Pemergian bekas Mufti Selangor satu kehilangan besar kepada rakyat

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Hrkh) - Suasana sayu menyelubungi perkarangan Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sungai Buloh yang menempatkan bekas Mufti Selangor, Almarhum Dato' Ishak Baharom, setelah disahkan meninggal dunia pada jam 3.05 petang semalam.
-->
Suasana sedih menyelubungi sanak saudara, teman-teman seperjuangan dan kenalan almarhum yang sejak beberapa hari lalu mengikuti perkembangan kesihatan almarhum.
Orang ramai turut berada di hospital tersebut untuk mengikuti perkembangan dan menziarahi almarhum.
Anak sulung almarhum, Shahmun Ishak yang ditemui Harakahdaily berkata, doktor yang merawat almarhum mencabut alat bantuan pernafasan almarhum pada jam 2.45 petang, setelah keadaannya tidak menunjukkan sebarang tindak balas dan disahkan meninggal dunia selepas itu.
Sebelum itu, pihak doktor telah meminta ahli keluarga almarhum untuk membawanya pulang setelah pihak doktor tidak boleh berbuat apa-apa untuk menyelamatkan almarhum.
Almarhum meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri dan koma akibat masalah tekanan darah dan dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pagi 29 Januari sebelum dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh apabila keadaannya semakin kritikal.
Tepat jam 4.00 petang, jenazah almarhum dibawa keluar dari ICU dan ditempatkan di Bilik Forensik untuk urusan membawa pulang jenazah.
Di bilik berkenaan, sanak-saudara dan orang ramai berkesempatan melihat dan memberi penghormatan terakhir kepada tokoh Islam negara itu, menjadikan suasana ketika itu lebih memilukan.
Almarhum kemudiannya dibawa ke kediamannya di Taman Sri Andalas, Klang dengan kereta jenazah.
Ketika jenazah tiba, orang ramai sudah mula membanjiri kediamannya untuk menziarahi almarhum. Turut berada di situ untuk memberi penghormatan terakhir ialah Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hassan Ali.
Dr Hassan ketika ditemui berkata, almarhum merupakan kenalan rapatnya selama lebih 20 tahun dan pernah bersama-sama dalam suasana kerja ketika di Majlis Agama Islam Selangor (Mais) sebagai Ahli Majlis.
"Almarhum juga merupakan seorang tokoh ulama yang menghormati orang lain, walaupun mereka yang lebih muda daripadanya. Pengalaman saya bersamanya ketika lawatan kerja ke Rusia dulu serta pengalaman sebilik dengannya ketika itu jelas menunjukkan sifat almarhum," tegas beliau.
Dr Hassan menyifatkan kematian almarhum sebagai satu kehilangan besar kepada rakyat.
Beliau turut melahirkan rasa terkilan atas sikap kerajaan yang tidak menggunakan kepakaran, kebijaksanaan, keilmuan yang terdapat pada almarhum dalam usaha mengembangkan dakwah di negara ini, khususnya di Selangor.
"Saya begitu terkilan dan merasakan kerajaan BN bertindak bodoh apabila menafikan hak almarhum untuk berkhutbah di masjid-masjid, kampung almarhum sendiri ketika hayatnya, sedangkan tiada tokoh ulama yang sama posisi sepertinya yang berani berkata yang benar dan komited dalam mengembangkan dakwah kepada rakyat dan negara," tegas beliau lagi.
Sementara itu Bernama melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Selangor Dato' Abdul Rahman Palil menyifatkan Allahyarham sebagai tokoh ulama yang disegani.
"Ketika masih menjadi mufti dahulu ceramah yang disampaikan Allahyarham sangat berkesan dan mudah diterima. Semoga jenazahnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman," katanya.
Mufti Selangor Dato' Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata pemergian Ishak adalah satu kehilangan besar dan semoga Allah S.W.T mencucuri rahmat ke atas rohnya.
"Saya ucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, semoga tabah menerima ketentuan Allah S.W.T," katanya.
Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Lipat Kajang, Seri Andalas, Klang pada jam 9.30 pagi ini (Khamis 31 Januari 2008), dan dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21./wann.

No comments

Powered by Blogger.