Pulangkan semula wang rakyat


Sebulan lagi Datuk Seri Najib akan menjadi dan Perdana Menteri Malaysia. Setahun kemudian beliau akan berhadapan dengan pilihan raya Dewan Undangan Negeri Serawak dan empat tahun lagi Datuk Najib akan berhadapan dengan pilihan raya umum ke 13.

Dengan perkembangan mutakhir ini, Datuk Najib dijangka akan berhadapan dengan masalah yang cukup mencabar dalam kariaernya sebagai orang politik.

Amaran awal telahpun diterima oleh Datuk Najib dalam PRU ke12, PRK Permatang Pauh dan PRK Kuala Terengganu. Datuk Najib telah faham benar bahawa rakyat sekarang ini telah mula menolak Kerajaan Barisan Nasional.

Isu kemarahan rakyat juga difahami jelas oleh Datuk Najib iaitu korupsi dan penyelewengan.

Dengan kempen tanpa henti yang dilakukan Pakatan Rakyat, kebanyakan rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah, telah mengetahui dengan jelas bahawa hasil kekayaan negara selama ini tidak pernah diagihkan dengan betul. Banyak ketirisan dan penyelewengan berlaku semasa pemerintahan Tun Dr. Mahathir dan Abdullah Badawi.

Pendedahan yang dilakukan oleh kumpulan anti Abdullah dan Khairy mengenai usaha mereka membolot projek-projek kerajaan, menambahkan lagi keyakinan rakyat bahawa pemimpin-pemimpin UMNO ini memang gelojoh membina kekayaan diri.

Orang-orang Melayu masih jauh terkebelakang dari bangsa-bangsa lain dan rakyat hidup dalam kesempitan tetapi pemimpin-pemimpin negara dan kroninya mengaut kekayaan negara semahu-mahunya.

Tun Mahathir dan kroninya telah pun selamat dengan kekayaan yang dicedok dari perbendaharaan negara. Begitu juga Abdullah Badawi yang akan pergi dengan kekayaan yang diperolehi, pada bulan Mac ini.

Tinggallah Datuk Najib yang akan berhadapan dengan api kemarahan rakyat yang sedang meluap-luap sekarang ini. Kemelesetan ekonomi dunia akan menyemarakkan lagi kebencian rakyat kepada Kerajaaan Barisan Nasional.

Penubuhan SPRM yang dikononkan dapat mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan, rupanya menjadi badan yang mengesahkan pemimpin-pemimpin UMNO ini memang mengamalkan rasuah apabila tertangkapnya berdozen pemimpin UMNO oleh SPRM. Dalam keadaan yang kritikan ini, SPRM tidak ubah seperti senjata makan tuan.

Kalau Tengku Ahmad Rithauddeen mencadangkan supaya sayap-sayap UMNO seperti Wanita, Pemuda, Puteri dan Putera dimansuhkan bagi menyelamatkan UMNO dari hancur, saya pula mencadangkan supaya Datuk Seri Najib dan pemimpin-pemimpin UMNO memulangkan semula wang rakyat yang telah mereka ambil secara tidak betul dan bertaubat untuk tidak melakukannya lagi.

Sekiranya Datuk Najib berani berbuat demikian secara terang dan jujur, saya percaya bukan sahaja rakyat akan memberikan sokongan kepada UMNO tetapi parti-parti pembangkang juga akan memberikan sokongan kepada Datuk Najib.

Hanya inilah satu-satunya jalan yang paling cepat untuk menyelamatkan UMNO dari terus terkubur.


http://rahimkassim.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.