YB Abe Uji Terbaik di Kuala Krai



Dengan wajah yang bersih dan sentiasa menguntumkan senyuman, YB Abe Uji kekal menjadi ikon anak anak muda di negeri ini khasnya Kuala Krai. Malahan rakyat marhaen dari setiap pelusuk kampung tidak kira lapisan umur, kaum dan fahaman kepartian, semuanya menghormati dan mengasihi Abe Uji atas sifat kesederhanaan dan 'mudah berkira' yang dipamerkan olehnya. 

Pada hemat kami, hampir tidak pernah rakyat yang berada di dalam kesusahan dan kesempitan, yang pulang hampa setelah berjumpa dengannya. Akan ada sahaja usaha dan bantuan yang akan dihulurkan oleh Abe Uji. Sikap ini menyebabkan rakyat menyayangi dan menjadikan beliau sebagai tempat mengadu nasib.

Sebut sahaja rakyat di Dun Guchil, Mengkebang, Dabong dan Dun Manek Urai sendiri yang diwakilinya kini, semuanya akan mengakui perkara ini. Turun ke padang dan menghulurkan bahu untuk dipaut oleh rakyat yang dalam kesusahan sudah menjadi perkara biasa padanya. Sudi mendengar apa jua permasalahan anak muda dan rakyat yang datang 'berjemok kiro' dengannya membuatkan orang Kuala Krai selesa dengan Abe Uji.

Atas sebab itulah, bukti paling nyata yang dapat kami sebutkan apabila keputusan PRU13 yang lalu, di saat Parti Islam SeMalaysia PAS tewas di satu kerusi, dan mengalami penurunan yang ketara bagi kerusi parlimen Kuala Krai dan Dun dun lain, di pihak PAS Manek Urai pula mereka cukup gembira apabila undi YB Abe Uji mencatatkan keputusan yang terbaik dan undi beliau berada pada paras yang tertinggi. Malahan undi bagi saluran anak muda, Abe Uji mendapat sokongan yang padu apabila muncul sebagai Adun yang mendapat undi anak muda tertinggi di dalam parlimen ini.

Kami coretkan jasa dan kehebatan YB Abe Uji atas beberapa sebab. Antaranya ramai anak anak perantau yang bertanyakan akaun Facebook Abe Uji kerana kurang liputan sepanjang tempoh bencana sebelum ini. Udara yang tidak kelihatan tidak bermakna ianya tiada. Ia tidak nampak namun boleh dirasa dan memberi manfaat yang cukup banyak kepada alam kehidupan.

YB Abe Uji sejak mulanya banjir hingga ke saat ini terus bertungkus lumus membantu rakyatnya. Markas PAS Manek Urai di Cabang Kuari itu menjadi rumahnya yang pertama. Membelah arus banjir dengan sampan menghantar makanan kepada rakyat di Kg Manek Urai Lama, Peria, Sg Sok dan banyak lagi. Tangisan rakyat menjadi tangisannya. Mereka berkongsi rasa hiba dan kesedihan yang sama. 

Dan, hingga ke hari ini, apabila ditanya sampai bilakah bilik operasi bencana banjir PAS Manek Urai akan ditamatkan, beliau akan sebut bahawa apabila setiap rakyat yang rumahnya musnah, dapat berlindung semula di rumah baru mereka, maka sehingga itu beliau dan sahabat sahabat di Manek Urai akan terus berjuang. Allahurabbi. Kami terdiam dan terkesima. 

Inilah dia pejuang sepenuh masa, yang paling dekat di hati rakyat jelata, yang rumahnya sendiri tenggelam, terputus hubungan dan talian komunikasi dengan isteri dan anak anak, tetapi terus cekal bersama dengan denyut nadi marhaen. 

Memang tidak aktif FB, tiada Twitter, tidak sempat ber WhatsApp serta tiada liputan meluas. Kerana dia cukup sibuk dengan urusan rakyat. Namun ketahuilah YB Abe Uji adalah yang terbaik dari sekalian kalangan yang ada saat ini. Kami Dewan Pemuda PAS Kuala Krai mengangkat tangan tanda tewas dan tidak mampu menyaingi kerja buat dan usaha gigih YB dalam menyantuni rakyat selama ini. 

Semoga YB Abe Uji terus cekal memimpin kami anak anak muda Kuala Krai dan rakyat keseluruhannya di daerah ini. Derap langkahmu akan kami turuti hingga ke akhirnya, insyaallah. 

Bersama kita bina semula semangat warga Kuala Krai selepas bencana besar ini. Kita kutip kembali sisa sisa dari segala keruntuhan dan bangkit semula meneruskan baki perjalanan hidup ini. 

Ayuh bangkitlah Kuala Krai ku. 

Nazman Che Iberahim
Ketua Pemuda PAS Kuala Krai

No comments

Powered by Blogger.