Catatan Bila Politik Kita Sejuk


Mengikuti perkembangan dunia artis memang antara kegemaran saya. Dunia itu dirasakan dekat dengan kehidupan kita, bukan saya sahaja tetapi sesiapa sahaja dan tidak patut disisihkan. Jujur, di kalangan sekian banyak artis, samada pelakon atau penyanyi, termasuk pemuzik dan pencipta lagu, ada yang menjadi minat saya dan tentu orang lain juga.

Demikian dengan lagu-lagu mereka, ada yang menjadi halwa telinga terutama ketika memandu bersendirian. Kelunakan suara mereka disulami muzik yang menyegarkan meletakkan kita di dunia yang tersendiri. Kadang-kadang sukar ditafsirkan.

Justeru, dunia itu tidak harus dibiarkan berselirat dengan kekarutan dan wajar benar dimurnikan. Saya kagumi Aishah, walau pun bertudung tetapi masih mampu mempersembahkan ‘Melukut di Tepi Gantang’ dengan sempurna.

Demikian dengan M Nasir, Kopratasa, Zainal Abidin, lagu-lagu mereka yang bersalut kemanusiaan, kecintaan kepada alam termasuk ketuhanan membuatkan kita merasa bahawa dunia itu mampu menyumbang dengan cukup berkesan kepada keharmonian kehidupan.

Cuma kadang-kadang kilauan ‘glamour’ menjadikan sebahagian artis kita terlupa daratan seketika. Saya tidak benci Mawi, tetapi ‘Wedding Of The Year’-nya membuatkan hati sedikit terguris untuk meminatinya. Demikian Dato’ Siti, ketidaksungguhannya untuk menutup aurat dengan sempurna turut menyumbang kepada keralatan berpanjangan untuk menghormatinya, walau tidak ternafi lagu ‘Cindai’ memang mempesona.

Aksi terlampau Faizal Tahir membuka baju ketika menyanyi suatu ketika dulu pula sukar lekang daripada ingatan. Aksi itu sangat berkesan untuk tidak menjadikan hati saya terbuka meminatinya tanpa menafikan dia memang berbakat besar.

Samada Mawi, Siti atau Faizal (sekadar menyebut sebahagian nama), diyakini mereka tidak mahu untuk terus mengharungi dunia mereka dengan pelbagai keserabutan itu. Namun persoalannya ialah, bila, bagaimana dan siapa yang akan tampil merungkai keserabutan itu?

Kerajaan Kelantan pernah merintisnya, tetapi usaha itu tidak ada kesinambungannya. Pelayaran telah dimulakan, tetapi layarnya seakan diturunkan kembali setelah perahu meluncur dengan selesa. Kalau sudah bersauh, pohon ia dibongkarkan.

Bagaimana dengan kumpulan nasyid kita?. Terus-terang saya katakan, kecuali beberapa lagu oleh kumpulan tertentu, nasyid kita kaku dan terlalu stereo-type. Balik-balik begitu juga. Bukan suara penyanyinya tidak bagus, tetapi muziknya hambar, tidak menyentuh dan dipersembahkan secara begitu-begitu sahaja. Kalau ibarat gulai, ia perlu ditambahi perasa. Nasyid kita masih belum mampu berdiri sama tinggi dengan genre muzik selainnya.

Jangan pandang dunia seni ini dari sudut material semata-mata, tetapi jenguklah sama sudut moralnya. Dunia itu jangan dibiar hilang jatidirinya. Jatidiri yang diacukan dengan acuan agama.


http://bongkarsauh.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.