Keputusan bina LCCT baru tiga minggu lagi




KUALA LUMPUR: Keputusan mengenai cadangan AirAsia Bhd untuk membina sebuah lapangan terbang berharga RM1.6 bilion di Labu, Negeri Sembilan akan diketahui dalam dua hingga tiga minggu lagi, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat.

"Sebenarnya (kerajaan) belum buat keputusan lagi. Apa yang penting segala maklumat dan butir-butir yang berbangkit akan diperhalusi secara terperinci," katanya selepas menghadiri majlis makan malam sempena Tahun Baru Cina yang dianjurkan MCA di sini, malam tadi.

Ong berkata kerajaan memerlukan masa membuat sebarang keputusan kerana ia membabitkan banyak pihak.

"Kementerian Pengangkutan, Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Kementerian Kewangan, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan AirAsia memang sedang bermesyuarat untuk kebaikan semua pihak," katanya.

Bernama hari ini melaporkan kerajaan telah menolak cadangan pembinaan lapangan terbang itu, tetapi syarikat penerbangan tambang murah itu dikatakan memperoleh beberapa konsesi, demikian menurut beberapa sumber.

MAHB turut dilaporkan akan diberi tanggungjawab membina sebuah terminal penerbangan tambang murah (LCCT) baru, berdekatan terminal sekarang, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

Turut dilaporkan bahawa keputusan untuk membatalkan projek itu disampaikan kepada AirAsia pada mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan dihadiri pegawai Kementerian Kewangan, MAHB dan AirAsia. - Bernama


wayang kulit dari kerajaan akan bermula

No comments

Powered by Blogger.