Ekoran isu derma lembu, Khalid mahu dedah belanja BN

KUALA SELANGOR: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau akan mendedahkan dokumen membabitkan perbelanjaan kerajaan negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Beliau berkata, tindakan ketua pembangkang dan bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang mendedahkan dokumen mengenai pembiayaan lembu korban baru-baru ini telah mendorong beliau untuk melakukan tindakan yang sama.

Bagaimanapun, beliau berkata dokumen itu akan hanya didedahkan pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor.

"Ini sebab saya belajar daripada dia (Dr Mohamad Khir) tetapi saya akan dedahkan hanya di dalam sidang DUN (Dewan Undangan Negeri) Selangor... bukan di tempat sembarangan.

"Kita mesti hormati OSA (Akta Rahsia Rasmi) kerana kita telah angkat sumpah tetapi saya akan buat (pendedahan) dan saya percaya dia (Mohamad Khir) setuju," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Projek Perintis Laman Dapur Dewan Undangan Negeri Ijok di sini semalam.

Baru-baru ini Dr. Mohamad Khir mendedahkan beliau mempunyai salinan minit mesyuarat bertarikh 28 November tahun lepas yang disahkan Menteri Besar yang mengarahkan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNs), Selangor Incorporated Corporation (SIC) membiayai RM110,400 untuk pembelian 46 ekor lembu bagi ibadah korban dan peruntukan itu perlu ditanggung anak syarikat kerajaan negeri yang lain.

Bekas Menteri Besar Selangor itu juga mendakwa mempunyai resit pembayaran bagi lembu berkenaan berjumlah RM110,400 bertarikh 16 Disember dan memberitahu kesemua bukti itu telah diposkan kepadanya.

Ditanya sejauh mana kebenaran dakwaan Dr. Mohamad Khir itu, Abdul Khalid berkata: "(Dakwaan) Tidak berapa betul kerana saya hanya beri senarai surau di Bandar Tun Razak apabila PKNS putuskan untuk serah lembu di kawasan itu setelah mendermakan lembu di seluruh kawasan Selangor."

"PKNS dan anak syarikatnya hanya menjalankan tanggungjawab sosial korporatnya sahaja," kata beliau dipetik Bernama.

Mengenai dakwaan Mohamad Khir bahawa segala hasil negeri perlu dimaklumkan kepada Sultan Selangor, Abdul Khalid berkata, ketua pembangkang itu tidak sepatutnya membabitkan sultan dalam isu itu.

Sementara itu, beliau berkata dalam pertemuannya dengan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini, baginda bersetuju sebanyak RM1 juta daripada hasil kutipan zakat disumbangkan kepada Palestin.

No comments

Powered by Blogger.