99% setuju Bersih harus diteruskan

KUALA LUMPUR, 21 JUN – Mengikut kaji selidik oleh The Star Online, lebih 1.3 juta rakyat Malaysia mahu perhimpunan Bersih pada 9 Julai depan diteruskan.

Daripada gambar paparan skrin yang sempat diambil oleh seorang pengguna Facebook, seramai 1,312,917 telah memilih ‘perhimpunan itu harus dibenarkan’ berbanding hanya 14 ribu sahaja yang tidak mahu perhimpunan tersebut dijalankan.

Bagaimana pun, bilangan sebenar tidak dapat diketahui memandangkan The Star Online telah menutup kaji selidik itu sejak awal petang tadi.

Pengguna Facebook tersebut telah memuat naik paparan skrin gambar kaji selidik tersebut pada jam 12.25 petang tadi di laman Facebook Curi-Curi Wang Malaysia.
Laman Facebook berkenaan ditubuhkan sebagai memperli usaha Kementerian Pelancongan yang mahu menghabiskan wang rakyat sebanyak RM1.8 juta untuk mempromosikan enam laman facebook kementerian tersebut.

Keputusan kaji selidik itu, menurut Malaysiakini, telah naik dengan mendadak sejak jam 6 pagi tadi yang hanya sekitar 500 ribu sahaja yang menyertai kaji selidik tersebut.

Bersih 2.0 dilihat sebagai satu usaha positif oleh rakyat Malaysia yang menutut pembaharuan sistem pilihan raya.

Sejak dilancarkan pada 2006, Bersih telah mengharungi pelbagai onak duri oleh kerajaan Malaysia kerana ketegasannya menentang sistem pilihan raya yang jijik selain lantang menyuarakan pendapat yang tidak sekepala dengan kerajaan.
Selain itu, perhimpunan Bersih pada 2007 adalah punca kepada tsunami politik Malaysia tahun kemudiannya, yang berakhir dengan Pakatan Rakyat mengambil alih lima negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Berhubung itu, selepas majlis perasmian Bersih 2.0 19 Jun lalu, pertubuhan yang dianggotai badan bukan kerajaan ini dilihat sebagai satu ancaman kepada pemerintah, sehingga sebuah kumpulan ultra Melayu, Perkasa telah mengeluarkan ancaman kepada kaum Cina supaya “bersiap sedia simpan bekalan makanan, tidak keluar rumah pada 9 Julai depan.”

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg9_ChJlZvYDgA9tk6nTfwRNUCQc_iBQUfAQ6yfmG23M3zSnbDLe1bxY0PVL_LbSJHP0TJY8BiQqdmVwudzcp1f72aHcABfkExA3Hk7TRu-CE0lTq4LGHLkVguMD-FvNzdWOwUt8-RmxR0/s1600/JALANRAYA.jpg

No comments

Powered by Blogger.