Idea kolaborasi Utusan gagal di Muktamar PAS

Oleh LANJUSOH
lanjusoh@gmail.com

PAGI 4 Jun lalu seorang pemimpin Umno di peringkat cawangan menanya siapa menang Timbalan Presiden PAS. Lalu jawab penulis, Mohamad Sabu.“Betulkah begitu, ambo sebelum ini ingatkan Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man boleh menang,” ujar pemimpin Umno terbabit.

Kemudian ketika berjumpa kali kedua di tempat kenduri selepas Zohor hari sama, beliau memberitahu sudah tahu semua pemenang. Katanya RTM ada siar nama pemenang pada berita tengahari. “Haji Husam pun menang Naib Presiden. Kalau hendak dibanding dari segi ilmu jauh berbeza di antara Mat Sabu dan Tuan Ibrahim.


“Tapi Mat Sabu ‘panglima PAS’ yang tahan lasak. Ambo ingat Tok Guru Nik Aziz pun suka begitu,” ujar lelaki lewat 60-an itu, seperti berminat sangat.

Biarpun dia ahli tegar Umno Kelantan, namun beliau tahu apa yang berlaku dalam PAS. Ternyatalah perhatian seluruh negara terarah pada muktamar PAS di Taman Melewar.

Bukan sekadar Umno di peringkat cawangan, sebaliknya di peringkat tertinggi pun mengikuti sama perkembangan muktamar. Kadang-kadang ada debarnya.

Nampaknya semua orang berminat mengetahui apa yang berlaku dalam PAS.

Maka tidak hairanlah sejak dari awal lagi akhbar milik Umno, Utusan Malaysia menjadikan PAS sebagai tajuk utama. Editornya menyediakan beberapa halaman untuk mengkisah berkaitan muktamar PAS.

Ramai melihat Utusan cuba berlagak alim seketika. Dimulakan dengan persembahan tajuk depan “Gelora pemilihan PAS” pada 28 Mei. Mungkin tidak ramai yang mengendahkan spekulasi tersebut. Lalu dinyaringkan lagi dengan paparan tajuk “Kekalkan Hadi-Nasha” pada tajuk halaman depan 2 Jun. Kali ini ada yang mulai tersentak.

Pada pagi sebelum perwakilan PAS mengundi, Utusan menggunakan pula tajuk “Ingatan Ulama”. Selain itu dikutip pula kenyataan bloggers mesra Umno, Kickdeffela kononnya Dato’ Husam Musa membayar pampasan sebanyak RM350,000.

Seorang veteran PAS di Pasir Mas, Hashim Omar, 65 memberitahu pertuduhan dilempar blogger terbabit boleh mengundang kepada agensi penguatkuasa mengintai peluang.

“Maklumkan kalau ada berita tak betul sekalipun SPRM segera siasat. Sedangkan banyak laporan terhadap salah laku pemimpin Umno lambat diambil tindakan,” ujarnya.

Jelaslah akhbar milik Umno itu paling rimas sekiranya jawatan Timbalan Presiden PAS bertukar ganti. Utusan juga bimbang sangat Husam mendapat semula kerusi lamanya.

Sikap bermurah hati editor Utusan memberi ruang luas kepada Muktamar PAS kali ke-57 berselindung di sebalik tujuan tersirat. Ada udang di sebalik batu. Atau juga dianggap lempar batu sembunyi tangan.

Sebelum muktamar berlangsung, tiga berita berkisar PAS dipapar di muka hadapan. Di penghujung muktamar dua lagi berita utama disedekah untuk PAS.

Kalau diikuti teori dinukil bekas wartawan kanan Utusan, Hata Wahari semua berita utama mesti mendapat izin Biro Politik Umno. Mungkinkah lima paparan muka depan akhbar terbabit berkisar muktamar PAS dilulus Biro Politik Umno?

Biro itu diketuai Dato’ Seri Najib Razak. Jelaslah impian Najib dan Biro Politik Umno menghalang pemimpin PAS yang dilihat rapat dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mendapat kedudukan lebih kanan. Namun mereka gagal.

Perwakilan PAS tidak menghiraukan nasihat Utusan. Begitu juga peringatan Ketua Dewan Ulamak, pemimpin PAS jangan korbankan identiti Islam, yang tersirat sesuatu harapan.

Apa sebab teori dicetus Utusan tidak mengena. Pertamanya, berapa kerat sangat daripada lebih 1,000 perwakilan PAS sudi mengelek Utusan.

Keduanya, pemimpin PAS ada banyak pengalaman dengan mainan tersirat akhbar Umno itu. Mantan Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan yang juga bekas pegawai kanan Kementerian Kewangan, Anual Bakri Haron selalu mengingatkan bola tanggung diangkat Utusan akan dibalun dengan smash kencang.

Betul. Itulah yang berlaku dengan ulasan dipapar akhbar terbabit. Tujuannya supaya ada bola tanggung boleh dicuit pemimpin Umno. Semua tajuk utama yang disaji akan diulas dengan kenyataan ‘lintang’.

Semuanya bertujuan bagi menghodoh wajah PAS. Inilah perniagaan politik yang menjadi mainan akhbar milik Umno apabila melaporkan berkaitan musuh.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyuddin Yassin apabila diberi ruang memuntahkan pandangannya, “Perjuangan PAS sudah tersasar.”

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pula bermadah, “PAS sanggup gadai perjuangan asal demi kuasa.”

Manakala menteri yang suka pakai azimat di lengan Dato’ Seri Nazri Aziz pula berlagak seperti pak nujum dengan menyebut, “Negara kebajikan gimik politik PAS.”

Biarpun PAS dianggap musuh tradisi kerana mahu menggantikan Umno, namun dalam situasi perniagaan, ada halaman khas disediakan Utusan untuk muktamar PAS.

Utusan perlu memperlihatkan akhbar itu ultra Melayu kerana pendukung PAS juga Melayu. Agenda utamanya menghalang kenalan Anwar berada di posisi depan gerakan Islam tersebut. Namun, apa yang berlaku perwakilan PAS ketepikan segala agenda mainan Biro Politik Umno yang cuba campur tangan dalam rumahtangga PAS.

Fenomena itulah yang lebih awal dikesan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan. Beliau seperti yakin ada pihak luar cuba campur tangan dalam rumahtangga PAS.

Malangnya ada pemimpin PAS menolaknya mentah-mentah. Namun, apa yang disaji Utusan sepanjang muktamar berlangsung, ada niat kolaborasi bagi mempertemukan dua parti

No comments

Powered by Blogger.