FAM Tunggu Laporan Dari KAFA

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menunggu aduan rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berhubung tindakan pemain Selangor, Amri Yahya mengasari pemain import Kelantan, Mohammad Ghaddar pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baharu, Jumaat lalu.

Setiausaha Kehormatnya, Datuk Azzudin Ahmad berkata, pihaknya akan membuka kertas dakwaan jika ada kes dan Jawatankuasa Tatatertib FAM yang dipengerusikan Datuk Taufik Abdul Razak akan melakukan siasatan selepas itu. "Selepas menerima aduan, kita akan menyemak rakaman visual perlawanan dan laporan perlawanan terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi hari ini.
Azzudin berkata, FAM akan menyiasat kes ini secara adil dan akan mengambil tindakan tatatertib terhadap Amri jika terdapat bukti kukuh.

Sementara itu, Pengurus KAFA, Azman Ibrahim berkata, pihaknya akan menghantar laporan dan bantahan secara rasmi kepada FAM secepat mungkin.

"Kita masih menunggu salinan rakaman perlawanan sebagai bahan bukti dan akan membuat analisis sebelum membuat laporan dan bantahan kepada FAM," katanya.

Beliau berkata, isi laporan dan bantahan juga mempersoal sikap pengadil yang seolah-olah tidak mempedulikan insiden yang berlaku di depan matanya, katanya. - BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.