Mat Sabu mara, Umno hilang punca!

Oleh PENA HAYAT

MAJORITI perwakilan di Muktamar Agung PAS ke-57 telah membuat perhitungan tersendiri dengan memilih Mohamad Sabu untuk jawatan nombor dua tertinggi parti.

Begitu juga untuk jawatan naib-naib presiden serta ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat, perwakilan telah memilih pemimpin yang mempunyai imej dan keterampilan sebagai tokoh yang rajin dan aktif bergerak untuk parti.


Keputusan itu agak mengejutkan para pemerhati lantas diambil kesempatan oleh media massa pro Umno-BN untuk menempelak PAS dengan melabel puak yang terpilih itu sebagai kumpulan profesional atau Erdogan di dalam PAS dan tidak sehaluan dengan ulama.

Seluruh surat khabar arus perdana ketika ini terutama yang didominasi oleh Umno-BN terus membuat provokasi untuk memecahbelahkan PAS dengan mendakwa kepimpinan ulama tiada tempat lagi di dalam PAS.

Kata mereka lagi, PAS telah tersasar daripada asas perjuangannya yang mele takkan Islam sebagai dasar perjuangan parti setelah sebelum itu mereka menghentam ucapan dasar Presiden iaitu Membangun Negara Berkebajikan, kerana tidak lagi menyentuh Negara Islam.

Reaksi berbaur provokasi itu dipatahkan oleh Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan berhujah bahawa Negara Berkebajikan adalah arahan yang tertera di dalam al-Quran.

Sehari penulis memantau perhimpunan tersebut iaitu di hari kedua, hari diumumkan keputusan pemilihan, dari pagi hingga ke malam ceramah perdana, tiada langsung berlaku ketegangan. Para perwakilan dengan tertib dan berhemah membahas ucapan dasar Presiden, beserta lontaran idea-idea bernas.

Tiada langsung kedengaran bunyi istilah apa yang dilabel dan disebutkan sebagai kumpulan Erdogan di hari perhimpunan tersebut. Ternyatalah telahan penulis bahawa akhbar-akhbar pro Umno yang mencipta istilah itu, hakikatnya sedang syok sendiri.

Utusan Malaysia terus membuat provokasi lebih ekstrem dengan merumuskan kemenangan golongan profesional di dalam PAS itu sebagai kemenangan golongan pro Anwar dan DAP.

Mufti Perlis yang mentah dan buta politik itu diguna untuk menyatakan bahawa PAS telah menggadai prinsip perjuangannya apabila tidak lagi meletakkan Negara Islam sebagai matlamat perjuangan parti.

Mufti Perlis yang terjerat oleh lonjakan massa itu kembali menyebut isu amat basi iaitu isu kafir-mengkafir yang pernah timbul suatu ketika dulu.

Demikianlah strategi serampang dua mata Umno hasil daripada perhimpunan Agung PAS itu, iaitu hanya semata-mata untuk memecahbelahkan PAS sekali gus memporak-perandakan setiakawan di dalam Pakatan Rakyat yang sedang terjalin erat.

Tidak hairan pada penulis jika selepas ini, media massa sama ada TV atau surat khabar pro Umno-BN akan menjaja ribuan pula ahli PAS keluar parti kerana tidak yakin lagi dengan haluan parti dan puluhan penganalisis upahan akan digerakkan diketuai Zulkefli Nordin, dengan matlamat supaya PAS dan Pakatan Rakyat menjadi retak menunggu belah.

Itu sahaja matlamat parti Umno pada saat sedang menggapai talian-talian hayatnya. Slogan perpaduan Melayu, kepentingan agama Islam, kepentingan seluruh rakyat, 1Malaysia dan seumpamanya adalah slogan palsu semata-mata kerana yang penting adalah survival Umno serta kroni-kroni yang berpaut padanya.

Pada penulis PAS telah memperolehi pengalaman yang amat berharga pada saat menjalin kerjasama dengan KeADILan dan DAP dalam konteks politik semasa dan dakwah Islamiyah di Malaysia. Ia amat berbeza dengan Umno yang menjalin hubungan dengan parti lain di dalam BN.

Rakyat dapat melihat sendiri di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat, bagaimana DAP dan KeADILan memberi ruang yang cukup luas kepada PAS untuk bergerak dan merealisasikan matlamat perjuangan parti.

Malah ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat ini bergerak seiring dan sederap di dalam menangani apa-apa sahaja isu-isu besar berkaitan ketidakadilan dan penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan Umno-BN.

Justeru tidak timbul sama sekali isu bahawa PAS menjadi kuda tunggangan KeADILan dan DAP malah ia bukan faktor juga untuk menjustifikasikan ciri kepimpinan PAS yang baru dilantik itu sebagai puak yang pro Anwar atau pro DAP, melainkan ia adalah rasa resah dan irihati Umno melihat kejituan kesepakatan di dalam Pakatan Rakyat.

Umno amat bimbang dengan kemaraan Mat Sabu kerana ia akan memantapkan lagi persefahaman di dalam Pakatan Rakyat yang sedang mengatur strategi akhir untuk ke Putrajaya.

Penulis amat tertarik dengan komentar penulis veteran, Subky Latif yang mengaitkan perubahan agak mengejut di dalam kepimpinan PAS itu dengan peribahasa Melayu ‘tiada rotan akar pun jadi.’ Mat Sabu diibarat bukan akar biasa tetapi akar tunjang yang menjalar merata.

Tambah Subky, dalam mengaitkan dengan peribahasa itu, bukan bermaksud tiadanya ulama, kerana perspektif yang dilihat adalah dalam konteks keperluan semasa yang lebih luas medannya, di mana PAS sedang menerjah dan menongkah arus dengan membawa obor perubahan.

Kepimpinan ulama telah menggerakkan tugasnya dengan cemerlang sejak tiga dekad lalu di mana kepimpinan ulama di beri tempat di dalam PAS. Justerutidak timbul andaian bahawa PAS kini telah menyisihkan ulama, bahkan Mat Sabu dan ketiga-tiga rakan Naib Presiden adalah tokoh pemimpin yang begitu lama di dalam PAS yang telah diasuh dan ditarbiyah oleh ulama.

Hairan pula, sejak bila Umno ini begitu sayang pada ulama, sedangkan di dalam Umno, ulama diletak sebagai satu biro sahaja. Sedangkan di dalam PAS golongan ulama diberi taraf dewan. Satu lagi ialah Majlis Syura. Kedua-duanya mempunyai kuasa eksekutif.

Dua entiti penting di dalam struktur organisasi PAS ini sudah cukup membukti bahawa PAS tidak akan tergelincir daripada landasan perjuangan asalnya yang meletakkan Islam sebagai matlamat, biar siapa saja yang naik menjadi pemimpin.

Apa yang berlaku sebenarnya pada pengamatan penulis merupakan realiti semasa yang melingkari medan perjuangan. PAS bukan sahaja sebuah parti politik Islam kontemporari yang terjun secara langsung di dalam arena politik pilihan raya, malah PAS juga adalah sebuah gerakan Islam dan dakwah yang terbesar di negara ini.

Setelah lebih lima dekad berada di persada dakwah dan politik tanah air tentunya amat banyak pengalaman pahit manis yang kesemuanya amat berharga bagi PAS untuk terus menelesuri medan jihad ini.

Ulama di dalam PAS boleh berbangga kerana dengan kepimpinan merekalah telah menentukan survival PAS hingga ke tahap sekarang.

Umpama di dalam perlumbaan lari jarak jauh, ulama begitu cemerlang dan konsisten menghabiskan pusingan-pusingan awal dengan membawa baton Islam. Kini untuk pusingan akhir yang memerlukan daya pecutan dan ketangkasan yang jitu, baton Islam itu dipindahkan kepada sahabat lain yang setia menunggu untuk terus membawar obor Islam seterusnya merealisasikan kemenangan.

Tahap sekarang ini menyaksikan PAS sedang berada di satu ‘stage’ yang memerlukan PAS bertindak secara berani dan luar biasa serta tanpa menoleh ke belakang lagi demi mereallisasikan cita-cita meletakkan Islam di tempat yang mulia, sekali gus sebagai penyelamat bangsa, agama dan tanah air.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg9_ChJlZvYDgA9tk6nTfwRNUCQc_iBQUfAQ6yfmG23M3zSnbDLe1bxY0PVL_LbSJHP0TJY8BiQqdmVwudzcp1f72aHcABfkExA3Hk7TRu-CE0lTq4LGHLkVguMD-FvNzdWOwUt8-RmxR0/s1600/JALANRAYA.jpg

No comments

Powered by Blogger.