Sembang politik pasca pilihan raya Sarawak

Oleh Wan Nik Wan Yussof

Sewaktu masa senggang, sempat juga bersembang politik pasca pilihan raya negeri Sarawak bersama Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan. Isu yang disembangkan tidak lain adalah kredibiliti Ketua Menteri Sarawak yang baru dilantik semula, Tan Sri Haji Abdul Taib Mahmud.

Di sebalik isu tersebut, kami membicarakan beberapa persoalan panas dan serius. Ia berlegar-legar atas fakta, kenapa Abdul Taib terus utuh dan kental di tampuk kuasa


Sedangkan muncul di sebaliknya ialah cakap-cakap dan pandangan yang mahukan Abdul Taib menamakan tokoh penggantinya. Mungkin pandangan sama muncul dari pimpinan utama Negara sendiri, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib yang pastinya inginkan Taib berundur tatkala menjelang pilihan raya 16 April lalu.

Apa pun, Abdul Taib nampaknya sudah tidak menghormati Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib kerana terus mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri dan tidak menamakan pengganti. Sewajarnya Abdul Taib boleh menamakan pengganti berikutan BN Sarawak mencatatkan kekalahan teruk di kawasan bandar, meskipun menang selesa dengan meraih kuasa dua pertiga. Sudah tentu ada pihak yang kecewa.

Walau bagaimanapun, sikap menolak pengundi bandar di Sarawak terhadap Abdul Taib jelas tergambar berikutan kebanyakan Dun di kawasan pusat pertumbuhan ekonomi penting negeri itu sudah bersetuju memilih calon DAP sebagai penyambung misi politik perniagaan mereka. Ia adalah manifestasi kegagalan Abdul Taib yang dilihat sudah tidak ekonomik di pusat aktiviti perniagaan dan ekonopmi (di bandar). Abdul Taib sudah dilihat tidak ekonomik di kawasan bandar. Oleh kerana itu, sepatutnya Abdul Taib sudah wajar berundur, tetapi kenapa kejap tidak juga berundur?

Berdasarkaan maklumat ‘di luar gelanggang’ semacam telah ada signal bahawa kepimpinan Kuala Lumpur inginkan Abdul Taib diganti oleh Datuk Amar Abang Johari Bin Tun Abang Openg? Apakah sekali lagi Abdul Taib akan bertindak defensive, dan tidak akan melayan kehendak Kuala Lumpur? Mungkin di pihak Abdul Taib ada asasnya untuk tidak melayan kehendak itu, lantaran keputusan pilhan raya lalu menampilkan kejayaan PBB di bawah pimpinannya yang memenangi kesemua 35 kerusi bertanding. Berbeza dengan SUPP yang kalah teruk apabila hilang 13 daripada 19 Dun, SPDP hilang dua daripada lapan kerusi dan PRS hilang satu daripada sembilan kerusi yang bertanding.

Mungkin juga sikap Abdul Taib tidak mahu berundur dalam masa terdekat itu ada kaitannya dengan ura-ura pihak tertentu yang ingin membawa masuk Umno ke Sarawak. Kalau sebelum ini, pihak Umno melalui parti Berjaya telah dapat melemahkan Usno di Sabah sehingga membawa pembubaran Usno dan penubuhan Umno dengan memilih Tun Mustapha sebagai pengerusi dan selepas itu dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri . Mungkin pelan yang sama akan berlaku dan PBB dijangka bakal berdepan dengan perpecahan ekoran keengganan Abdul Taib berundur dalam masa terdekat.

Persoalannya, apakah Umno serius untuk masuk ke Sarawak? Bolehkah pengundi Sarawak menerima Umno? Sedangkan Umno sebagai sebuah parti kebangsaan Melayu yang bersimbolkan keris telanjang terpacak ke bumi sudah ditolak oleh kaum-kaum lain dalam pilihan raya umum 2008 lalu.

Jika model kemasukan Umno ke Sabah sebagai asas untuk Umno masuk ke Sarawak, apakah orang Melayu Sarawak sedia berpaling dari PBB dan melupai Abdul Taib yang sudah berjasa lebih 30 tahun? Soalan yang sama boleh diaju kepada kaum Dayak dan Orang Ulu dalam keadaan mereka sudah ada parti kaum masing-masing? Jauh sama sekali kalangan pengundi Cina untuk merestui kemasukan Umno kerana dalam pilihan yang baru lalu mereka sudah beralih dari SUPP, regu PBB kepada Pakatan Rakyat.

Hanya masa yang menentukan, setelah Bumi Kenyalang diratah dan hak rakyat sudah banyak dimilik’kroni’kan. Maka harapannya, rakyat Sarawak kini sudah memasuki gerbang politik matang mampu menilai masa depan mereka, apakah untuk terus bersama Abdul Taib lagikah?


Wan Nik Wan Yussof
Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan

No comments

Powered by Blogger.