Kerajaan Negeri Putuskan Tanah Berdekatan Kelab UKRC Tetap Milik Rakyat Selangor

Dalam membuat membuat pertimbangan permohonan pihak Ulu Klang Recreation Club (UKRC) yang memohon hakmilik tanah seluas 5.27ekar di mukim Hulu Kelang, Kerajaan Negeri telah menubuhkan satu jawatankuasa siasatan.

Jawatankuasa ini dianggotai oleh Orang Besar Daerah Gombak, Yang Amat Dihormati Dato' Paduka Raja Wan Mahmood Pawan Teh; seorang peguam, Leong Khai Yan; bekas Pegawai Daerah Gombak, Abdul Rahim Salleh dan Dr Jagjit Singh dari Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia.

Jawatankuasa ini bertindak membuat kajian awal dengan mengadakan pendengaran awam dan mengemukakan penemuan serta syor kepada pentadbiran negeri untuk tindakan selanjutnya. Antara yang dipanggil memberi keterangan termasuklah ahli UKRC, pegawai kerajaan khususnya dari MPAJ dan orang awam.

Dalam satu laporan yang telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri pada 15 Mac 2012, jawatankuasa telah mendapati antara lain bahawa walaupun UKRC ada membuat permohonan untuk mendapat hakmilik terhadap tanah lapang tersebut kepada pemungut Hasil Tanah Kuala Lumpur pada 14 Februari 1958 tetapi tanah itu hanya diluluskan sebagai tanah lapang untuk Dewan Kelab Masyarakat (Club Community Hall) pada 12 Julai 1958.

Jawatankuasa juga telah diberitahu bahawa nama asal UKRC ini ialah Dewan Masyarakat dan Kelab Rekreasi Kuala Ampang sebelum menukar nama kepada UKRC untuk diwartakan pada 6 November 2001 dan menggugurkan nama Dewan Masyarakat.

Sejak itu, UKRC mengenakan bayaran masuk dan yuran keahlian. UKRC juga tidak lagi membenarkan orang awam menggunakan premis tersebut tanpa kebenaran khas daripada pihak pengurusannya.

Jawatankuasa Siasatan juga berpendapat bahawa tanah tersebut diwartakan sebagai tanah lapang pada 19 Oktober 2004 dan ini menjadi bukti tambahan bahawa tanah tersebut tidak pernah dikeluarkan hakmilik kepada UKRC atau mana-mana pihak.

Namun begitu, jawatankuasa juga mengesyorkan UKRC diberi hakmilik kepada tapak bangunan kerana ia memberi faedah kepada ahli UKRC dan dibina menggunakan dana orang awam dan ahli-ahlinya.

Ia juga telah mengesyorkan UKRC membayar premium mengikut kadar semasa termasuk tanah dan bangunan. Tambahan pula, UKRC telah menggunakan premis ini tanpa membayar sewa atau cukai pintu kepada Kerajaan Negeri sejak tahun 1950-an.

Kerajaan Negeri juga telah dinasihati untuk mengutamakan kepentingan orang ramai dan membina membina dewan baharu menggunakan premium yang dibayar UKRC untuk kegunaan penduduk setempat yang bukan ahli UKRC.

Setelah berbincang dengan ahli Majlis Kerajaan Negeri dalam mesyuarat minggu lepas, Kerajaan Negeri telah berpuashati dan membuat keputusan untuk menerima semua syor-syor yang telah dibuat oleh jawatankuasa tersebut.

Kerajaan Negeri berharap penduduk setempat menerima keputusan ini dengan terbuka kerana siasatan telah dilakukan dengan telus dan adil serta pertimbangan ini dibuat berdasarkan peraturan dan bukti-bukti yang dikemukakan kepada Jawatankuasa Siasatan.

Kerajaan Negeri juga mengucapkan terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa siasatan ini atas khidmat mereka serta semua penduduk setempat yang telah memberi kerjasama bagi menjayakan siasatan awam ini,

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

No comments

Powered by Blogger.