Kenyataan Media AMK Selangor

Kenyataan Media AMK Selangor


Tarikh : 22-Jan-2009 (Khamis)

AMK Selangor Menyokong Penuh Perlantikan Othman Omar Sebagai Pengurus Besar PKNS.

Bermula 1 Februari 2009, PKNS akan mencatat sejarah kerana mendapat seorang Pengurus Besar baru yang berlatar-belakangkan korporat. Beliau mempunyai pengalaman yang luas selama 25 tahun di dalam dan luar negara dalam bidang perumahan, hartanah dan korporat.

Othman Omar (49 tahun) pernah dianugerahkan Biasiswa Persekutuan Industri Britain untuk belajar dan bekerja dengan George Wimpey PLC dalam projek pembangunan hartanah di bawah Wimpey Homes-Taylor-Wimpey, di London dan beberapa tempat lain di England.

Sekembalinya ke Malaysia pada 1989, Othman menyertai Energoproject, sebuah syarikat dan kontraktor dari Yugoslavia untuk membina stadium utama Shah Alam bernilai RM850 juta. Beliau kemudiannya mengetuai Bahagian Kejuruteraan PROPEL Berhad, menjadi Pengurus Besar KESAS Holding Berhad dan Pengarah KLWK Sdn Bhd - sebuah anak syarikat SP Setia Berhad.

AMK Selangor mengucapkan tahniah dan menyokong penuh pemilihan beliau sebagai Pengurus Besar PKNS yang baru. Dengan latar belakang yang begitu cemerlang, Othman Omar adalah pilihan yang tepat dan muktamad.

Walau bagaimanapun, terdapat usaha-usaha oleh pihak tertentu yang cuba menguji kredibiliti beliau sebagaimana yang diterbitkan oleh sebuah media berbahasa Inggeris baru-baru ini.

AMK Selangor merasakan ada konspirasi oleh pihak tertentu yang bertujuan memintas beliau dari menerajui PKNS sebagai Pengurus Besar yang baru. Sebagai sebuah konglomerat yang besar pasti jawatan tertinggi itu menjadi idaman pelbagai pihak. Bagaimanapun, ia hanya diperuntukan bagi mereka yang benar-benar layak mendudukinya.

AMK Selangor tidak melihat sebagai satu kesalahan bagi Othman Omar terlibat dalam perniagaan sebelum ini kerana beliau tidak terikat dengan mana-mana arahan perkhidmatan kerajaan. Pengakuan beliau sudah tidak terlibat aktif lagi dengan perniagaan yang dipersoalkan akhbar berbahasa Inggeris tersebut sudah memadai dan tidak perlu dipersoalkan, apatah lagi beliau sudah melalui proses pemilihan yang amat ketat dari sejumlah 58 calon yang telah disenarai pendek oleh satu Panel Pemilihan bebas.

Difahamkan juga, 3 Exco Kanan Kerajaan Pakatan Rakyat dari PKR, DAP dan PAS juga terlibat dalam meneliti calon-calon yang memohon atau diketengahkan dari seluruh negara. Ini menunjukkan bahawa Exco Kerajaan Negeri bukanlah bertindak seperti "RUBBER STAMP" yang selalu dimomokkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sebelum ini.

Sehubungan itu, AMK Selangor memberikan sepenuhnya sokongan kepada Sdra Othman Omar sebagai Pengurus Besar yang baru untuk PKNS. Pada waktu yang sama kita juga berharap PKNS diperbetulkan halatujunya dan melaksanakan pengurusan dan perbelanjaan yang lebih berhemah dan memberi ruang seluas-seluasnya untuk membantu usahawan-usahawan bumiputera yang layak untuk membantu pembangunan PKNS khasnya dan Negeri Selangor amnya.

Mengenai laporan rasuah yang dibuat oleh GERAK yang mendakwa Menteri Besar telah menggunakan wang negeri untuk menaja 46 ekor lembu korban untuk Parlimen Bandar Tun Razak, AMK Selangor beranggapan ada unsur-unsur terancang untuk memerangkap Menteri Besar dalam isu ini dan ia juga mungkin berkait rapat dengan isu perlantikan Othman Omar sebagai Pengurus Besar PKNS yang baru.

Dalam aduannya kepada SPRM yang disiarkan oleh Malaysiakini semalam, Mohd Nazree mendakwa Tan Sri Abdul Khalid telah membeli lembu tersebut pada harga RM110,400.00 dengan menggunakan dana sebuah agensi kerajaan negeri yang dikenali SICSB. Pengerusi Gerak itu juga mendakwa, mereka menerima dokumen minggu lalu dari seorang individu yang bekerja dengan agensi kerajaan negeri terbabit iaitu Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd.

Menurut laporan, SICSB merupakan salah satu dari enam anak syarikat PKNS yang telah menyumbang sebanyak 370 ekor lembu untuk diagih-agihkan kepada semua Masjid dan Surau di seluruh Negeri Selangor.

Tan Sri Khalid juga menegaskan bahawa dana kerajaan negeri Selangor tidak digunakan untuk pembelian lembu korban bagi Parlimen Bandar Tun Razak. Sebaliknya lembu korban telah didermakan oleh enam anak syarikat dan syarikat bersekutu kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Adalah difahamkan, bahawa syarikat-syarikat tersebut telah menaja peruntukan pembelian lembu korban bagi Bandar Tun Razak atas dasar Corporate Social Responsibility (CSR) atau Tanggungjawab Sosial Korporat tanpa arahan dari mana-mana pihak diperingkat kerajaan negeri.

AMK Selangor ingin menegaskan seolah-olah ada dalang di dalam pihak PKNS sendiri yang cuba memerangkap Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi PKNS dalam isu yang dimainkan sepanjang minggu ini. AMK Selangor akan mendedahkan permainan politik tidak sihat yang cuba dimainkan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini kiranya perlu.

Bagaimanapun, AMK Selangor menyambut baik hasrat GERAK untuk membanteras rasuah namun pada masa yang sama melahirkan rasa hairan mengapa GERAK tidak kedengaran laungan anti rasuahnya sepanjang kempen Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu tempuh hari? Kita berharap GERAK tidak mengamalkan “Selective Prosecutions” atau pendakwaan terpilih dalam usahanya memerangi rasuah.


"Ke Arah Selangor Yang Lebih Cemerlang"


Mazli Saring,
Ketua Penerangan AMK Selangor

No comments

Powered by Blogger.