Najib Nak Balik Awal, Sebab Tu Pidato Mat Sabu Batal

Misi Gaza: Batal pidato Mat Sabu, Khairy bukan kerana tekanan politik pejabat PM

Oleh G Manimaran


KUALA LUMPUR, 20 Jun — Tindakan membatalkan acara pidato pada majlis pelancaran misi kemanusiaan ke Gaza kelmarin, yang sepatutnya disertai Mohamad Sabu dan Khairy Jamaluddin tiada kaitan dengan tekanan politik, kata wakil penganjur hari ini.

“Tidak, tidak... tiada kaitan dengan tekanan politik, sebagaimana didakwa,” kata Ketua Misi Pasukan Lifeline4Gaza (LL4G) Malaysia Dr Noorazman Mohd Samsudin ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Sesi pidato itu dimaklumkan pembatalannya kepada Mohamad, timbalan presiden PAS, kira-kira 12 jam sebelum ia sepatutnya diadakan.

Kata Dr Noorazman, pihaknya terpaksa membatalkan sesi pidato memandangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempunyai jadual yang ketat, bukannya kerana soal politik.

“Jadual (perdana menteri) agak ketat, perdana menteri kena habiskan (acara) awal... jadi kami juga membatalkan beberapa acara lain,” kata beliau lagi.

“Ini termasuk acara persembahan penyanyi Muaz, yang hanya menyanyikan lagunya selepas perdana menteri selesai berucap,” kata beliau.

“Hanya saya dan perdana menteri yang berucap,” katanya.

Ketika ditanya sama ada perubahan itu disebabkan permintaan pejabat Najib atas faktor masa semata-mata, Noorazman, “ya, saya boleh kata begitu, tetapi bukan kerana tekanan politik.”

Menjawab kenyataan Mohamad bahawa pentadbiran Najib dan parti pimpinannya Umno cuba ‘memonopoli’ misi kemanusiaan kedua ini, yang diadakan bagi membantu rakyat Palestin, Dr Noorazman berkata, “itu tidak benar.”

“Saya tak mahu komen isu ini, sebab dalam acara ini ada orang BN, ada NGO, ada wakil Pakatan, ada NGO (pro) BN, ada NGO (pro) Pakatan, jadi tak benar (dimonopoli) oleh satu parti, dari Umno,” katanya sambil menjustifikasikan bahawa ada ahli Parlimen masing-masing seorang dari BN dan Pakatan Rakyat.

“Kami sebenarnya menjemput semua pihak, sebab ini isu keamanan, kami mahu melibatkan semua orang, semua pihak,” kata beliau lagi.

Semalam, Mohamad yang mesra dikenali sebagai “Mat Sabu” berkata beliau dan beberapa badan bukan kerajaan propembangkang telah diketepikan ekoran tindakan membatalkan acara pidato yang sepatutnya diadakan pada Majlis Pelancaran Lifeline4Gaza di Stadium Badminton Cheras di sini.

Mohamad berkata beliau sepatutnya hadir dalam program itu bagi menggantikan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, namun memutuskan tidak hadir kerana terdapat ketidakadilan ke atas beliau dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan lain.

“Saya rasa amat gembira kerana dapat bersama perdana menteri dan NGO lain sebab isu Palestin adalah isu bersama dan kita perlu membela rakyat Palestin yang tertindas.

“Saya juga diberitahu akan berucap selama 10 minit bersama wakil NGO lain sebelum perdana menteri, PAS memutuskan bahawa isu Palestin adalah isu bersama, namun pada pagi (kelmarin) saya dihubungi, dan penganjur mengatakan ucapan saya dan NGO lain dibatalkan... hanya ucapan perdana menteri,” katanya semalam.

Selain Mohamad, Khairy iaitu Ketua Pemuda Umno juga dijemput untuk menyampaikan pidato.

Tegas Mohamad, beliau tidak kisah sekiranya berucap atau tidak, namun terkilan apabila Umno bersama NGO, Aman Malaysia mengambil alih keseluruhan program itu.

Beliau memberitahu, program itu sepatutnya menjadi platform menuntut keadilan bagi rakyat Palestin dan bukan bermotifkan politik.

Tambah Mohamad, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad juga belum membuat keputusan sama ada mahu menyertai misi itu ataupun sebaliknya.

Ketika ditanya mengenai status Khalid,

Dr Noorazman berkata, setakat hari ini wakil rakyat masih kekal dalam senarai mereka yang akan pergi.

“Setakat ini status YB Khalid tiada apa-apa perubahan,” katanya.

Pasukan Lifeline4Gaza Malaysia akan menyertai International Freedom Flotilla II ke Gaza.

Seramai 10 orang rakyat Malaysia, termasuk dua wakil media akan turut sama dalam pasukan Lifeline4Gaza ke Gaza.

Selain Dr Noorazman, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau dan Khalid, turut akan sertai ialah Pengerusi Aman Malaysia Datuk Ahmad Zaki Zahid dan Bendahari Muslim Care Malaysia Zulkefli Wahijan.

Turut sama Setiausaha Agung Pertubuhan Kebajikan Islamiah al Ehsan Ismail Darus, wartawan Astro Awani Nazri Kahar dan jurukameranya Wan Yusani Amir.

Dr Noorazman berkata mereka dijadual akan berlepas pada 23 atau 24 Jun ini tertakluk kepada perkembangan satu mesyuarat hari ini.

“Kami tunggu isyarat,” katanya.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg9_ChJlZvYDgA9tk6nTfwRNUCQc_iBQUfAQ6yfmG23M3zSnbDLe1bxY0PVL_LbSJHP0TJY8BiQqdmVwudzcp1f72aHcABfkExA3Hk7TRu-CE0lTq4LGHLkVguMD-FvNzdWOwUt8-RmxR0/s1600/JALANRAYA.jpg

No comments

Powered by Blogger.