Menjawab Kenyataan Bendahari Pemuda Umno Kelantan
1. Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan menyifatkan dakwaan Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan, Datuk Bazlan Baharuddin yang meyifatkan Menteri Besar Kelantan sebagai kemaruk jawatan sebagai satu dakwaan daripada orang yang hilang pertimbangan. Kenyataan tersebut disiarkan di dalam akhbar Sinar Harian hari ini Selasa 31 Januari 2012 di halaman K6.
2. DPPNK ingin mengingatkan bahawa sistem pemilihan pemimpin di Malaysia berasaskan kepada parti yang mempunyai majoriti di dalam pilihanraya. Mana-mana parti yang mendapat majoriti dalam pilihanraya berhak menentukan pemimpinnya untuk mengetuai negeri atau negara dengan perkenan daripada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung atau Sultan negeri berkenaan. Sistem pemilihan pemimpin secara langsung oleh rakyat sebagaimana yang diamalkan di sesetengah negara tidak dipraktikkan di Malaysia.
3. Justeru, menjadi hak parti PAS yang mendapat majoriti di Kelantan untuk menentukan mana-mana pemimpinnya sebagai Menteri Besar. Hanya PAS yang berhak menentukan bilakah Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat boleh berundur dari jawatannya sebagai Menteri Besar Kelanta. Jika UMNO ingin membuat keputusan tentang jawatan ini, UMNO perlu berusaha untuk mendapat majoriti di dalam pilihanraya terlebih dahulu. DPPNK yakin bahawa Bazlan cukup maklum dengan hakikat ini. Justeru, tindakan menabalkan mana-mana individu sebagai Menteri Besar Kelantan tanpa majoriti dalam pilihanraya adalah merupakan tindakan sia-sia. Datuk Dr Awang Adek Hussein tentu boleh menjelaskan hal ini dengan terperinci kepada Datuk Bazlan Baharuddin.
4. Dalam masa yang sama, tindakan Bazlan yang menyamakan Nik Abdul Aziz dengan Tun Dr Mahathir adalah merupakan satu hujah yang meleset. Ini kerana Mahathir mendapat tekanan dari dalam partinya sendiri agar berundur selepas kemerosotan sokongan orang Melayu kepada UMNO di dalam pilihanraya umum 1999, berbeza dengan Nik Abdul Aziz yang sentiasa disokong padu oleh seluruh ahli PAS dan rakyat Kelantan untuk menerajui negeri Kelantan.
5. Kedangkalan Bazlan sekali lagi terbukti apabila menyatakan tindakan mengekalkan Nik Aziz sebagai Menteri Besar menutup peluang pemimpin muda di bawahnya untuk memegang jawatan tersebut. Inilah bezanya pemikiran UMNO dan PAS. Di dalam PAS, kepimpinan bukanlah soal peluang, ia bukannya harta peribadi untuk dipindahmilik. Ia adalah satu amanah. Pemimpin yang dilantik bukanlah semata-mata untuk memberinya peluang, tetapi untuk memberikannya amanah menjalankan tugas demi kemakmuran rakyat.
6. Hakikatnya, Datuk Bazlan Baharuddin seharusnya malu menggunakan istilah kemaruk jawatan tersebut terhadap Menteri Besar Kelantan memandangkan beliau sendiri terpalit dengan kontroversi apabila menyandang jawatan Ketua Pemuda UMNO Gua Musang dalam situasi yang tegang pada Oktober 2008 yang lepas. Umum masih ingat bagaimana Ketua Bahagian UMNO Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah telah mengumumkan pembatalan mesyuarat Pemuda UMNO Gua Musang pada 23 Oktober 2008 yang memilih Bazlan sebagai Ketua dan mengesahkan mesyuarat Pemuda UMNO Gua Musang pada 25 Oktober 2008 yang memilih Mohd Azizi Abu Naim sebagai ketua Pemuda.
7. Umum juga masih ingat bagaimana Bazlan diselamatkan oleh ibu Pejabat UMNO yang mengesahkannya sebagai Ketua Pemuda sekalipun bertentangan dengan pengumuman Ketua Bahagian. Kontorversi seperti ini sewajarnya menjadi medan muhasabah untuk Bazlan sebelum melemparkan istilah kemaruk jawatan.
Yang menjalankan tugas,
AHMAD FADHLI BIN SHAARI,
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.
Bertarikh : 31 Januari 2012
No comments
Post a Comment