PERJANJIAN UTAMA BAGI PENGSTRUKTURAN SEMULA INDUSTRI AIR NEGERI SELANGOR TERLUPUS

Kerajaan Negeri Selangor berasa amat dukacita untuk mengumumkan pada hari ini bahawa Perjanjian Utama bagi pengstrukturan semula industri air Negeri Selangor telah lupus dengan sendirinya. Kegagalan untuk melaksanakan Perjanjian Utama tersebut adalah akibat pendirian terkini Kerajaan Persekutuan yang enggan menghormati prinsip dan semangat Perjanjian Utama yang ditandatangani pada 12 September 2014, iaitu:

1. Mengiktiraf pemilikan aset air Negeri Selangor berjumlah RM 14.9 bilion yang bakal disuntik ke dalam Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (“Air Selangor”).

2. Mengiktiraf dan menerima pemindahan RM 2 bilion dari aset air milik Air Selangor bagi tujuan penyediaan dana kepada Air Selangor bagi mengambilalih ke semua konsesi air di Negeri Selangor.

3. Mengeluarkan Lesen Kemudahan kepada Air Selangor sebagai pengiktirafan pemilikan ke semua baki aset air yang dimiliki oleh Air Selangor.

4. Meluluskan pemeteraian Perjanjian Kemudahan dan Sewaan di antara Pengurusan Aset Air Berhad (“PAAB”) dan Air Selangor bagi penyewaan aset air yang akan dipindahkan kepada PAAB.

Seperti yang telah diumumkan apabila saya mengambilalih tugas dan amanah sebagai Dato’ Menteri Besar Negeri Selangor pada bulan September tahun lalu, pentadbiran ini sedia menghormati segala perjanjian yang telah ditandatangani.

Walau bagaimanapun, pentadbiran ini tidak boleh membenarkan perlaksanaan perjanjian yang bercanggah dari prinsip dan semangat yang telah dipersetujui. Percanggahan dari Perjanjian Utama yang cuba dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan akan menyaksikan Kerajaan Negeri hilang kedaulatan ke atas tanah dan aset air milik Kerajaan Negeri Selangor. Saya yakin bahawa rakyat dan pengguna air Selangor akan turut menyokong pendirian yang diambil oleh Kerajaan Negeri kerana isu kedaulatan pemilikan tanah dan aset air bukanlah sesuatu yang boleh diserah milik dengan sewenang-wenangnya.

Namun demikian, seperti yang telah diumumkan oleh pentadbiran ini pada 5 Mac 2015, Kerajaan Negeri akan terus memantau dan memastikan bekalan air di Negeri Selangor akan dapat dibekalkan kepada semua pengguna secara berterusan. 

Sekiranya Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mengiktiraf kedaulatan tanah dan aset air milik Negeri Selangor dan tidak membuat tuntutan yang bercanggah dengan semangat perjanjian yang telah termeterai, maka Kerajaan Negeri bersedia untuk berbincang ke arah mencapai persetujuan bagi manfaat seluruh pengguna air di Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

MOHAMED AZMIN ALI
KENYATAAN MEDIA
10 MAC 2015

No comments

Powered by Blogger.