Sektor Penjanaan Elektrik Perlu Reformasi Untuk Mengubah Strukturnya

Oleh Rafizi Ramli

Pengumuman Barisan Nasional menaikkan tarif elektrik bukanlah satu kejutan kepada orang ramai. Selama ini, Barisan Nasional hanya ada satu pilihan sekiranya ia benar-benar ikhlas membawa reformasi ekonomi dan menghidupkan ekonomi negara yang semakin malap: ia perlu berdepan dengan ketagihan kumpulan elit politik-niagawan yang mengaut keuntungan melampau dengan merombak perjanjian-perjanjian yang berat sebelah dan menyebabkan struktur ekonomi kita tempang.

Pun begitu, Barisan Nasional juga telah membuktikan berkali-kali ia tidak mempunyai kekuatan dan keberanian untuk menghapuskan kroni-kapitalisme yang menguntungkannya selama ini.

Barisan Nasional mendakwa bahawa kenaikan tarif ini tidak akan membawa kesan kepada 4.4 juta isirumah atas alasan tarif bagi penggunaan 300 kWj setiap bulan tidak berubah. Bil elektrik pengguna-pengguna ini mungkin tidak berubah, tetapi peningkatan inflasi akibat dari kenaikan tarif ini akan terus mengurangkan pendapatan boleh belanja (disposable income) bulan mereka. Begitu juga dengan isi rumah atau kediaman lain (termasuklah kediaman yang dikongsi beramai-ramai oleh pelajar atau pekerja) yang bil elektriknya mengatasi paras RM77 sebulan – mereka akan mendapat beban kenaikan tarif dan peningkatan harga barang.

Kali terakhir tarif asas domestik dinaikkan adalah dalam bulan Jun 2006. Tarif asas bagi 200kWj pertama sebulan pada masa itu dikekalkan pada kadar sekarang iaitu 21.8 sen setiap kWj. Namun, tahun 2006 menyaksikan peningkatan harga barang dan kadar inflasi kedua tertinggi dalam separuh dekad yang lepas iaitu pada aras 3.6%. Satu-satunya masa harga barang mencanak dengan lebih cepat adalah dalam tahun 2008 akibat kesan berganda kenaikan harga petrol dan diesel.

Jika kita meneliti data inflasi dalam tahun 2006, jelas kenaikan harga sedemikian rupa adalah disebabkan oleh kesan gabungan berganda kenaikan tarif elektrik dan harga petrol/diesel.

Barisan Nasional mengulangi pendekatan dasar yang sama dalam tahun 2011 ini – menaikkan harga-harga barangan asas secara serentak iaitu gula, petrol, diesel dan sekarang elektrik. Kesan gabungan berganda ini dijangkakan akan mendorong inflasi bagi tahun 2011 mengatasi kadar inflasi 2006 dan menyaksikan berjuta isirumah berdepan dengan masalah kenaikan harga barang, sedang pendapatan boleh belanja mereka semakin mengecil.

Rakyat tidak perlukan penarikan subsidi semborono sebegini yang menyebabkan kenaikan-kenaikan harga barang. Mana-mana kerajaan yang bertanggung jawab dan menghadapi krisis defisit dan inflasi di Putrajaya (seperti mana masalah yang dihadapi Barisan Nasional sekarang) sepatutnya mengambil langkah berani dan ada kekuatan moral untuk menyelesaikan masalah ini di peringkat umbinya.

Sektor penjanaan elektrik di negara ini terus dihantui dengan warisan perjanjian-perjanjian yang berat sebelah dan membebankan rakyat. TNB dipaksa membeli elektrik pada kadar yang lebih tinggi dari kos dalamannya dari penjana bebas (IPP). Untuk mengimbangi harga elektrik yang terlalu tinggi, TNB dan IPP diberikan subsidi gas yang terlalu tinggi setiap tahun dan ditanggung PETRONAS.

Pengumuman Barisan Nasional semalam langsung tidak memenuhi keperluan sektor penjanaan elektrik yang memerlukan reformasi segera. Kenaikan tarif yang dikenakan akan menjadi pampasan kepada TNB untuk menggantikan potongan subsidi gas akibat kenaikan harga gas asli dari RM10.70 k3 RM13.70 setiap mmbtu. Kesan keseluruhannya langsung tidak mengubah keadaan sekarang: TNB masih mencapai keuntungan yang sama, rakyat terus dibebankan dengan setiap kenaikan harga dan IPP langsung tidak terkesan kerana ia dilindungi oleh mekanisme harga bahan api sedia ada. Sepatutnya Barisan Nasional mengubah mekanisme ini agar IPP juga menanggung kesan kenaikan harga bahan api dan untungnya berkurangan; sebaliknya rakyat pula yang dihukum apabila selepas ini tarif elektrik akan disemak setiap 6 bulan untuk memastikan ia melambangkan kenaikan kos bahan api semasa.

Ini hanyalah dandanan kosmetik untuk menenangkan kritikan yang semakin memuncak yang menuntut reformasi sektor penjanaan kuasa. Barisan Nasional boleh sahaja berharap dandanan ini diterima sebagai satu pakej reformasi ekonomi untuk mengurangkan subsidi, tetapi penghakiman rakyat sudah tentu berbeza. Hakikatnya, ia satu rompakan yang mengambil lebih banyak wang rakyat untuk diberikan kepada syarikat korporat bagi menggantikan potongan subsidi gas yang terpaksa dibuat.

No comments

Powered by Blogger.