Perubahan Dalam Umno Selepas Pemilihan Parti - Abdullah

DUBAI, 24 Jan (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Umno akan melakukan perubahan dan pembaharuan untuk memperkasakan parti selepas ia diterajui kepimpinan baru berikutan pemilihan Umno Mac ini.

Presiden Umno itu berkata parti akan mengambil langkah-langkah yang menepati kehendak anggotanya untuk muncul sebagai parti politik yang lebih berwibawa dan dapat memberi khidmat kepada rakyat selaras dengan janji-janji yang telah dibuat sebelum ini.

Abdullah yang juga Perdana Menteri berkata Umno telah mengumpulkan semua cadangan berhubung langkah pembaharuan yang perlu diambil melalui penganjuran "permukiman" Umno dan beberapa sesi perbincangan yang telah diadakan.

"Tetapi kami membuat keputusan bahawa oleh sebab pemilihan parti dah nak berlangsung, maka teruskanlah dengan pemilihan parti itu dulu dan kemudian kita boleh buat perubahan-perubahan yang dikehendaki dengan barisan kepimpinan yang baru," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan rasmi dua hari beliau ke Emiriyah Arab Bersatu di sini semalam.

Beberapa pihak dalam parti tunggak Barisan Nasional (BN) itu dilapor telah melahirkan harapan untuk melihat Umno melaksanakan perubahan radikal untuk memperkuatkan parti dan meraih kembali sokongan rakyat.

Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini berkata BN dan Umno khususnya tidak seharusnya mengambil masa terlalu lama untuk melaksanakan segala bentuk pembaharuan yang dijanjikan.

Abdullah berkata: "Pada waktu ini sudah ada hasrat di kalangan anggota Umno sendiri bahawasanya Umno perlu diperkasakan dan perlu ditingkatkan lagi kemampuannya, dan dengan itu sekaligus kewibawaan parti akan bertambah teguh lagi.

Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan oleh Majlis Tertinggi Umno sebelum ini.

"Cuma kita kata kita belum dapat laksanakan lagi kerana kita hendak biarkan proses pemilihan dalam Umno itu selesai, dan lepas itu barulah tindakan-tindakan yang perlu diambil itu dilaksanakan," kata beliau.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.