PAS dan BA akan halang eksploitasi wanita


KUALA LUMPUR, 30 Jan (Hrkh) - PAS berazam untuk memperbaiki taraf hidup dan kebajikan wanita negara ini daripada dieksploitasi pelbagai pihak termasuk bagi tujuan komersial.
-->
Sehubungan itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, bagi mencapai tujuan itu, PAS dan BA akan memperkenalkan undang-undang bagi mengelakkan wanita daripada dieksploitasi oleh mana-mana pihak.
Selain itu, kebajikan wanita bekerjaya juga akan terus dibela dengan memperkenalkan cuti bersalin selama 90 hari.
"Kita juga bakal memperuntukkan elaun khas bagi ibu tunggal (yang tidak mempunyai sumber pendapatan), penjagaan kesihatan serta mewujudkan pusat sukan dan taman rekreasi untuk wanita," katanya.
Nuridah turut membidas dakwaan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak kononnya masa depan negara akan tergadai jika rakyat mengundi pembangkang membuktikan bahawa BN benar-benar berada dalam tahap cemas dan tertekan.
"Siapa Najib yang boleh cakap begitu? Masa depan negara dan rakyat adalah ketetapan Allah," tegasnya.
Menurut beliau, kebangkitan rakyat untuk menolak BN kini berpunca daripada kegagalan BN untuk membela nasib rakyat.
Beliau berkata, dengan jumlah kemenangan yang besar dalam pilian raya umum lalu, BN langsung tidak menerima pakai pandangan parti pembangkang, NGO dan rakyat dalam melaksanakan sistem pentadbiran negara.
"Segala keputusan bukan berpihak kepada rakyat tetapi menjaga kepentingan periuk nasi dan kroni mereka,"tegasnya.
Nuridah mengingatkan rakyat agar berhati-hati dalam pilihan raya umum ke-12 dengan tidak memberi kemenangan kepada BN kerana segala kekayaan negara akan terus menjadi milik mereka.
Dalam pada itu, beliau menggesa jentera muslimat supaya terus bekerja bersungguh-sungguh disamping membanyakkan doa.- tajdid

No comments

Powered by Blogger.