Isu Lynas: Tak Sangka MB Pahang Boleh Bagi Jawpan Sebodoh Ini

MB: Jangan cerca kami, Pahang tiada kuasa beri Lynas lessen


KUANTAN, 19 April — Kerajaan negeri Pahang tidak mempunyai kuasa untuk melulus dan menutup pembinaan kilang pemprosesan logam nadir bumi milik Syarikat Lynas Corporation Ltd dari Australia, kata Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri melulus projek tersebut selepas kajian mendalam oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom mengenai tahap keselamatan penduduk terhadap kesan radioaktif atau radiasi dari kilang tersebut.

“Saya rasa hairan kenapa ada pihak yang membuat bantahan dan mencerca kerajaan negeri,” kata beliau (gambar) dipetik Bernama Online hari ini.

“Bukan kerajaan negeri Pahang yang luluskan projek ini. Yang sibuk suruh kita tutup, kenapa,” katanya ketika menggulung usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, pada persidangan Dewan Undangan Negeri.

Bagaimanapun Adnan berkata kerajaan negeri Pahang berpuas hati dan bersetuju dengan pembinaan kilang tersebut selepas mendengar taklimat daripada pihak berkenaan pada 22 Julai 2009.

Beliau berkata pihaknya juga telah meminta syarikat terbabit serta agensi berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar dan Agensi Nuklear Malaysia supaya memantau projek berkenaan dengan lebih rapi bagi menjamin keselamatan penduduk.

“Sebenarnya, banyak benda yang kita gunakan seperti televisyen, telefon bimbit, jam tangan dan rokok ada radiasi, tapi kita kawal supaya tidak membahayakan kesihatan,” katanya.

Adnan berkata kerajaan negeri bersetuju untuk mendapatkan pandangan pakar antarabangsa bagi memberi pandangan berhubung pembinaan kilang tersebut.

Malah katanya, beliau dimaklumkan bahawa pihak Lynas juga sedia bekerjasama dengan pakar tersebut dalam mencari penyelesaian berhubung isu berkenaan.

Kilang bernilai RM700 juta yang sedang dibina di kawasan perindustrian Gebeng di sini menimbulkan kontroversi kerana didakwa bakal menghasilkan radiasi yang memudaratkan orang ramai.

No comments

Powered by Blogger.