Provokasi Keterlaluan Terhadap BERSIH 2.0

1. Saya ingin merujuk kepada laporan berita bertajuk, “Batalkan Jika Tidak Mahu ‘Perang’ – Omardin” yang telah dimuatkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada tarikh 27 Jun 2011. Sejak pihak Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengeluarkan kenyataan media mengenai teknik kerajaan menakutkan rakyat untuk menghadiri Himpunan BERSIH 2.0 beberapa hari lalu, kami telah menjangkakan tekanan dan ugutan yang lebih dahsyat akan dipertingkatkan menjelang 9 Julai nanti.

2. Keadaan pada hari ini bertambah getir apabila provokasi demi provokasi terus dimarakkan oleh akhbar lidah UMNO, Utusan Malaysia. Terbaru, sepertimana petikan daripada laporan akhbar Utusan Malaysia yang disiarkan pada 27 Jun 2011, secara jelas Mahaguru Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia mengeluarkan kenyataan yang agak keras dan keterlaluan.

Memetik daripada laporan berita tersebut ;

Beliau menasihatkan Ambiga supaya membatalkan segera hasrat menganjurkan perhimpunan itu kerana khuatir tidak akan dapat mengawal emosi anak-anak didiknya jika mereka bertembung pada perhimpunan itu nanti.

Sebagai pengamal silat, saya tidak boleh beri jaminan bahawa kami hanya akan melaung dan membantah sahaja. Jadi sekiranya tidak mahu perkara tidak diingini berlaku, lebih baik batalkan hasrat untuk menganjurkan perhimpunan haram tersebut.

3. Ugutan sedemikian sebenarnya turut mencemarkan Institusi Budaya dan Seni Silat tanahair kita yang selama ini, secara tradisi dan warisannya sangat dikenali sebagai satu Institusi yang sangat tinggi wibawa dan disiplinnya. Malah begitulah layaknya jiwa dan karektor pendekar - pendekar tanahair yang tinggi budi dan halus pekerti disebalik kehebatan dan keperkasaan ilmu mempertahankan diri. Selayaknya pula pendekar dan satria tanahair digunakan untuk mempertahankan negara dan menegakkan keadilan, bukannya mem'belasah' rakyat sendiri yang mahu menuntut keadilan secara aman. Apakah himpunan untuk menunjuk perasaan rakyat secara aman agar beberapa tuntutan mereka diberi perhatian dan ditunai oleh kerajaan telah menjadi satu kesalahan dalam negara kita ? apakah negara kita telah menukar sistem demokrasinya kepada sistem autokrasi ?

4. Jika pihak BERSIH 2.0 boleh dan mampu memberi jaminan bahawa pesertanya berdisiplin dan hadir berhimpun dengan aman dan ia adalah satu komitmen yang konsisten dan dipertegaskan berulang kali, kenapa pihak Pertubuhan Seni Silat Lincah Negara mengeluarkan kenyataan tidak dapat mengawal emosi anak didiknya sehingga boleh mendorong tercetusnya pertembungan.

5. Jika pihak Pertubuhan Seni Silat Lincah Negara tidak berupaya mengawal emosi anak didiknya, maka usahlah dikerahkan anak didik Pertubuhan Seni Silat Lincah Negara turun pada hari yang sama untuk bertembung dengan pihak BERSIH 2.0 kerana kami bagi pihak BERSIH 2.0 sekali lagi mempertegaskan bahawa kami tidak turun dengan membawa semangat mahu bertembung dengan sesiapa sebaliknya hanya sekadar mahu mengadakan " Berjalan untuk Demokrasi " sambil membawa 8 tuntutan sebagaimana yang telah dimaklumi oleh semua pihak.

6. Hari ini kita dapat saksikan bagaimana pihak kerajaan dan pengamal media tertentu dengan sengaja memainkan peranan seolah-olah ingin merancang suatu keadaan yang huru hara sehingga melibatkan pertembungan fizikal pada 9 Julai ini. DPPM ingin tegaskan bahawa tiada sebarang agenda sulit atau himpunan untuk mencetuskan kekacauan daripada rakyat menerusi anjuran BERSIH 2.0. Ini adalah satu perkara yang dijamin dibawah Perlembagaan Persekutuan.

7. Amat mengecewakan apa yang berlaku hari ini adalah hak rakyat untuk berhimpun telah dinafikan malah diancam dengan pelbagai cara. Ancaman demi ancaman inilah yang membawa kepada kekacauan sebagaimana yang telah dimomokkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Lebih mengecewakan tidak ada sebarang tindakan yang diambil oleh pihak polis terhadap mereka yang mengeluarkan kenyataan berbaur sentimen huru hara berkenaan. DPPM yakin semua pihak mahukan negara yang aman. Maka, tidak perlu provokasi keterlaluan sehingga boleh mengheret rakyat kepada situasi yang menakutkan.

8. Demikian juga dengan beberapa siri himpunan bantahan yang dilakukan oleh pihak pemuda UMNO dan juga PERKASA dengan mengeluarkan kenyataan berupa ugutan dan ancaman sedang pihak BERSIH telah berkali - kali membuat komitmen untuk memastikan Himpunan BERSIH 2.0 kelak akan berlangsung dalam keadaan aman. Malangnya pihak berkuasa tidak pula mengambil tindakan kepada pihak yang mencetus provokasi dan beria - ia mahu berperang, bertembung dan sebagainya. Lebih malang apabila yang menjadi sasaran pihak berkuasa hanyalah BERSIH 2.0 yang bertegas mahu menganjurkan himpunan secara aman .

9. Apakah pihak kerajaan turut bersubahat dengan `pihak yang mencetus provokasi hanya semata - mata tidak mahu melihat himpunan BERSIH 2.0 ini berjaya dilakukan. Situasi ini jelas menunjukkan seawal - awalnya pihak kerajaan telah TIDAK berlaku adil dalam menangani isu ini.

10. Penegasan yang sekali lagi saya mahu utarakan kepada semua khasnya kepada pihak kerajaan bahawa kami terutamanya anak - anak muda yang akan turun pada 9 Julai 2011 kelak adalah mewakili rakyat yang mahukan keadilan , keamanan dan kesejahteraan. Kami tidak turun dengan membawa senjata demikian juga kami tidak sekali - kali akan mencetus provokasi yang mengundang kepada ancaman keselamatan kepada pihak lain. Sebaliknya ikrar kami, hanya turun membawa hati dan perasaan yang mahukan keadilan dan hak diberikan kepada kami secara saksama setelah sekian lama hak kami dinafikan seperti yang tersenarai dalam 8 tuntutan kami.

1. Clean the electoral roll
2. Reform postal ballot
3. Use of indelible ink
4. Minimum 21 days campaign period
5. Free and fair access to media
6. Strengthen public institutions
7. Stop corruption
8. Stop dirty politics

1. Bersihkan senarai undi
• Senarai undi harus dibersihkan dengan segera untuk menyingkirkan ‘pengundi hantu’ seperti orang yang telah meninggal.
• Pendaftaran pengundi automatik yang diselarikan dengan senarai Jabatan Pendaftaran Negara boleh menyelesaikan masalah pengundi hantu dalam jangka masa panjang.

2. Mereformasikan undi pos
• SEMUA pengundi seharusnya dibenarkan untuk mengundi melalui undi pos atau mengundi lebih awal sekiranya seseorang individu itu tidak dapat berada di kawasan pengundian semasa hari mengundi.
• Anggota polis dan tentera yang tidak bertugas harus mengundi seperti biasa pada hari mengundi.
• Undi pos mesti dijalankan dengan telus! Agen parti politik harus dibenarkan untuk memantau proses undi pos.

3. Gunakan dakwat kekal
• Penggunaan dakwat kekal boleh mengelakkan seseorang (atau pengundi hantu) daripada mengundi beberapa kali.

4. Masa kempen minima 21 hari
• Masa yang lebih panjang diperlukan untuk calon menyebarkan maklumat, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Contohnya, pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini diberi masa kempen 10 hari sahaja.
• Pada 1955, ketika era pemerintahan penjajah, pilihanraya mempunyai masa kempen sepanjang 42 hari. Manakala semasa Pilihanraya Umum ke-12 pada 2008, masa kempen 8 hari sahaja.

5. Akses media yang bebas dan adil
• RTM dan Bernama adalah agensi media yang dibiayai oleh kerajaan. Mereka sepatutnya memberi liputan yang seimbang dan adil untuk semua parti yang bertanding.
• Parti politik harus dibenarkan untuk membuat pengiklanan tanpa sebarang diskriminasi dan penapisan.
• Ini adalah mengenai keadilan! Semua media perlu memberikan hak untuk semua parti membalas kepada tuduhan-tuduhan negatif terhadap mereka.

6. Kukuhkan institusi awam
Institusi awam dan kakitangan kerajaan harus tidak berat sebelah dan menegakkan undang-undang dan demokrasi. Institusi awam harus direformasikan supaya bertindak secara bebas, menegakkan undang-undang dan melindungi hak asasi manusia.
Contohnya :
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hendaklah memastikan pilihanraya yang bebas dan adil.
Badan Kehakiman harus memelihara kebebasannya dan menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa gentar atau memihak.
Peguam Negara perlu bertindak secara tidak berat sebelah dan mengutamakan kepentingan rakyat.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus bertindak dengan adil dan menghentikan pendakwaan selektif dan penyalahgunaan kuasa.
Polis Di Raja Malaysia perlu bertindak secara profesional dalam melaksanakan tugas dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

7. Hentikan rasuah
Rasuah adalah kegiatan mencuri dari rakyat untuk kepentingan peribadi. Rasuah menyebabkan orang kaya bertambah kaya dan golongan miskin semakin miskin.
Pembelian undi harus dihentikan!
Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 mesti dikuatkuasakan.

8. Hentikan politik kotor
BERSIH 2.0 menuntut SEMUA parti politik untuk menghentikan politik kotor.

Nasrudin bin Hassan
Ketua DPP Malaysia

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg9_ChJlZvYDgA9tk6nTfwRNUCQc_iBQUfAQ6yfmG23M3zSnbDLe1bxY0PVL_LbSJHP0TJY8BiQqdmVwudzcp1f72aHcABfkExA3Hk7TRu-CE0lTq4LGHLkVguMD-FvNzdWOwUt8-RmxR0/s1600/JALANRAYA.jpg

No comments

Powered by Blogger.