MCA Gesa Utusan Malaysia Dipulaukan : DPPNK Cabar Pemuda UMNO Bersuara

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) mencabar Pergerakan Pemuda UMNO untuk menyatakan pendirian terhadap gesaan Timbalan ketua publisiti MCA, Loh Seng Kok agar akhbar lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia dipulaukan oleh rakyat Malaysia. Gesaan ini dilaporkan oleh laman web berita dalam talian Malaysiakini pada 23 April 2011. Ini ekoran rencana yang ditulis oleh Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan minggu lepas yang mencadangkan agar digerakkan kempen ‘1Melayu, 1Bumi’.

DPPNK menyanggah kenyataan Presiden UMNO bahawa cadangan tersebut merupakan cadangan peribadi penulis dan tidak ada kaitan dengan kerajaan. Hakikatnya, Utusan Malaysia merupakan lidah rasmi UMNO dan sebarang tulisan yang tersiar di dalamnya khususnya yang berkaitan dengan sidang pengarahnya sendiri harus dipikul tanggungjawabnya oleh UMNO.

Jutseru, DPPNK melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh MCA merupakan satu cabaran kepada UMNO yang mengaku memperjuangkan bangsa Melayu. Jika selama ini mereka sering menuduh bahawa PAS telah menjadi kuda tunggangan DAP, maka hari ini apabila MCA secara terang menyelar lidah rasmi UMNO, adakah UMNO berani untuk bersuara?

DPPNK beranggapan sekiranya UMNO khususnya Pergerakan Pemudanya hanya diam membisu, bererti mereka sendiri sudah merelakan diri menjadi kuda tunggangan MCA. Sepatutnya, pada masa inilah Pemuda UMNO perlu menunjukkan kejantanan mereka tampil ke hadapan membela suara rasmi mereka yang dianggap pembela bangsa Melayu selama ini.

Hakikatnya, seruan Utusan Malaysia itu hanyalah mengulangi pendirian politik perkauman yang diamalkan oleh UMNO selama ini. DPPNK yakin, masyarakat Malaysia semakin menyedari permainan politik yang merbahaya ini dan akan menolak politik perkauman yang diamalkan oleh UMNO dana rakan-rakan parti politik di dalam komponen Barisan Nasional.

Sekian, wassalam.

Yang menjalankan tugas,

AHMAD FADHLI BIN SHAARI,

Ketua Penerangan,

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK)

Bertarikh : 24 April 2011 / 21 Jamadil Awal 1432

No comments

Powered by Blogger.