Kesedaran baru politik Cina — Zainuddin Maidin

22 APRIL — Jika MCA masih boleh dianggap mewakili majoriti kaum Cina di Malaysia maka kenyataan Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek baru-baru ini menyerlahkan lagi suatu kesedaran baru masyarakat Cina yang berasaskan kepada prinsip moral politik dan demokrasi berikutan pengasingan diri kaum Cina Sarawak daripada aliran majmuk negara ini.

DAP telah mencapai kejayaan besar dalam menjerumuskan masyarakat Cina Sarawak ke dalam aliran politik ini menerusi Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10. Keputusan itu yang diyakini akan melebarkan wabaknya ke Semenanjung mendorong Presiden MCA itu membuat kenyataan bahawa sekiranya keputusan pilihan raya akan datang memberikan keputusan yang memedihkan seperti Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 maka MCA akan mengkaji semula kedudukan dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan dan negeri (The Star, 20 April 2011).

MCA hanya diwakili 15 wakil rakyat dalam Parlimen Malaysia sekarang berbanding dengan sebelum PRU 2008 sebanyak 31 orang. Kenyataan Soi Lek itu boleh dilihat dari dua sudut politik. Yang pertama adalah amaran awal secara halus kepada masyarakat Cina di Semenanjung jika mereka tidak memberikan sokongan memulihkan angka perwakilan MCA dalam kerajaan Barisan Nasional (BN). Keduanya, merupakan kesedaran terhadap wujudnya kebimbangan masyarakat Cina di Semenanjung terhadap keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 terhadap masa depan mereka dalam politik dan ekonomi negara.

Ini jelas daripada kenyataan Soi Lek bahawa DAP tidak senang dengan kenyataannya supaya SUPP menolak sebarang tawaran untuk menyertai Kabinet Sarawak. “Adakah ini merupakan perasaan bersalah dan bertanggungjawab di atas kemungkinan tidak akan adanya wakil orang Cina dalam kerajaan Sarawak?" tanya Soi Lek.

Sebenarnya senario yang sama telah berlaku apabila MCA kalah teruk dalam pilihan raya 1969 yang mendorong beberapa ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO selepas tragedi 13 Mei menuntut supaya kedudukan MCA dalam Kabinet dikaji semula (Utusan Malaysia, 6 Jun 1969).

Kenyataan itu dipelopori oleh Dr. Mahathir Mohamad ketika dihubungi di kliniknya di Alor Setar. Beliau membuat kenyataan keras supaya MCA disingkirkan tetapi telah diperlembutkan oleh Ketua Pengarang Utusan Melayu, Tan Sri Melan Abdullah (Allahyarham) dengan menambah kenyataan dua orang lagi Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO iaitu Tan Sri Syed Jaafar Albar dan Syed Nasir Ismail. Berita yang diterbitkan sebagai tajuk utama muka satu pada 6 Jun 1969 adalah “Tokoh-tokoh UMNO Sokong MCA Tak Sertai Kabinet” sebagai menyambut keputusan pucuk pimpinan MCA ketika itu untuk tidak menyertai Kabinet.

Ini adalah reaksi kepada desakan beberapa Dewan Perniagaan Cina dan lain-lain pertubuhan Cina yang meminta Presiden MCA, Tun Tan Siew Sin supaya menimbangkan semula keputusan parti itu tidak mahu menyertai Kabinet. Syed Jaafar Albar berkata soal yang dihadapi bukan soal memberi kepercayaan kepada Tan Siew Sin sebagai pemimpin MCA tetapi masalah adakah orang Cina menyokong dasar kerajaan Perikatan.

Dr. Mahathir berkata sokongan pertubuhan-pertubuhan Cina kepada Tan Siew Sin tidak dapat dianggap sebagai sokongan orang Cina kerana badan-badan itu tidak mewakili hasrat orang Cina seluruhnya. “Kalau MCA hendak tahu sama ada ia disokong oleh orang Cina atau tidak maka ia terpaksa menunggu pilihan raya yang lambat lagi masanya dan kerana itu MCA tidak mustahak duduk dalam Kabinet,” katanya.

Syed Nasir Ismail pula menuntut supaya keseluruhan hubungan antara UMNO, MCA dan MIC dikaji semula mengikut keadaan yang wujud selepas pilihan raya itu. Soal pokok kekalahan SUPP, parti Cina yang menyaingi DAP di Sarawak bukanlah kerana pengekalan Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri Sarawak tetapi kerana SUPP seperti juga MCA tidak dapat bermain dengan api perkauman, terkawal dengan etika dan prinsip-prinsip Perlembagaan dan kerjasama yang menjadi asas kepada penubuhan BN.

Sukar untuk MCA dan SUPP bersuara secara terbuka seperti DAP yang merupakan parti berakar umbi perkauman Cina yang merupakan kegagalan kerajaan Perikatan dan BN untuk mencabutnya dari awal secara tegas seperti yang dilakukan oleh kerajaan PAP Singapura.

Hakikat ini mestilah kita terima sekalipun kerajaan Singapura memulihkan pengajaran bahasa Mandarin tetapi ia tetap berasaskan pada dasar-dasar Singapura yang telah diterapkan supaya pengajaran bahasa itu tidak menjadi asas penyuburan semula cauvinis Cina berasaskan kepada kebudayaan Cina.

Bapa kemerdekaan Singapura yang melihat bahaya cauvinisme Cina telah melumpuhkannya dengan menutup sekolah-sekolah Cina dan pusat-pusat pengajian tinggi Cina di Singapura sejak dari awal kemerdekaannya menerusi penggunaan bahasa Inggeris. Tetapi di Malaysia, penerapan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris tidak berlaku secara tegas sebaliknya menyuburkan fahaman perkauman Cina dan fahaman sempit di kalangan orang Melayu.

Sekalipun kenyataan Soi Lek itu telah sedikit sebanyak dapat menyejukkan perasaan orang Melayu yang melihat dengan kebimbangan cetusan polarisasi kaum di Sarawak yang dicerminkan oleh keputusan pilihan raya negeri yang ke-10 itu, tetapi kenyataan Naib Presiden MCA, Senator Gan Ping Sieu (The Star 21 April 2011) telah memanaskan balik perasaan bukan sahaja bumiputera Sarawak tetapi juga orang Melayu di Semenanjung.

Ping Sieu telah menyuarakan apa yang disuarakan oleh DAP apabila beliau menuntut Abdul Taib meletak jawatan kerana katanya tidak mendapat sokongan daripada pelbagai kaum. Adakah kenyataan ini berasaskan fakta sebenar atau mengikut sentimen orang Cina yang tidak mahu menerima kepimpinan bumiputera di Sarawak? Wajarkah hanya kalah 16 kerusi daripada 71 kerusi kepada satu kaum setelah lebih 30 tahun berkuasa boleh dianggap sesuatu yang sangat teruk dan hilang kuasa kepimpinan masyarakat majmuk?

Dari awal lagi, saya percaya sekiranya Abdul Taib tidak memimpin Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 maka malapetaka pastinya akan menimpa BN Sarawak. Bagaimanapun masa yang terlalu lama yang diperlukan beliau untuk menguruskan peralihan kuasa kepimpinan di Sarawak mungkin wajar difikirkan semula oleh beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak demi kepentingan memperkukuhkan masa depan BN, khususnya di Sarawak.

Sesungguhnya kenyataan yang dibuat oleh Presiden MCA adalah tepat pada masanya bagi menyekat arus deras politik perkauman yang menggugat perasaan hingga ke Semenanjung. Kebimbangan dan persepsi orang Melayu terhadap sikap politik orang Cina untuk mencari jalan lain ke syurga semakin meningkat ekoran keputusan pilihan raya Sarawak itu.

Persepsi ini adalah benar jika berasaskan kepada suara akhbar-akhbar Cina. Umpamanya apa yang disuarakan oleh akhbar Sin Chew Daily, 18 April menerusi tulisan Goh Kien Nan yang mempersoalkan bagaimana MCA hendak menghadapi PRU akan datang berikutan fenomena orang Cina melawan arus bukan lagi hanya terbatas di Sarawak, sebaliknya rentak sama berlaku di seluruh negara.

"Ini bukan sahaja tidak reda malah nampaknya begitu kuat, mungkin akan terus melarat, semarak dan membara hingga PRU akan datang," katanya.

Tentunya sebagai rakan lama UMNO, Soi Lek juga dapat membaca persediaan orang Melayu untuk menghadapi kemungkinan kerakusan politik kaum Cina yang tidak mengenal batas sekiranya mereka tidak dapat mewaraskan pemikiran mereka dengan kesan Program Transformasi Ekonomi yang berlaku dan yang dapat dirasakan di bawah pimpinan Perdana Menteri. Soi Lek telah cuba membangkitkan kesedaran ini jika orang Cina mahu terus mengekalkan perkongsian ekonomi dan kuasa di negara ini. — Utusan online

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

No comments

Powered by Blogger.