Teks Ucapan Perasmian Muktamar Muslimat Kali Ke 51 : PERSIAPAN UNTUK KE PUTRAJAYA

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرحمن الرحيم

Firman Allah SWT yang bermaksud : Allah membuat isteri Nuh dan isteri Luth sebagai perumpamaan bagi orang-orang kafir. keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang saleh di antara hamba-hamba Kami; lalu kedua isteri itu berkhianat kepada suaminya (masing-masing), Maka suaminya itu tiada dapat membantu mereka sedikitpun dari (siksa) Allah; dan dikatakan (kepada keduanya): "Masuklah ke dalam Jahannam bersama orang-orang yang masuk (jahannam)". Dan Allah membuat isteri Fir'aun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika ia berkata: "Ya Rabbku, bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam firdaus, dan selamatkanlah Aku dari Fir'aun dan perbuatannya, dan selamatkanlah Aku dari kaum yang zhalim. 12. Dan (Ingatlah) Maryam binti Imran yang memelihara kehormatannya, Maka kami tiupkan ke dalam rahimnya sebagian dari ruh (ciptaan) kami, dan dia membenarkan kalimat Rabbnya dan Kitab-KitabNya, dan dia adalah termasuk orang-orang yang taat.

• Terima kasih kepada pengerusi majlis

• Yang Berbahagia al-Fadhilah Ustazah Nuridah binti Salleh, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat dan saf kepimpinan Dewan Muslimat PAS Pusat

• Yang Berbahagia Wakil Dewan Harian PAS Pusat

• Seluruh ahli-ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat

• Yang diraikan tetamu-tetamu jemputan khususnya khususnya kepimpinan wanita Pakatan Rakyat

• Ketua-ketua Dewan Muslimat Negeri-negeri bersama ahl-ahli jawatankuasanya

• Para perwakilan

• Muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi syukur kita panjatkan kepada Allah SWT yang telah memberikan kita kesempatan untuk bersama-sama berada di dalam majlis perasmian muktamar tahunan Dewan Muslimat PAS Pusat untuk kali ke 51 pada malam ini. Saya mengucapkan terima kasih kerana dijemput untuk menyampaikan ucapan seterusnya merasmikan muktamar ini. Sekalung tahniah kepada Dewan Muslimat PAS Pusat di atas kejayaan mengadakan agenda tahunan ini sekaligus melepasi usia setengah abad dengan bermuktamar untuk kali ke-51 pada hari ini, alhamdulillah. Saya utuskan dua rangkap rangkap pantun sebagai pembuka kepada ucapan saya pada malam ini :

Pulang petang gadis sekawan,

Anak Telosan di Padang Rata

Hamba datang kerana tuan

Untuk berpesan sepatah kata

Datang berteduh di pinggir rimba

Mencari kawan di tengah dangar,

Tinggi sungguh harapan hamba,

Agar tuan sudi mendengar

MENYERTAI PAS SATU IBADAH

Para perwakilan, pemerhati serta hadirin yang dikasihi sekalian.

Saya ingin mulakan ucapan ini dengan mengingatkan kita semua bahawa perjuangan kita Parti Islam Semalaysia (PAS) ini merupakan satu ibadah di medan siasah dan dakwah pasti akan diganjari oleh Allah SWT dengan kebaikan insya-allah. Perlulah diingatkan PAS adalah Gerakan Islam yang menyertai pilihanraya dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Biarpun ruang demokrasi itu kian sempit namun perjuangan untuk membebaskan umat Islam dari kepungan jahiliyah moden ini berpandukan syara' mesti diteruskan walau dengan apa cara sekalipun.

Justeru, penyertaan dan penglibatan msulimat bersama PAS dalam pilihanraya bukanlah didorong oleh inginkan kemenangan pilihanraya sebaliknya ia didokong oleh prinsip syariat Islam agar mengisi ruang sistem bernegara dan menggantikan sekularisme yang menjadi anutan kerajaan yang ada pada hari ini. Sesungguhnya penyertaan PAS dalam seluruh kegiatan politik dakwah hari ini adalah bertujuan ke arah memenuhi tuntuan pengabdian diri kita kepada Allah SWT. Maka muslimat juga bertanggungjawab memastikan matlamat, objektif, strategi dan seluruh aktiviti mestilah berlandaskan al-Quran, al-Sunnah dan prinsip berjemaah.

Saya menyatakan perkara ini sebagai satu penegasan agar PAS mampu berdepan dengan penjajahan pemikiran dan gelombang sekular yang datang dengan pelbagai warna, ada yang biru dan ada yang merah. Walau apa jua warna sekalipun, ia tetap merupakan gelombang jahiliyyah yang mesti ditolak. Maka mantapkanlah perjuangan kita sebagai satu ibadah demi mengembalikan kesemua aspek kehidupan manusia ke bawah naungan redha Allah SWT.

Firman Allah SWT :

قُلْ إِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، لاَ شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ

- سورة الأنعام، أية 162-163

Yang bermaksud : Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.

MUSLIMAH SEBAGAI NADI JEMAAH

Para perwakilan, pemerhati serta hadirin yang dikasihi sekalian.

Penglibatan golongan muslimah di dalam gerakan politik dakwah merupakan sumbangan besar di sisi Islam. Mereka adalah sayap pengimbang di dalam perjuangan menegakkan agama Allah SWT. Sebagaimana seekor burung tidak mungkin terbang dengan sebelah sayapnya, demikian juga sebuah jemaah yang berentap di pentas demokrasi seperti di Malaysia, sudah tentu berfungsi dengan baik dengan adanya sayap yang bernama muslimah.

Di dalam sejarah, pernah wujud golongan wanita yang mengkhianati perjuangan suci suami-suami mereka. Ayat yang telah saya bacakan di awal ucapan tadi menceritakan bagaimana kisah dua orang wanita iaitu isteri Nabi Lut dan isteri Nabi Nuh alaihimassalam yang telah menolak dakwah suami mereka dan menjadi penentang utama terhadap risalah yang dibawa oleh suami mereka. Lalu Allah SWT mencampakkan mereka ke dalam neraka. Begitu juga tidak kurang kisah para isteri yang terus menerus berdiri di atas jalan yang benar sekalipun ditentang hebat oleh suami mereka seperti kisah Asiah isteri kepada Firaun.

Oleh yang demikian, menjadi satu tanggungjawab muslimah pada hari ini untuk menjadi wirawati dan pejuang yang berjiwa Asiah di zaman Firaun dan bukannya menjadi petualang dan pengkhianat seperti isteri Nabi Lut dan isteri Nabi Nuh. Demikian pula bagaimana hebatnya saiyidatina Khadijah binti Khuwailid sebagai muslimah pertama yang menyahut seruan Iman dan Islam menyokong perjuangan suci suaminya iaitu Rasulullah SAW sehingga sentiasa dikenang-kenang baginda sepanjang hayat.

Sabda Rasulullah SAW :

لا والله ما أبدلني خيرًا منها، آمنت بي حين كفر الناس، وصدقتني إذ كذبني الناس، وواستني بمالها إذ حرمني الناس، ورزقني منها الولد دون غيرها من النساء – رواه أحمد

Yang bermaksud : Tidak demi Allah, tidaklah Dia menggantikan untukku wanita yang lebih baik darinya (yakni Khadijah), dia beriman denganku ketika manusia mengkufuri aku, dia membenarkan aku ketika manusia menolakku, dia menolongku dengan hartanya ketika manusia memencilkan aku dan Allah mengurniakan zuriat kepadaku daripadanya dan tidak daripada wanita yang lain.

Selain Khadijah, kita juga sering mendengar nama-nama seperti, saiyidatina Aisyah RA sebagai gedung ilmu dan pusat sumber maklumat, Ummu Ammarah Nusaibah binti Ka'ab yang bermati-matian di medan Uhud dan Sumaiyah Ali Yaasir sebagai orang yang pertama mendapat gelaran syahidah. Demikian juga wirawati seperti Khaulah binti Azwar yang tangkas di medan perang dan juga pengarang syair yang hebat. Kesemuanya membuktikan peranan muslimah adalah begitu luas, bukan sekadar di dalam rumahnya semata-mata.

Apa yang penting golongan muslimah sudah melakar sejarah yang begitu hebat maka muslimat PAS diharapkan turut mencipta sejarah bagi meneruskan peranan beralaskan iman dan taqwa kepada Allah SWT.

PAS MENGHARGAI PERANAN MUSLIMAH

Para perwakilan, pemerhati serta hadirin yang dikasihi sekalian.

Di dalam PAS, Dewan Muslimat telah diberikan peranan yang cukup penting di dalam menjayakan perjuangan. Justeru, Dewan Muslimat telah melahirkan ramai tokoh pejuang. PAS pernah memberikan amanah kepada almarhumah Khadijah Mohd Sidik untuk bertanding di dalam pilihanraya umum 1959. Beliau memenangi kerusi tersebut di dalam pertembungan tiga penjuru menentang Perikatan dan Front Sosialis. Di dalam pilihanraya tersebut, PAS juga telah menurunkan Fatimah Bahari sebagai calon bagi Dun Terentang, Negeri Sembilan namun beliau tewas. Pada pilihanraya 1964, sekali lagi PAS meletakkan Khatijah Sidek bertanding dan kali ini di dalam dua kerusi sekaligus iaitu Parlimen Johor Timor dan Dun Plentong, Johor.

Selepas pilihanraya 1964, PAS mengambil keputusan untuk tidak meletakkan calon ekoran permainan politik kotor UMNO dan Perikatan pada masa itu. Amalan politik samseng, buas dan ganas menyebabkan PAS berpendirian bahawa wanita kurang selamat untuk diletakkan sebagai calon. Sehinggalah pada pilihanraya 2004, PAS mula meletakkan semula calon wanita apabila melihat politik samseng yang diamalkan oleh Barisan Nasional mula kendur dan berkurangan.

Justeru, kita saksikan di dalam pilihanraya umum 2008 yang lepas, seramai 13 orang calon Muslimat PAS diberikan kepercayaan untuk bertanding di seluruh negara. Alhamdulillah, hasilnya enam orang calon kita telah menang dan masing-masing seorang diberikan amanah pula untuk menggalas jawatan sebagai ahli exco kerajaan negeri di Kelantan, Kedah dan Selangor. Selain itu, buat kali pertama juga di dalam pilihanraya umum yang lepas, kita menyaksikan kemunculan seorang calon yang diiktiraf mewakili Kelab Penyokong PAS yang sekarang dikenali sebagai Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) adalah dari kalangan wanita iaitu Cik Kumutha Raman, yang bertanding di Dun Tiram, Johor.

Sementara itu, antara sumbangan bermakna PAS Kelantan kepada Dewan Muslimat PAS ialah melantik pimpinan muslimat sebagai ahli Dewan Negara iaitu sebagai Senator. Ia bermula dengan Ustazah Jamilah Ibrahim diikuti dengan Ustazah Noraizah Mohd Nor, Ustazah Siti Zailah Yusof, Hajah Wan Ubaidah Omar dan sekarang Hajah Mumtaz Mohd Nawi.

Alhamdulillah, kini mulut-mulut luas yang suka melemparkan tohmahan buruk terhadap PAS kian sempit. Bahkan PAS boleh dianggap lebih terkedepan daripada UMNO apabila menyaksikan kerusi Naib Presiden pernah ditandingi oleh seorang Muslimat PAS. Demikian juga dengan siri pilihanraya kecil selepas pilihanraya umum 2008, kita pernah membariskan calon wanita di DUN Tenang pada saat Pergerakan Wanita UMNO masih gagal menampilkan calon mereka di dalam pilihanraya kecil.

Para perwakilan, pemerhati serta hadirin yang dikasihi sekalian.

Hakikatnya, pemberian kerusi di dalam pilihanraya bukanlah menjadi ukuran sebenar kejayaan perjuangan muslimat. Apa yang lebih diharapkan, Dewan Muslimat PAS hendaklah konsisten dalam menjuarai pelbagai program politik dakwah. Natijahnya, Muslimat hendaklah berperanan sebagai penggerak masyarakat memacu kemenangan PAS di dalam meraih kemenangan terdekat pada pilihanraya umum ke 13 nanti.





PENGALAMAN KELANTAN MENJAGA KEBAJIKAN GOLONGAN MUSLIMAH



Para perwakilan, pemerhati serta hadirin yang dikasihi sekalian.



PAS bersama Pakatan Rakyat insya-allah, jika diberikan peluang mentadbir negara pastinya akan memperkenalkan dasar-dasar yang lebih membela kebajikan wanita berbanding dengan apa yang ada pada hari ini. Wanita bukan bahan untuk eksploitasi dan diperalatkan semata-mata, tetapi untuk dihargai dan diberikan perlindungan sewajarnya.

Cita-cita ini sedang dijalankan di Kelantan. Kami memperkenalkan dasar-dasar mesra dan cakna wanita seperti cuti bersalin sehingga 60 hari daripada 40 hari sebelumnya yang akhirnya ditiru tanpa segan malu oleh pihak-pihak yang mengaku cerdik dan pandai. Kita juga merubah cuti bekerja kepada dua hari seminggu bagi memberikan ruang kepada wanita menumpukan perhatian kepada keluarga dan juga memendekkan masa bekerja kepada sehingga jam 3.00 petang pada bulan Ramadhan.

Selain itu, kita perkenalkan bantuan dan skim pembelaan untuk golongan armalah (ibu tunggal), memastikan golongan wanita tidak dieksploitasi dengan melarang gambar wanita yang mendedahkan aurat ditayangkan di papan-papan iklan dan dalam masa yang sama tidak menghalang wanita terlibat dengan aktiviti kebudayaan dan kesukanan. Di Kelantan juga, kita mendahului penganjuran Nisa’ Games iaitu temasya sukan khusus untuk golongan wanita dan merupakan sukan wanita yang pertama di Malaysia. Alhamdulillah.

Pada kesempatan ini juga, sukalah saya mengulangi tekad kerajaan Kelantan untuk terus istiqomah melaksanakan sistem kewangan Islam. Selain berjaya menggerakan sistem perbankan tanpa riba dan pajak gadai ar-rahn, kita juga telah memperkenalkan mata wang syariah dinar dan dirham berasaskan emas dan perak. Alhamdulillah, kita telah mendapat persetujuan dari 20,000 pemilik kedai di seluruh negara yang sanggup menerima mata wang dinar dan dirham sebagai tukaran untuk mendapatkan barangan mereka. Sebagai tanda sokongan dari warga Dewan Muslimat PAS sekalian, saya mencadangkan agar setiap daripada kita seharusnya mempunyai sekurang-kurangnya sekeping dinar atau dirham di dalam poket masing-masing. Maka dengan ini, sebagai tanda kejayaan tersebut, saya bersedia menyumbangkan tiga dinar emas dan tiga dirham perak pada nilai hari ini untuk Tabung Pilihanraya Muslimat PAS Pusat, alhamdulillah.

PERSIAPAN UNTUK KE PUTRAJAYA

Para perwakilan, pemerhati serta hadirin yang dikasihi sekalian.

Saya juga ingin mengambil kesempatan pada kali ini untuk menggesa agar Muslimat PAS dapat mempersiapkan diri untuk berjuang menuju Putrajaya. Firman Allah SWT :

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ – سورة الأنفال : 60

Yang bermaksud : Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhm.

Hari ini, pada saat UMNO dan Barisan Nasional dilihat semakin hampir dengan ambang kejatuhannya, PAS semakin dilihat berpotensi untuk menggantikan UMNO. Disiplin, thiqah, dan keteguhan pimpinan dan ahli-ahli PAS adalah syarat yang perlu dipatuhi. Atas syarat inilah, kerajaan PAS di Kelantan mampu bertahan walaupun dengan majoriti satu kerusi sahaja. Prestasi ini dipandang tinggi oleh rakan-rakan kita di dalam Pakatan Rakyat. Tinggal lagi adakah kita bersedia menerima persepsi setinggi itu dan bersiapkan kita sebagai parti yang akan berada di Putrajaya kelak? Dalam hal ini, saya melihat Dewan Muslimat PAS Pusat boleh memainkan peranannya yang tersendiri.

Apa yang utama dalam siap siaga itu ialah Ahli-ahli Dewan Muslimat sewajarnya melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran yang perlu untuk bersaing di peringkat nasional. Muslimat tidak boleh lagi menganggap diri mereka hanya sebagai pelengkap kepada golongan lelaki di dalam medan juang, tetapi mereka juga perlu berperanan sebagai tiang seri yang menongkat istana perjuangan. Muslimat bukanlah langsir yang menghiasi jendela semata-mata dan ditukar ganti apabila selesai digunakan. Hari ini, pada saat dunia berkembang pesat dengan segala arus kemodenan, muslimat perlu dilihat berketrampilan menguasai pelbagai bidang ilmu dan bahasa agar dilihat mampu bersaing dengan pergerakan wanita dari parti-parti lain.

Saya melihat Dewan Muslimat PAS pada hari ini semakin menarik minat pelbagai latar belakang untuk turut bersama dengan perjuangan ini. Tidak dilupakan, msulimat perlu kepada generasi pelapis. Sedekad ini saya menyaksikan ada perbezaan berikutan kehadiran pelbagai latar belakang dan bakat baru. Maka saya mengharapkan agar golongan senior di dalam Dewan Muslimat dapat membimbing bakat-bakat baru agar memahami perjuangan PAS dan terus istiqomah membantu bahtera PAS sampai ke pantai destinasinya. Kepelbagaian ini saya ibaratkan sebagai sejambang bunga yang menampilkan pelbagai jenis bunga dan wangian yang berbeza. Ia sama sekali tidak mencacatkan jambangan bunga bahkan ia menambahkan seri dan menaikkan perhatian orang yang memerhati. Muslimah ibarat bunga yang sedang berkembang mekar di jambangan yang namanya jihad, insya-allah jika dibajai dan dijaga bunga ini, wangiannya akan terus kekal semerbak sepanjang zaman.

Para perwakilan, pemerhati serta hadirin yang dikasihi sekalian.

Akhir kata, saya berharap agar muktamar pada kali ini dapat berjalan dengan lancar dan membuahkan hasil yang terbaik untuk perjuangan PAS. Saya juga dimaklumkan bahawa akan berlaku pertandingan untuk jawatan-jawatan utama di dalam Dewan Muslimat pada kali ini. Harapan saya agar pertandingan berlaku secara adik beradik dan penuh harmoni dan semangat ukhuwwah. Bagi saya, pertandingan sebagai jalan meraih pahala dan rahmat Allah SWT. Semoga para perwakilan dapat membuat pilihan yang paling tepat untuk memilih pemimpin yang dapat menjalankan amanah sebaik yang mungkin di dalam mengemudi Dewan Muslimat PAS Pusat ini terus maju ke hadapan dalam arena politik tanah air.

Demikianlah amanah yang dapat saya sampaikan di dalam majlis ini. Saya berdoa agar kita semua dapat mengambil manfaat daripada apa yang telah saya sampaikan. Apa yang paling penting, ikhlaskanlah usaha kita kerana Allah. Semoga setiap usaha yang kita lakukan kesemuanya dikira amalan yang baik dan menndapat ganjaran di sisi Allah SWT. Saya sudahi dengan :

أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته



TEKS UCAPAN

YANG AMAT BERHORMAT TUAN GURU DATUK BENTARA SETIA

AL-MURSYIDUL AM PAS

DI MAJLIS PERASMIAN

MUKTAMAR DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT KALI KE-51

PADA : 29 JAMADIL AKHIR 1432H / 2 JUN 2011 (KHAMIS)

JAM : 8.30 PAGI

BERTEMPAT DI : DEWAM JUBLI PERAK, KOMPLEKS SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI, SHAH ALAM, SELANGOR DARUL EHSAN.

No comments

Powered by Blogger.