MB Kedah, Exco kekal YDP PAS kawasan

Mohd Shubihi Muhamad Zain

YAN, 26 April: Pemilihan parti peringkat kawasan di negeri Kedah berjalan lancar dan turut menyaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak (gambar) serta beberapa pemimpin utama kerajaan negeri yang lain kekal sebagai Yang Dipertua (YDP) PAS di kawasan masing-masing.

Azizan menang tanpa dicabar pada pemilihan jawatankuasa PAS Kawasan Jerai yang berlangsung di Dewan Tuan Guru Haji Othman Al-Yunusi, dekat sini.

Dua anggota Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh juga disiytiharkan menang tanpa bertanding dan terus kekal menerajui PAS Kawasan Kuala Kedah dan PAS Kawasan Alor Setar.

Manakala di Kubang Pasu, Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, Datuk Dr Isa Ismail kekal menyandang jawatan YDP Kawasan sejak sesi lalu apabila berjaya menewaskan pencabarnya, Yusof Ahmad.

Sementara itu di Baling, Tuan Guru Awang Lanai @ Abdul Wahab Md Hassan yang diamanahkan sebagai YDP sejak 1984 lalu terus kekal menerajui PAS kawasan tanpa dicabar, manakala Adun Kupang, Johari Abdullah menewaskan Ahli Parlimen Baling, Datuk Taib Azamuddin untuk kekal sebagai timbalan.

Jawatan YDP PAS Kawasan Sik yang sebelum ini disandang oleh Adun Jeneri, Yahaya Abdullah dimenangi pencabarnya, Che Uda Che Nik yang juga Ahli Parlimen Sik, manakala Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Sanusi Mohamad Nor yang bertanding jawatan timbalan tewas kepada lawannya, Bakar Baqilani Hassan.

Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kulim Bandar Baharu menyaksikan penyandangnya, Hassan Razak menang jawatan YDP menewaskan pencabarnya yang juga Adun Bandar Baharu, Yaakob Husin dalam pertandingan dua penjuru itu.

Terdahulu empat kawasan lain iaitu Merbok, Jerlun, Sungai Petani dan Langkawi telah melengkapkan mesyuarat agung dan sesi pemilihan jawatankuasa kawasan masing-masing.

Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib dan Abdul Ghani Ahmad dipilih menerajui PAS Kawasan Merbok dan Jerlun, manakala Adun Pantai Merdeka, Abdullah Jusoh kekal di Sungai Petani dan Zubir Ahmad di Langkawi.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PAS Kedah, Musoddak Ahmad yang dihubungi berkata baki empat lagi kawasan akan bermesyuarat pada akhir April nanti.

"Empat lagi kawasan iaitu Padang Terap, Pokok Sena, Pendang dan Padang Terap dijadualkan bermesyuarat agung bagi memilih ahli jawatankuasanya pada akhir bulan ini.

"Manakala Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah pula dijadualkan akan berlangsung pada 1 Mei nanti di Sungai Petani juga akan memilih barisan jawatankuasa kerjanya bagi sesi baru ini," katanya.

No comments

Powered by Blogger.