Jangan percaya FAM mahu hukum Kelantan

http://www.sinarharian.com.my/polopoly_fs/1.9010.1322703180!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_400/image.jpg

MOHD FAHMI SALLEH


TAN Sri Annuar Musa, yang digantung selama 30 bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), meminta semua pihak khususnya penyokong pasukan Kelantan agar tidak mempercayai khabar angin kononnya badan induk itu mahu memotong lima mata dan hukum lima perlawanan ke atas The Red Warriors.

Dipetik dari laman sosial Facebooknya hari ini, Annuar berkata, khabar angin itu hanya akan memburukkan lagi keadaan dan berharap penyokong tidak melakukan apa-apa perbuatan yang menyalahi undang-undang.

“Kita menentang penyalahgunaan peraturan dan semua bentuk ketidakadilan. Oleh itu, lakukan semua perkara dengan tertib dan istiqamah tetapi dalam keadaan berani dan tegas mengikut saluran dan peraturan yang betul,” katanya.

Dalam perlawanan Liga Super semalam, Kelantan seri satu gol dengan T-Team. Hasil 13 perlawanan, Kelantan telah mengumpulkan 28 mata setakat ini.

Pandangan Annuar ini menyusul tulisan beberapa laman sosial heboh memperkatakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bakal dikenakan potongan lima mata oleh FAM ekoran dakwaan tindakan penyokongnya membakar patung Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad di Stadium Sultan Muhammad Ke IV petang, semalam.

Tulisan-tulisan itu juga mendakwa Kelantan juga akan berdepan tindakan tidak boleh beraksi di Kota Bharu selama lima perlawanan jika hukuman diputuskan.

Perkembangan ini muncul ketika Annuar, Presiden Kafa, dikenakan hukuman gantung selama 30 bulan berkuat kuasa 4 April lalu.

Jawatankuasa Tatatertib sebulat suara memutuskan Annuar bersalah atas dua tuduhan.

Pertuduhan pertama dikenakan hukuman penggantungan dua tahun manakala pertuduhan kedua untuk tempoh enam bulan.

Beliau berkata, dua penggantungan itu tidak dilaksanakan serentak atas alasan ia membabitkan dua kesalahan berbeza.

Ekoran keputusan itu, secara dasar Annuar tidak dibenarkan terbabit dalam aktiviti sukan bola sepak di negara ini sama ada di peringkat kebangsaan mahu pun di peringkat negeri.

Bagi pertuduhan pertama, ia membabitkan kesalahan mengeluarkan kenyataan media, manakala pertuduhan kedua membabitkan pelanggaran titah Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Ahmad Shah.

Annuar juga Timbalan Presiden FAM.

No comments

Powered by Blogger.