Nizar: Ku Li usul PR Perak bersedia untuk peralihan kuasa

Oleh Mohd Farhan Darwis

SHAH ALAM, 12 April — Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini berkata, pihaknya telah disarankan olehTengku Razaleigh Hamzah untuk bersiap sedia untuk kembali mengambil alih Perak memandangkan Umno di negeri itu berkemungkinan tewas ketika pilihan raya umum akan datang.

Adun Pasir Panjang itu menjelaskan, dalam pertemuan dengan Pengerusi Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) itu di Hotel Syuen di Ipoh pada 1 April lalu, veteran Umno itu menasihatkan Pakatan Rakyat (PR) Perak supaya bersedia untuk perubahan kuasa di negeri tersebut.

“Terdapat khabar angin Umno Barisan Nasional (BN) mungkin hanya mampu mengekalkan tiga negeri sahaja dalam pilihan raya kali ini,” katanya merujuk kepada Tengku Razaleigh Hamzah.

“Ku Li pernah memberitahu saya untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlakunya peralihan kuasa di Perak dalam perjumpaan kami pada 1 April di Ipoh.”

Jelas Nizar, situasi itu dibuktikan dengan kekerapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Perak berbanding negeri-negeri lain.

Menurutnya, masyarakat di kawasan pedalaman sudah menolak Umno BN kerana mereka melihat Umno BN sudah tidak lagi mampu membawa suara mereka berhubung skandal Pusat Fidlot Nasional dan juga isu pembelian cincin isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

“Masyarakat di kawasan pedalaman sudah menolak Umno. Mereka terkesan dengan isu penternakan lembu Pusat Fidlot Nasional (NFC), dan juga cincin (Datin Seri) Rosmah Mansor,” katanya ketika memberikan ucapan sewaktu pidato bertajuk “Pendidikan Percuma: Apakan Sekadar Mimpi” anjuran Malaysia Bangkit di sini.

“Kita dapat lihat perdana menteri lebih kerap berjunjung ke Perak berbanding negeri lain.”

Jelas pemimpin PAS ini, kedua-dua isu tersebut bakal mengalih undi masyarakat pedalaman dan PR berkemungkinan bakal mengambil alih Perak.

“Kita akan terus gunakan isu-isu tersebut sebagai kempen pilihan raya. Rakyat peka dengan isu-isu seperti ini.

“Mungkin kita akan buat dua poster berkenaan isu-isu itu dan edarkan di Perak sebagai salah satu strategi kempen kami,” katanya lagi.

No comments

Powered by Blogger.