Usah obses dengan PRU13

Ahmad Lutfi

Muktamar tahunan PAS kali ke-57 mendapat perhatian istimewa. Walapun sorotan media lebih tertumpu kepada proses pemilihan parti, khususnya membabitkan jawatan timbalan presiden yang sukar diramal keputusannya, namun rakyat dilihat mengharapkan ia bakal menjadi medan perbahasan yang berkesan terhadap isu-isu kritikal yang melanda negara.

Selain mempertemukan petugas parti pelbagai peringkat dari seluruh negara, dalam satu perhimpunan tahunan terbesar, yang menjanjikan pengukuhan persaudaraan dan jalinan ukhuwwah yang mantap, saling bertukar maklumat dan penyegaran idea baru, muktamar juga bakal menyaksikan satu persidangan menarik mengupas pelbagai persoalan penting menjelang pilihan raya umum ke-13.

Meskipun banyak pihak beranggapan tarikh PRU13 mungkin tidak seawal yang dijangkakan, terutama selepas kenaikan tarif elektrik dan dipercayai disusuli kenaikan harga bahan api, muktamar yang bermula 3 Jun ini masih dianggap sebagai muktamar terakhir sebelum Parlimen dibubarkan. Justeru, perbincangan mengenai persiapan pilihan raya tetap menjadi agenda terpenting dan diharap setiap pembahas melakukan homework terlebih dahulu.

Pada hemat saya, isu-isu yang bakal mendominasi perbahasan mungkin berkisar di sekitar pendekatan terbaik PAS untuk mendekati dan menarik sokongan pengundi Melayu terutama di kampung-kampung tradisi (termasuk kawasan Felda) di luar kubu kuat oposisi, menangani komplot jahat SPR-BN-JPN khususnya menyekat manipulasi senarai daftar pemilih, prestasi kerajaan negeri Pakatan Rakyat (juga wakil-wakil rakyatnya), juga memantapkan posisi PAS dalam persefahaman politik bersama KeADILan dan DAP.

Pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Sufian menekankan, PAS kini menghadapi situasi yang agak mencabar untuk mengembalikan sokongan dan undi Melayu-Islam sebagai alternatif kepada Umno. Selain itu, program "PAS Ganti Umno" juga dikatakan masih jauh daripada matlamat yang digariskan. Propaganda dan sentimen perkauman yang ditiupkan media Umno tidak boleh diremehkan.

Rakyat terutama di negeri yang diperintah Pakatan sentiasa memerhati dan membuat perbandingan dengan kerajaan terdahulu. Namun begitu, kegagalan PAS mempertahankan Terengganu, hanya selepas sepenggal memerintah perlu direnung kembali. Semasa menyalahkan taktik kotor Umno-BN yang gagal dihidu pada peringkat awal, kesilapan membaca persepsi pengundi juga tidak boleh dipandang ringan. Begitu juga dengan sikap tidak peduli Adun atau Ahli Parlimen terhadap masalah kehidupan rakyat. Semuanya mengundang padah.

"Saya bimbang dengan keghairahan Pakatan untuk menguasai kerajaan persekutuan sehingga mengabaikan usaha mengekalkan kemenangan di negeri sedia ada. PRU13, iaitu selepas penggal pertama Pakatan memerintah Kedah, Selangor dan Pulau Pinang, adalah masa paling sesuai untuk BN merebut balik. Apabila sudah berakar macam di Kelantan, sehinga Umno sudah lima kali gagal untuk merampas negeri itu memang sukar sekali untuk merampasnya semula," kata seorang pensyarah sains politik.

Pengalaman Kelantan wajar ditelaah penggerak parti dan strategis pilihan raya PAS yang lain. Seperti rumusan Prof Dr Mohammad Redzuan Othman yang berkampung semasa kempen PRU13 di negeri itu: "Kemenangan cemerlang yang dicapai PAS di Kelantan bukan berlaku secara kebetulan tetapi sebaliknya hasil perancangan dan kerja keras yang dilakukan setelah mengalami kejutan apabila hampir kehilangan kuasa dalam pilihan raya umum 2004." (Rujuk buku Pilihan Raya Umum Malaysia Ke-12 -- Isu dan Pola Pengundian; Penerbitan Universiti Malaya, 2011).

Muktamar juga harus memberikan fokus kepada kompleksiti anak muda, dengan tidak menganggap mudah bahawa kecenderungan mengundi mereka tetap bersama Pakatan dalam PRU13. Begitu juga dengan golongan wanita. Justeru, sayap terpenting parti, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat, mempunyai tanggungjawab besar untuk memikat hati dan pemikiran mereka, dan memastikan parti secara keseluruhannya memang bersifat mesra dengan dua kelompok besar ini.

Bagaimanapun, saya lebih mengharapkan muktamar kali ini dapat mempamerkan kepada masyarakat umum bahawa PAS begitu peduli dan prihatin dengan denyut nadi kehidupan rakyat yang makin terhimpit ini. Kalau Umno menganjurkan siri himpunan Juara Rakyat di seluruh negara, maka PAS secara lebih jujur dan tulus perlu mengangkat problem rakyat secara tuntas dalam perbahasan di muktamar.

Saya tidak risau keupayaan perwakilan untuk membincangkan persoalan PRU13 dengan baik, sistematik dan menyeluruh. Cuma, saya lebih berpuas hati jika isu-isu rakyat (yang tidak terlalu "politikal" sifatnya, terutama yang melanda masyarakat Melayu-Islam, mencakupi pelbagai bidang, dapat diungkapkan dengan bernas dan penuh meyakinkan. Biar rakyat dapat melihat betapa seriusnya muktamar PAS mencari jalan keluar terhadap segala macam masalah yang menghimpit rakyat.

Perdebatan tentang strategi dan pendekatan PRU13 mungkin boleh dilanjutkan dalam program-program dalaman lainnya, tetapi isu-isu kritikal rakyat yang perlu langkah reformatif yang urgent harus mendominasi sidang perbahasan dalam muktamar kali ini. Media alternatif, termasuk di internet, seharusnya lebih memberikan keutamaan melaporkan isu-isu seumpama itu, berbanding hal-hal sensasi yang hanya menarik minat "pencandu" politik sahaja.

No comments

Powered by Blogger.