AMK desak polis tangkap individu, blogger sebar video fitnah

CYBERJAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia mendesak pihak polis mengambil tindakan segera terhadap individu dan blogger pro BN kerana menyebar video seks fitnah, yang dikaitkan dengan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

AMK menamakan pengguna youtube ‘thepowercam’, blogger Pisau.net dan Papagomo, antara individu yang memuatnaik dan menyebarkan video tersebut, dalam usaha meneruskan tuduhan fitnah terhadap Anwar.

Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip berkata, tindakan itu wajib dilakukan untuk membuktikan komitmen pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam menangani penyebaran bahan kes yang masih dalam siasatan.

“Menteri Penerangan dan Komunikasi, Datuk Seri Rais Yatim perlu menjalankan fungsinya.Pihak SKMM perlu menyiasat dan mendakwa pihak yang membocorkan bahan kes dan menyebarkannya di internet.

“Sehingga hari ini, blog-blog tersebut masih menyiarkan video itu, manakala komen dan ulasan pelayar web berbentuk lucah dan menghina.

“Persoalannya, kenapa mereka masih terus mengaitkan video tersebut dengan Anwar? Dari mana mereka dapat video tersebut, sedangkan orang pertama yang menyiarkan video itu mengakui, hanya dia dan pihak polis yang mempunyai bukti tersebut,” katanya.

Terdahulu sebelum itu, Rozan dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung kertas siasatan yang dibuka susulan aduan AMK Malaysia pada 5 April lalu mengenai aduan terhadap blogger-blogger pro BN di ibu pejabat SKMM di Cyberjaya, hari ini.

No comments

Powered by Blogger.