Pendidikan percuma t'jawab kerajaan, kurangkan beban rakyat
Apr 12 2012 / Keadilan Daily
(Oleh: Mohd Martin Kahar)
KUALA LUMPUR 12 April: Dasar Pakatan Rakyat memperkenalkan pendidikan percuma lebih banyak kebaikan daripada keburukan seperti yang 'dicanang' Barisan Nasional (BN).
Ini kerana, pendidikan percuma daripada peringkat rendah hingga ke pengajian tinggi memberi peluang sama rata kepada seluruh rakyat Malaysia mendapat pendidikan lebih baik tidak mengira bangsa dan keturunan.
Pengerusi Biro Pendidikan Pusat KEADILAN, Abas Awang berkata, menyediakan pendidikan berkualiti dan percuma kepada rakyat sudah menjadi tanggungjawab kerajaan dan ia tidak boleh dipertikaikan.
Beliau berkata, tiada apa yang perlu digusarkan sekiranya Pakatan Rakyat mahu mewujudkan sistem pendidikan percuma, kerana ia mampu mengurangkan beban rakyat yang dihambat dengan peningkatan kos sara hidup.
"Jelas ini sesuatu yang baik... Mengapa kita perlu pertikaikan... mengapa kita perlu menyusahkan rakyat sedangkan kita mampu untuk mengurangkan beban mereka.
"Ada pihak yang mempertikaikan pendidikan percuma, kononnya boleh membankrapkan negara, tetapi dalam masa sama melakukan bermacam-macam pembaziran, apakah itu satu amalan yang baik?" soalnya ketika dihubungi KeadilanDaily.
Abas yang juga bekas Timbalan Pengarah Pelajaran Bahagian Sekolah berkata, kemajuan sesebuah negara bukan diukur daripada bangunan pencakar langit atau dari sudut material semata-mata tetapi yang lebih penting rakyat mendapat pendidikan sempurna tanpa wujud diskriminasi.
"Apa maknanya pembangunan kalau kerajaan memerintah tidak dapat menyediakan sistem pendidikan yang baik? Dengan adanya sistem pendidikan yang baik jurang kemiskinan di negara ini dapat dirapatkan dan secara tidak langsung boleh merangsang pembangunan negara," ujarnya.
Mengulas dakwaan kononnya pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyebabkan keciciran anak bangsa, beliau berkata, ia adalah pendapat ketinggalan zaman yang sesuai digunakan pada era 1970-an.
Katanya, pandangan sedemikian tidak relevan pada masa kini kerana cara berfikir masyarakat sudah matang dan fikiran mereka berlegar kepada konsep keadilan.
"Kalau ada yang berpendapat sedemikian, maka negara ini tidak akan ke mana. Kita mampu mansuhkan PTPTN dan beri pendidikan percuma kerana mempunyai hasil bumi yang baik," katanya.
No comments
Post a Comment