Hapus PTPTN : Ibrahim Ali Yang ‘Muflis Idea’

1. Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) menyelar kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang mengatakan bahawa janji Pakatan Rakyat untuk menghapuskan pinjaman di bawah skim Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sekiranya berkuasa tidak masuk akal dan boleh menyebabkan negara menjadi muflis. Ibrahim Ali berkata demikian selepas merasmikan mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Datuk Abdul Hamid (I) di Pasir Mas semalam.

2. Bagi DPPNK, bukan negara yang muflis akibat penghapusan PTPTN tetapi Ibrahim Ali yang sebenarnya telah ‘muflis idea’ untuk menyerang Pakatan Rakyat. Umum mengetahui usaha Ibrahim Ali untuk melobi untuk bertanding di dalam pilihanraya umum yang akan datang di atas tiket UMNO justeru kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau hakikatnya merupakan kenyataan yang menyokong UMNO dan Barisan Nasional walaupun beliau memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas dengan menggunakan tiket PAS. Keghairahan untuk menjadi calon inilah yang menyebabkan Ibrahim Ali sering tersasar dari landasan kewarasan apabila mengeluarkan kenyataan.

3. Sukalah diingatkan bahawa penghapusan PTPTN dan digantikan dengan pendidikan percuma boleh dilakukan dengan mudah dengan penjimatan terhadap segala ketirisan dan rasuah yang berlaku di dalam negara di bawah pentadbiran UMNO dan Barisan Nasional sekarang. Jika dirujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara 2010, jumlah ketirisan yang berlaku di seluruh agensi kerajaan berjumlah RM21 billion, manakala menurut kenyataan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 7 April 2011, untuk tahun 2010, PTPTN telah meluluskan sejumlah 238,722 bilangan pinjaman dengan peruntukan sebanyak RM6.04 bilion. Ini boleh dirujuk kepada laporan agensi berita BERNAMA yang bertarikh 8 April 2011.

4. Jika jumlah RM21 billion ketirisan yang berlaku dalam pelbagai agensi seperti yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara dapat dielakkan, adakah tidak mustahil wang ini dapat digunakan untuk menampung secara percuma pendidikan rakyat Malaysia di peringkat tinggi yang hanya berjumlah RM6.04 billion? Ini hanya merupakan satu contoh penjimatan dan belum mengambil kira penjimatan yang lain yang dapat dilakukan sekiranya Pakatan Rakyat dapat merampas Putrajaya kelak.

5. Hakikatnya, orang yang ‘muflis idea’ seperti Ibrahim Ali akan berkata apa saja untuk memastikan dirinya dibenarkan diberikan tempat bertanding menggunakan tiket UMNO dalam pilihanraya umum yang akan datang. Kita yakin, rakyat Kelantan yang matang berpolitik akan menolak individu seperti ini dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Dengan hormat,

AHMAD FADHLI BIN SHAARI,

Ketua Penerangan,

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

Bertarikh : 8 April 2012

No comments

Powered by Blogger.