Syabas TG Guru Haji Hadi! Seru Rakyat Turun Serta Bersih 2.0 Nanti

Hadi mahu ahli, penyokong PAS sertai Bersih 2.0


KUALA LUMPUR, 23 Jun — Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengarahkan semua ahli dan penyokong PAS agar menyertai Himpunan Bersih 2.0 yang dianjurkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), 9 Julai ini di ibu negara.

Menurut Presiden PAS itu, perhimpunan yang dianjurkan itu mempunyai matlamat murni dan perlu disokong semua pihak.

“Saya menyeru semua ahli dan penyokong PAS menyertai Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil,” katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Difahamkan PAS mempunyai sekitar sejuta ahli.

Bagaimanapun beliau mengingatkan ahli dan penyokong parti akan tidak menimbulkan kekacauan yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta kerosakan harta benda.

“Setiap ahli PAS yang menyertainya jangan sekali-kali membawa senjata. Saya juga suka mengingatkan ahli-ahli PAS agar jangan bermusuhan dengan pihak polis,” katanya.

Tegas Hadi, sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini, ia disebabkan provokasi yang dilakukan pihak tertentu dan bukan peserta Himpunan Bersih 2.0.

“Sebaliknya, kejadian tersebut pasti dilakukan oleh pihak lain, termasuk oleh pihak Umno dan BN (Barisan Nasional), atau provokasi yang dilakukan oleh pihak polis sendiri seperti yang telah berlaku dalam siri perhimpunan-perhimpunan aman yang diadakan sebelum ini.

“Oleh itu yang perlu dikawal oleh pihak polis dalam perhimpunan itu adalah pihak-pihak yang membuat provokasi dan bukan polis sendiri yang membuat provokasi,” tegasnya.

Justeru kata Ahli Parlimen Marang ini, Umno-BN sepatutnya tidak perlu takut dengan Himpunan Bersih 2.0 kerana ia hanya satu perhimpunan aman menuntut pilihan raya bersih dan adil yang harus dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Pilihan raya yang tidak bersih itu tidak boleh dibiarkan kerana ia pasti akan menimbulkan kemarahan rakyat. Itulah yang perlu dibantah dan itulah matlamat Perhimpunan Bersih 2.0.

“Matlamat tersebut sememangnya sesuatu yang baik sebab itulah PAS menyokong langkah yang diadakan oleh Bersih untuk mengadakan perhimpunan itu bagi menuntut pilihanraya yang bersih dan adil,” katanya.

Selain itu, tambah Hadi sepatutnya Umno-BN harus sama-sama menyokong Himpunan Bersih 2.0 kerana ia juga akan memberi manfaat kepada parti pemerintah itu pada pilihan raya umum ke-13.

“Semua negara demokrasi yang maju di dunia ini tidak menghalang perhimpunan aman yang diadakan oleh rakyatnya. Malah ia akan dikawal dan diberikan kerjasama dengan baik oleh pihak keselamatan selagi perhimpunan itu tidak mengganggu ketenteraman awam.

“Malah di negara-negara demokrasi maju di dunia ini, pihak pemerintah sendiri turut mengambil manfaat dari demonstrasi aman yang diadakan bagi mendengar suara rakyat untuk memperbaiki kelemahan yang ada. Umno dan kerajaan BN juga sepatutnya bersikap seperti itu demi kepentingan negara,” ujar beliau.

Beliau juga menegaskan Himpunan Bersih 2.0 tidak akan menjejaskan mata pencarian peniaga sebaliknya berkata ia akan “memberi keuntungan besar” kepada mereka.

Himpunan Bersih 2.0 menuntut lapan perkara yang harus dilaksanakan SPR dalam memastikan ketelusan dalam sistem pilihan raya dan ia termasuk membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimumu 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bebas sebagai kesinambungan himpunan yang kali pertama diadakan pada November 2007.

Selain Bersih, Perkasa dan Pemuda Umno turut akan mengadakan perhimpunan balas membantah penganjuran Himpunan Bersih 2.0 yang akan berarak ke Istana Negara dari tiga lokasi berbeza.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg9_ChJlZvYDgA9tk6nTfwRNUCQc_iBQUfAQ6yfmG23M3zSnbDLe1bxY0PVL_LbSJHP0TJY8BiQqdmVwudzcp1f72aHcABfkExA3Hk7TRu-CE0lTq4LGHLkVguMD-FvNzdWOwUt8-RmxR0/s1600/JALANRAYA.jpg

No comments

Powered by Blogger.