MB: Panel khas kaji mantapkan Jais


Oleh: RUWAIDA MD ZAIN

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji kekuatan dan kemampuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan umat Islam termasuk soal murtad.

Jawatankuasa tersebut akan dianggotai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi; Pengarah Jais, Datuk Marzuki Husin; Pengarah Penguat Kuasa Jais, Mohamad Rais Rashid; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru, Dr Rani Osman selaku Pembantu Exco Agama Islam.

Mereka akan dibantu oleh dua pegawai undang-undang masing-masing dari Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, mereka bukan sahaja akan menilai kemampuan Jais tetapi akan merangka mekanisme dan kaedah bagi memantapkan lagi peranan jabatan dalam mencari penyelesaian yang berkesan dan holistik.

Menurut beliau, mekanisme ini akan dibentangkan kepada Mais dan jika perlu akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Kerajaan Negeri berpendapat jawatankuasa ini akan memberi penambahbaikan kepada Jais dalam peranannya untuk mengangkat martabat agama Islam terutama setelah wujudnya ‘cakap-cakap’ (kononnya ada) cubaan memurtadkan umat Islam (sebagaimana didedahkan) menerusi pendedahan video.

“Dakwaan ini dibuat dengan cara yang memberi gambaran seolah-olah boleh berlaku satu kegemparan jika tidak ditangani secara bijak oleh pihak berwajib,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Abdul Khalid berkata, bukti yang ada sangat lemah dan tidak menyokong dakwaan yang dibuat, di mana Kerajaan Negeri mendapatkan pandangan peguam syarie dan antarabangsa mengenai isu tersebut.

Jelas beliau, oleh itu ternyata ‘pendedahan’ yang dibuat tidak cukup sebagai bukti untuk tujuan pendakwaan.

“Kerajaan Negeri mengalu-alukan niat baik pihak tertentu yang mempertahankan kesucian Islam.

"Tetapi tidak boleh membenarkan mana-mana pihak menyalahgunakan pendirian ini untuk melakukan apa-apa yang boleh memberi impak negatif kepada keharmonian kaum di Selangor dan Malaysia amnya,” katanya.

Menurut beliau, jawatankuasa yang ditubuhkan sudah pun memulakan tugasnya semalam dan diberikan tempoh selama tiga minggu sebelum jawatankuasa membuat laporan kepadanya.

Bagaimanapun beliau menafikan penubuhan jawatankuasa tersebut disebabkan kegagalan Jais menjalankan tugasnya dalam menangani isu umat Islam di Selangor.

“Penubuhan ini untuk menambah baik, bukan bermakna Jais gagal laksana tanggungjawab.

"Kita lihat banyak perkara dihebahkan tetapi tidak cukup maklumatnya.

"Kita berpendapat ada kekurangan dalam hal ini, marilah kita betulkan cara teknik, usaha untuk mencari maklumat, usaha menyelesaikannya," kata beliau lagi.

Abdul Khalid juga berkata, jawatankuasa itu akan diletakkan di bawah Kerajaan Negeri di mana Kerajaan Negeri akan bertanggungjawab dan mempunyai kuasa ke atas Jais.

"Jadi, semua kuasa Jais boleh dilakukan. Kalau betul-betul kena lakukan, kita boleh laksanakan enakmen kuasa untuk pentadbiran agama Islam,” katanya.

Dalam pada itu katanya, sekiranya perlu berkemungkinan Presiden Jati, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali akan dipanggil membantu siasatan berhubung isu tersebut.

No comments

Powered by Blogger.