Pecah rumah kerabat: 5 lelaki Indonesia diberkas


Tarikh: April 10, 2012
KUALA LUMPUR - Polis menahan lima suspek warga Indonesia berhubung kes pecah rumah milik kerabat Diraja Selangor di Bukti Tunku di sini Jumaat lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata kelima-lima suspek itu, berumur dalam lingkungan 30'an, ditahan di sekitar ibu negara selepas beberapa jam kejadian itu berlaku.

"Mulanya kita menahan seorang lelaki dan hasil siasatan, kita menahan saki-baki suspek yang merupakan saudara kepada suspek pertama," katanya kepada pemberita pada perhimpunan bulanan Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Dalam kejadian 6 April itu, dua lelaki dipercayai warga Indonesia bersenjatakan pisau, memecah masuk rumah tersebut pada 5.30 pagi dan mengurung empat pembantu rumah sewaktu kesemua anggota keluarga kerabat Diraja Selangor itu tiada di rumah.

Dalam kes lain, Mohmad memohon kerjasama orang ramai bagi mengesan seorang tahanan yang lari dari lokap tahanan sementara di Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada Jumaat lepas.

Suspek yang berusia 32 tahun merupakan ketua kumpulan penjenayah 'Man Kuchai' yang amat dikehendaki polis berhubung empat kesalahan jenayah yang akan dibicarakan iaitu satu kes rompakan sehingga menyebabkan kecederan, satu kes rompakan senjata dan dua kes rompakan dengan menyamar sebagai pegawai polis.

Mohmad berkata suspek yang sebelum ini pernah ditahan polis pada tahun 2004 berhubung kesalahan dadah, juga pernah meloloskan diri sebelum berjaya ditahan semula.

Beliau berkata suspek aktif melakukan rompakan dengan menyamar sebagai pegawai polis, merompak kenderaan mangsa dengan menggunakan kaedah langgar belakang dan merompak kedai-kedai yang beroperasi 24 jam di sekitar Brickfields.

Mohmad berkata kes tersebut masih lagi dalam siasatan, dan sekiranya didapati ada unsur kecuaian maka tindakan undang-undang atau tatatertib boleh dikenakan terhadap anggota polis yang terlibat.

"Kita percaya suspek telah melonggarkan gari semasa dibawa dari Penjara Sungai Buloh ke Mahkamah Jalan Duta," katanya. – Bernama

No comments

Powered by Blogger.