Tidak Adakah Lagi Menteri UMNO Yang Cerdik Sikit?

Oleh Anak Bapa

Kekurangan bekalan minyak masak di pasaran tempatan menimbulkan banyak tanda tanya berhubung kemampuan kerajaan UMNO/BN memerintah negara kebelakangan ini. Kalau ingatan saya tidak salah, ini merupakan kali ke 2 berlaku krisis bekalan minyak masak di bawah pemerintahan Pak Lah. Dan jika kita bernasib baik, tidak lama lagi kita akan berdepan pula dengan krisis bekalan tepung gandum, dan entah apa lagi krisis kekurangan barangan keperluan. Inilah dia musibah dan kecelakaan yang tidak henti-henti menimpa kita di zaman Hadhari Pak Lah, zaman ada Had (seorang 5 kg) dan ada Hari (kadang-kadang ada, kadang-kadang tiada).Kegagalan Pak Lah untuk melantik menteri-menteri yang berwibawa bagi membantu meringankan tugasnya, juga menambahkan lagi tanda tanya kita berhubung status kesehatan mindanya.

Jikalau kita sudah dimualkan dengan gelagat Menteri “Undang-Undang” Nazri Aziz dan Menteri Penerangan Zainuddin Maidin, kini kita dihidangkan pula oleh Menteri yang tidak tahu menjaga Perdagangan Dalam Negeri dan menyusahkan Hal Ehwal Pengguna iaitu Dato’ Mohd Shafie Apdal. Saya telah lama memerhatikan sikap dan tindak-tanduk menteri ini dan hanya mempunyai satu kesimpulan tentangnya iaitu standardnya lebihkurang Pak Lah juga, banyak cakap tetapi tindakkan habuk pun tarak.

Ingat satu ketika dahulu apabila wartawan bertanya beliau samada harga minyak petrol akan naik, beliau berkata tidak mungkin, hanya untuk mendapati keesokkan harinya pengumuman Pak Lah mengenai kenaikkan harga minyak petrol paling tinggi dalam sejarah Malaysia iaitu sebanyak 30 sen seliter. Mana hendak disorok muka menteri yang bertanggungjawab ke atas sesuatu bidang tugas yang ia sendiri tidak tahu menahu atau tidak ada kawalan ke atasnya. Selepas itu kita lihat pula bagaimana beliau mengendalikan isu kenaikkan harga ayam, dan pelbagai barangan keperluan lain, dan kekurangan bekalan gula, tepung dan minyak masak. Di dalam semua keadaan ini modus operandi Shafie adalah sama dan boleh diramalkan. Pertama beliau akan memulakan silat pulutnya dengan memberi amaran bahawa kerajaan akan bertindak tegas ke atas peniaga yang menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya. Selang tidak beberapa hari, kita akan lihat terpampang di dada-dada akhbar serbuan mengejut oleh penguatkuasa KPDN&HEP di beberapa premis peniagaan menandakan kerajaan “serius” memantau dan bertindak ke atas peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab. “Sandiwara” serbuan ini akan berlangsung selama beberapa hari atau minggu dan apabila dirasakan para pengguna sudah mulai lupa maka beliau akan relaks semula dan barangan tersebut terus juga naik harga.

Jikalau didapatinya para pengguna terus resah, maka akan dicadangkannya supaya para pengguna memboikot barangan tersebut atau “tukar cara hidup”! Lakonan di atas telah diulang terlalu banyak kali sehingga kita sudah dapat membaca penghujung cerita, di mana tauke (kroni mereka) akan terus untung dan rakyat pasti menderita. Jadi, isu minyak masak ini pun apalah bedanya. Shafie dipetik sebagai berkata bahawa kekurangan bekalan minyak masak adalah kerana pertumbuhan penduduk Malaysia yang sangat pesat. Apa beliau ingat kita ini bodoh sangat ke? Adakah rakyat Malaysia semuanya kahwin serentak semalam dan hari ini semua sudah beranak pinak? Tahukah beliau apa yang dipanggil “projection” atau ramalan ke atas status kepenggunaan sesuatu barangan? Syarikat dan ajensi kerajaan memang biasa membuat tinjauan pasaran (market research) ke atas produk dari segi penggunaannya, berapa banyak diperlukan, bila ia banyak digunakan, peratus penambahan setiap tahun, dan sebagainya. Elok saya cadangkan Shafie pergi masuk sekolah semula untuk belajar semua ini sebelum menerima jawatan yang sangat penting ini.

Najib yang terkenal dengan “ubah cara hidup anda” apabila berdepan dengan krisis kenaikkan harga barangan, pula berpandangan bahawa masaalah penyeludupan di sempadan merupakan penyebab utama kekurangan bekalan minyak masak. Kenyataan bodoh begini yang juga beliau ucapkan ketika krisis bekalan minyak diesel dahulu membawa implikasi bahawa pegawai kerajaan yang bertugas di sempadan tidak cekap atau di dalam perkataan lain, korup kerana bersekongkol dengan para penyeludup.

Tetapi apa yang hendak dihairankan kerana hampir semua pimpinan UMNO/BN lebih korup dan penuh bergelumang dengan rasuah. Tahukah Najib bahawa Malaysia adalah negara pengeluar utama minyak sawit dunia? Maknanya kita mempunyai bekalan yang berlebihan sehingga boleh diekspot ke luar negara. Adalah tidak masuk akal minyak masak ke negara lain boleh dibekal sementara di negara sendiri rakyat kebuluran. Ini cerita lucu umpama ikan mati kehausan di dalam air. Sebenarnya kenapa tidak katakan kepada rakyat secara terus terang bahawa fenomena kekurangan bekalan ini adalah dibuat-buat untuk mengesahkan bahawa MINYAK MASAK AKAN DINAIKKAN HARGA? Senangkan begitu supaya kita tidak susah payah memaki hamun para pengeluar dan pengilang minyak masak.

Tetapi apalah hendak kita harapkan daripada pemimpin yang bodoh, sama saja yang di atas sampai ke bawah. Kebodohan mereka akan digunakan untuk terus menerus memperbodoh-bodohkan rakyat. Persoalannya, sampai bila rakyat rela diri mereka diperbodohkan? Anak Bapa: Kita sedang berdepan dengan kenaikkan harga minyak masak dan tepung, dan selepas itu (mungkin selepas pilihanraya umum bulan Mac kelak) tol dan minyak petrol, diesel, dan gas. Kenaikkan ini akan menyebabkan pelonjakkan harga barangan lain kerana ia merupakan barangan asas dan menjadi keperluan kepada pembuatan barangan lain. Akhirnya apa akan jadi kepada kita dan sanak saudara di kampong, yang pada masa ini pun tengah menderita dengan kenaikkan harga barangan keperluan harian. Cuba fikir-fikirkan. Perubahan perlu dibuat jika kita inginkan pembelaan dan masanya ialah sekarang iaitu pada pilihanraya umum ke 12.

....http://www.anakbapa.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.