Sebutan kes Adun Sri Muda 20 Jun

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen Shah Alam menetapkan 20 Jun bagi sebutan semula kes melibatkan ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafiei yang didakwa di bawah Akta Hasutan.

Hakim Slamat Yahya menetapkan tarikh itu selepas peguambela, Nizam Bashir memohon prosiding itu ditangguhkan sementara menunggu permohonan untuk menggugurkan pertuduhan di Mahkamah Tinggi.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menetapkan 31 Mei ini bagi pengurusan kes itu dan pihak pembelaan memerlukan masa untuk menyediakan pembelaan mereka.

Shuhaimi, yang merupakan Adun KEADILAN memfailkan notis usul bagi mengenepikan pertuduhan terhadapnya di bawah Akta Hasutan itu pada 1 April lepas di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini atas alasan Akta Hasutan 1948 adalah tidak sah kerana bercanggah dengan Fasal 10 Perlembagaan Persekutuan.

Pihak pendakwaan pada prosiding hari ini diwakili Timbalan Pendakwaraya Siti Syakimah Ibrahim.

Shuhaimi, 43, sebelum ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 7 Februari lalu atas tuduhan menerbitkan artikel menghasut di laman blognya pada 30 Disember 2010.

Dia didakwa menerbitkan artikel bertajuk “pandangan saya berasaskan undang-undang tubuh kerajaan negeri Selangor 1959″ di laman blognya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948.

Jika sabit kesalahan Shuhaimi boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

No comments

Powered by Blogger.