Hasan Ali 'pertikai' lantikan Exco baru, dakwa terlalu awal

SHAH ALAM - Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau telah menerima surat daripada Datuk Dr Hasan Ali yang menyifatkan pelantikan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi sebagai exco baru terlalu awal kerana beliau masih mempunyai ruang untuk merayu kepada Majlis Syura Pas.

"Saya ada menerima surat bertarikh 10 dan 11 Jan daripada Datuk Dr Hasan Ali...beliau (Hasan) berkata bahawa pelantikan ini terlalu awal kerana
beliau (Hasan) masih mempunyai ruang untuk merayu kepada Majlis Syura Pas.

"Saya telah menjawab surat Hasan dengan menyatakan bahawa keputusan saya menggugurkan beliau (Hasan) adalah lanjutan daripada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat yang melucutkannya sebagai anggota Pas pada 8 Januari lepas dan isu rayuan tidak dinyatakan dalam surat berkenaan," kata Khalid kepada pemberita selepas upacara angkat sumpah oleh Adun Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi sebagai anggota exco Selangor yang baru di Istana Bukit Kayangan di sini.

Hasan dipecat daripada Pas kerana didakwa bertindak bertentangan dengan kepentingan parti dan telah diberikan sehingga 7 Feb untuk merayu
penyingkirannya.

Sebelum digugurkan, Hasan memegang jawatan sebagai Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Abdul Khalid berkata Hasan mempertikaikan tarikh pemecatannya sebagai anggota Exco kerajaan Selangor kerana mendakwa ia bercanggah dengan kuatkuasa keanggotaannya sebagai anggota Pas yang sepatutnya tamat pada hari akhir tempoh rayuan.

Dengan pemecatan Hassan, Ahmad Yunus akan bertanggungjawab terhadap portfolio Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan manakala portfolio Hal Ehwal Islam, Infrastuktur dan Kemudahan Awam, kini dipengang oleh Abdul Khalid.

"Pertimbangan kita ke atas pelantikan ini adalah atas dasar kerja...proses rayuan adalah amalan yang dipraktikkan oleh Pas sebagai sebuah parti politik dan saya percaya ia tidak bermaksud memberi sebarang prasangka kepada kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri.

"Saya berharap Dr Hasan dapat menerima keputusan ini dengan berlapang dada dan saya mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih di atas peranan beliau ketika berkhidmat sebagai ahli MMKN (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri)," kata Abdul Khalid.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kedudukan Hasan yang masih memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Abdul Khalid berkata itu terpulang kepada budi bicara Sultan untuk menentukannya. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.