Pusingan kedua debat Lim, Chua
Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bersemuka dalam debat pusingan kedua petang ini dengan tajuk 'Debat 2.0 DAP dan MCA: Dasar siapa memberi lebih manfaat kepada negara?'
Perdebatan hari ini diuar-uarkan sebagai wadah untuk pemimpin berkenaan mengulas isu pendidikan, penjagaan kesihatan, kemakmuran ekonomi, perkhidmatan komuniti, perpaduan nasional, kebajikan awam dan pembasmian kemiskinan.
Dikendalikan dalam bahasa Inggeris, ia akan berlangsung selama dua jam - lebih lama berbanding waktu yang diperuntukkan semasa perdebatan pusingan pertama dalam bahasa Mandarin pada 18 Februari.
Debat kali ini akan disiarkan secara tertunda pada jam 11 malam melalui saluran Astro Awani dan Astro AEC dengan sari kata Melayu dan Mandarin.
Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) yang bertindak sebagai penganjur menjelaskan langkah itu diambil untuk membolehkan lebih ramai orang menontonnya pada malam hari.
LAPORAN LANGSUNG
4.30pm: Pusingan kedua perdebatan Lim-Chua tamat denga dengan seorang penyokong MCA melaungkan "Xiao Hong" - nama panggilan wanita yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengan Lim.
Penyokong DAP membalas dengan melaungkan "CD" yang merujuk kepada skandal rakaman video seks Chua.
lim chua debate 0807124.00PM: Dalam ucapan penggulungannya, Chua menyebut tentang kejayaan penyenaraian Felda.
"Pasaran saham kita terus melonjak naik di kala pasaran dunia suram," kata Chua disambut ketawa sinis penyokong DAP.
Chua turut mengambil kesempatan membidas slogan "Ubah" yang digunakan DAP dalam ucapannya.
"Apa itu ubah? Ubah bererti ubah dari keraajaan berasaskan konsensus kepada kerajaan DAP, PKR dan PAS yang tidak mampu pun untuk bersetuju tentang logo dan bila mahu mendaftarkan
"Slogan anda sepatutnya bukan ubah, tetapi 'rampasan kuasa didahulukan, pentadbiran huru-hara diutamakan'.
"Ubah kerajaan juga bermaksud ubah untuk 'song' (sedap-sedap), tetapi tiada apa-apa dibuat," kata Chua.
"Adakah anda sedar 2008 ke tahun 2010, GDP Pulau Pinang mengecut sebanyak 1.8 peratus sedangkan GDP nasional berkembang 5.5 peratus," katanya lagi.
3.59PM: Lim Guan Eng kelihatan tersenyum tenang sepanjang perdebatan berlangsung sementara Chua Soi Lek kelihatan serius dan tegang.
3.50PM: Lim berkata, MCA jelas takut kepada Umno kerana tidak melawan apabila digelar sebagai "isteri yang dipukul suami"
" Apabila MCA tak jawab Menteri gelar MCA sebagai battered wife, ini bukti MCA takut kepada Umno," katanya.
Menurutnya lagi, pentadbiran Pakatan membawa manfaat kepada rakyat kerana BN kini memberi perhatian kepada rakyat untuk memenangi undi mereka.
"Kalau Pakatan tak menang, takkan ada 50 juta untuk sekolah Cina, takkan ada 100 juta untuk sekolah Tamil," katanya.
3.38PM: Dalam sesi seterusnya, Lim dan Chua masing-masing akan memilih soalan daripada para hadirin yang diletakkan dalam satu kotak.
3.30PM: Ahli panel Chor bertanya kepada Lim apakah yang telah dilakukan berhubung dakwaan bahawa Anwar menyalurkan lebih RM3 bilion, dan apakah yang dilakukan Pakatan berhubung dakwaan kerugian RM26 bilion akibat rasuah.
Lim berkata, inilah kali pertama beliau mendengar seorang menteri menyebut bahawa rasuah menyebabkan kerugian berbilion ringgit.
Berhubung dakwaan RM3 bilion, beliau berkata SPRM yang didakwanya berada bawah BN perlu menyiasat Anwar.
3.28pm: Soalan dari panelis bebas, James Chin kepada kedua-dua pendebat: "Bagaimana anda akan berhadapan dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB)?"
Jawapan Lim: "Kalau kita tak hapuskan rasuah yang miskin tetap miskin yang kaya lagi kaya.
"Orang Melayu boleh jadi bagus. Polisi BN yang menyebabkan orang Melayu tidak maju.
"Ia adalah diskriminasi apabila Umno memberitahu orang Melayu tidak boleh maju tanpa Umno.
"Kita semua boleh makmur bersama-sama.
Chua ketika menjawab soalan itu berkata, beliau bersetuju bahawa agenda DEB telah dirampas, tanpa mengulas lanjut siapa yang merampas agenda tersebut.
3.25PM: Chua mengelak soalan mengenai perkongsian kuasa dalam BN dengan menuduh bahawa Pakatan Rakyat gagal menunjukkan perkara sama.
Malah PAS juga masih belum menyokong Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri, katanya.
Jawapan Chua menerima sorakan "boo" oleh penyokong Lim sehingga terpaksa ditenteramkan oleh moderator.
Seorang lagi panelis bertanya: Bagaimana untuk melaksana pendapatan minimum RM4,000 untuk setiap isi rumah dan sekiranya ia akan menggunakan dana awam.
3.19PM: Sesi kedua berlangsung dengan anggota panel mengemukakan soalan. Lim dan Chua mempunyai masa tiga minit untuk menjawab.
Panelis, Wan Hamidi bertanya adakah MCA sangat takut kepada Umno sehingga tidak berani mempersoalkan isu rasuah? Adakah wujud perkongsian sama rata dalam BN, soalnya lagi.
3.15PM: Menjawab soalan yang dikemukakan, Lim berkata DAP merupakan parti pelbagai kaum dan pernah mempunyai MP Melayu.
Malah beliau pernah dipenjarakan kerana satu keluarga Melayu, tapi Umno menuduh bahawa DAP anti-Melayu, katanya.
3.04PM: Ketua Pegawai Eksekutif ASLI, Tan Sri Dato Dr Michael Yeoh mengajukan soalan pertama kepada Chua Soi Lek
"Apa yang akan anda lakukan untuk memperolehi lebih banyak sokongan dari golongan kelas menengah bandar kepada MCA?" tanya Michael Yeoh.
Chua Soi Lek menjawab bahawa masyarakat Cina masih lagi menguasai sebahagian besar ekonomi di kawaan bandar.
Menurutnya lagi, MCA juga berjaya mewujudkan Kolej Tuanku Abdul Rahman (TAR) untuk masyarakat Cina tetapi DAP langsung tidak mampu mewujudkan tadika untuk orang Cina.
Michael Yeoh kemudian mengajukan soalan berikut kepada Guan Eng: "Adakah DAP parti Cina? Adakah DAP parti berbilang kaum?"
"Apa yang anda akan lakukan untuk menarik sokongan bukan Cina kepada DAP?" tanya Michael Yeoh.
Menjawab soalan itu, Lim menegaskan yang DAP adalah parti berbilang kaum sejak penubuhannya lagi.
Beliau turut membidas dakwaan MCA tentang 'kegagalan' DAP mewujudkan tadika.
"DAP parti politik. Tugas utama bukan wujudkan tadika,
"Kenapa Kolej TAR diwujudkan? Ia adalah bukti kegagalan MCA dalam memastikan orang Cina mendapat tempat dalam universiti awam," katanya.
2.55PM: Walaupun moderator mengingatkan para penyokong supaya bertenang, kedua-dua kem tetap melaungkan slogan dan bersorak.
Chua ketika ucapan pembukaannya, juga bahasa Melayu, berkata MCA tidak menyokong seruan Lim supaya debat diadakan di antara perdana menteri dan ketua pembangkang.
Katanya, Datuk Seri Najib Razak sibuk sejak tiga tahun lalu dengan program transformasi dan Anwar hanya sibuk membuat retorik.
Moderator Tan Sri Michael Yeoh memberi peringatan untuk kali kedua bagi mententeramkan para penyokong.
2.50PM: Lim menegaskan pentadbiran yang telus boleh dilaksanakan apabila perdana menteri, menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri mengisytiharkan harta mereka.
"Adakah MCA berani mengisytiharkan harta mereka?
"Mungkin MCA ada terlalu banyak harta untuk disorok?
"Mungkin juga MCA ada terlalu banyak nombor plat kereta untuk disorok?" kata Lim sinis.
2.44PM: Lim Guan Eng menyampaikan ucapan pembukaannya dalam bahasa Melayu.
Menurutnya, perbahasan hari ini membincangkan soal dasar negara tetapi MCA tidak layak untuk berbahas kerana parti itu tidak menentukan dasar negara yang dimonopoli sepenuhnya Umno.
"Umno yang menentukan dasar (negara).
"MCA mendakwa bercakap untuk orang Cina, tetapi hanya untuk Cina di Semenanjung sahaja.
"DAP bercakap untuk semua rakyat Malaysia," kata Lim penuh bersemangat di sambut tepukan bergemuruh penyokongnya.
2.33PM: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengambil tempat di dalam dewan yang memuatkan 1,500 orang itu.
2.30PM: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek tiba di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid.
Nama beliau dilaung-laungkan penyokong-penyokongnya berulang-kali dengan meriah.
Kumpulan penyokong MCA melaung dan menuduh Lim Guan Eng "menipu" apabila setiausaha agung DAP itu memasuki dewan, manakala kumpulan penyokong DAP membalas dengan laungan "MCA samseng."
No comments
Post a Comment