pelan peralihan kuasa' kerana Muhyiddin nampak Najib tidak mempunyai regi jika Abdullah berundur tahun 2009 dan dialah orangnya yang boleh menawarkan diri.

Dengan bantuan Najib, Zahid yang kepingin menjadi Timbalan Perdana Menteri terpaksa menarik diri dari persaingan kerusi Timbalan Presiden Umno, manakala Lembaga Disiplin Umno membantu Muhyiddin dengan menghalang Ali Rustam dari layak menjadi calon Timbalan Presiden.

Persaingan Muhyiddin dengan Tan Sri Muhammad Muhd Taib berlaku secara tidak sihat kerana Muhyiddin mendapat sokongan Najib secara senyap-senyap manakala Muhammad dilabelkan sebagai penyokong Abdullah yang sudah berada dalam 'zon senajakala'.

Khabarnya, kemahuan Zahid menawarkan diri bertanding kerusi Timbalan Presiden didesak oleh Abdullah yang tidak boleh menerima 'kehadiran' Muhyiddin tetapi disebabkan Zahid 'takut' dengan Najib, maka Zahid tidak meneruskan hajatnya itu kerana Najib memanggilnya ke pejabat sebelum Zahid mengumumkan hasratnya untuk menarik diri dan hanya menawarkan diri bertanding kerusi Naib Presiden.

Bagi orang-orang Umno, mereka tahu populariti Zahid, Hishammuddin dan Mohd Shafie. Contoh paling ketara, jika ketiga-tiga Naib Presiden ini menganjurkan Rumah Terbuka Aidil Fitri serentak dengan majlis anjuran Muhyiddin, dipercayai, kehadiran di rumah Muhyiddin yang paling kecil jumlahnya.

Itulah sebabnya, Muhyiddin terpaksa mengejar publisiti kebelakangan ini dengan menyebut perkara-perkara yang orang Umno lain tidak mahu menyebutnya, 'rundingan Umno-Pas masih terbuka' sedangkan ia sebenarnya hanyalah 'ibarat buih-buih di lautan'.

Muhyiddin tidak perasan kenapa Najib melantiknya sebagai Menteri Pelajaran sedangkan kelazimannya Timbalan Perdana Menteri menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri, Menteri Kewangan, Menteri Pertahanan atau Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Bercakap dari sudut mana sekali pun, Najib sebenarnya 'menurun pangkat' Muhyiddin yang sebelum ini tidak pernah melalui Kementerian Pelajaran sedangkan semua Timbalan Perdana Menteri sebelum ini, kecuali Tun Ghafar Baba (Allahyarham), pernah menjadi Menteri Pelajaran.

Hari ini, ketika Najib beria-ia mahu mengambarkan bahawa Muhyiddin adalah regunya yang terbaik tetapi tiada siapa percaya Muhyiddin boleh pergi lebih jauh dari kedudukan yang dia sudah capai sekarang.

Dengan barisan Setiausaha Politiknya yang 'putus darah', Muhyiddin seperti tersilap langkah menyediakan pasukannya untuk terus berlari dalam persaingan Umno.

Malahan, mereka yang menyokong Muhammad dan Ali Rustam masih tidak dapat memaafkan Muhyiddin hingga ada yang sanggup 'meninggalkan' Umno secara senyap-senyap.

Ada seorang ketua bahagian sudah melepaskan jawatannya secara diam-diam kerana 'meluat' dengan Najib-Muhyiddin.

Jika sekarang Muhyiddin mahu belajar untuk 'buat-buat mesra' dengan ketau-ketua bahagian, perbuatannya itu dilihat begitu janggal.

Malahan, ada yang mengatakan Muhyiddin mengada-ngada dan 'kesembongannya' selama ini nampaknya diwarisi oleh pegawai-pegawai yang mengelilinginya.

Kata mereka, bukan sahaja Muhyiddin tidak boleh didekati, pegawai-pegawainya juga menjadikan pejabat dan kementerian yang didiaminya sebagai 'kawasan larangan' dan hanya mereka yang tertentu sahaja boleh mendatanginya.

Sebagai bekas Menteri Besar Johor untuk dua penggal berturut-turut dan sudah menjadi Menteri di empat kementerian sebelum menjadi Timbalan Perdana Menteri � Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Pertanian dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, masih ada empat bahagian di Johor enggan memberi pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden Umno kepada Muhyiddin.

Bahagian-bahagian itu, Tenggara, Kota Tinggi, Johor Bahru dan Air Hitam telah membuktikan bukan semua ahli Umno Johor dapat menerima Muhyiddin.

No comments

Powered by Blogger.