Hujah TV9 jadi platform lontar pemikiran 'kartun' UMNO

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Hrkh) - Dua orang ahli panel program Hujah TV9 malam tadi (29 Januari) menjadikan program debat tersebut sebagai platform mengutarakan hujah-hujah 'kartun' dan tersasar.
-->


Dalam kekalutan orang politik menghadapi pilihan raya dan keterbukaan rakyat menerima pertembungan beberapa pihak yang terbuka di gelanggang demokrasi, ada pihak yang membelakangkan sistem demokrasi dalam negara.

Malangnya bagi arena akademik apabila, profesor di Jabatan Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia, Dr Mohd Fadhil Che Din mengemukakan pendapatnya, Malaysia sekarang ini tidak memerlukan pembangkang.

"Kita tidak perlu kepada pembangkang, sebaliknya kita hanya perlukan pengkritik yang hebat," ujarnya dalam rancangan televisyen, Hujah di saluran TV9 malam tadi.
Apabila ditanya hos rancangan tersebut, Profesor Dr Agus Yusof, mengenai pengkritik itu biasanya datang daripada kalangan pembangkang Mohd Fadhil menjawab bahawa menafikannya dengan menyatakan bahawa ia boleh datang daripada kalangan ahli parlimen yang dilantik daripada kalangan parti pemerintah sendiri.


"Bahkan pembangkang ini tidak perlu bertanding dalam pilihan raya, sebaliknya kerajaan boleh memberikan platform badan bukan kerajaan atau NGO kepada mereka untuk membolehkannya berperanan.

"Pembangkang yang ada pada hari ini sudah tidak relevan," tegasnya.
Sementara itu, ketika membincangkan mengenai tuntutan Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) sebelum ini yang menuntut agar Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) memanjangkan tempoh berkempen.


Beliau juga menyatakan bahawa tempoh kempen dalam pilihan raya yang panjang hanya membuang masa rakyat.
"Pilihan raya adalah gangguan kepada rakyat kerana kita bermain dengan emosi mereka.
"Ia juga akan menyebabkan emosi rakyat berasa terganggu dengan tekanan-tekanan yang tidak perlu," katanya.


Beliau mengambil contoh negara Singapura dalam mengamalkan kempen yang berkesan dan tidak sekadar memberikan tumpuan kepada tempoh berkempen semata-mata.
"Kenapa sekarang baru hendak disuarakan?" ujarnya lagi.
Jelasnya, kerajaan yang ada sekarang ini adalah merupakan kerajaan yang sudah cukup baik yang perlu dikekalkan tanpa perlu memberi ruang kepada pembangkang dalam pilihan raya nanti.


"Dengan kerajaan yang ada sekarang inilah, saya berupaya menjadi seorang pegawai yang berkualiti dan cekap," tegasnya.
Mengulas mengenai isu yang sama, seorang lagi ahli panel rancangan tersebut, Ahli Palimen Sri Gading, Dato' Mohamad Aziz berkata, isu tersebut bukan mengenai tempoh kempen yang menentukan kemenangan dalam sesebuah pilihan raya.
"Bahkan pada pilihan raya 1999, BN banyak kehilangan kerusi dalam keadaan tempoh kempen sebanyak lapan hari sahaja. Apa lagi yang tak cukup?" katanya.
Beliau mendakwa pembangkang hanya suka membuat kecoh dan andaian semata-mata.
"Mereka sekadar suka menganjurkan perhimpunan haram, buat bising dan buat cerita yang bukan-bukan," demikian ujarnya.


Pada masa yang sama, Harakahdaily juga menerima maklumbalas daripada penonton rancangan tersebut yang mendakwa Hujah yang disiarkan oleh TV9 ini telah menjadi pentas untuk Umno-BN menyebarkan propaganda mereka.

"Saya tak berpuas hati, kenapa pihak penerbit hanya jemput kedua-dua ahli panel yang menyokong sebelah pihak yang menyebabkan perbincangan menjadi tidak seimbang serta tidak mewujudkan idea yang pelbagai," ujar seorang pemanggil yang tidak mahu dikenali. - mr

No comments

Powered by Blogger.