Bajet 2012 Najib Perlu Tangani Beban Rakyat- Anwar

PETALING JAYA 25 SEPTEMBER : Penasihat EKonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan Belanjawan Negara yang bakal dibentang bulan depan perlu mencakupi perihal yang memberi kesan besar kepada rakyat seperti perumahan awam dan harga barang.

Menurut beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan seharusnya memberi perhatian terhadap rakyat dan bukan hanya menumpukan kantung kroni.

Menurut beliau, kegagalan mengawal ekonomi negara sejak lebih sedekat lamanya sehingga mengakibatkan berbilion ringgit wang negara dibazirkan menyebabkan negara kurang daya kompetetif di peringkat antarabangsa.

“Kita dah masuk tahun ke 14 defisit, kawalan kewangan tidak bertanggungjawab. Tiada perubahan besar dalam menentang korupsi. Yang kaya mendapat faedah besar menerusi IPP dan penswastaan. Mereka mesti ambil perhatian isu inflasi, isu gaji golongan berpendapatan rendah dan perumahan awam di golongan menengah dan rendah,” kata beliau kepada para wartawan di rumah terbuka aidilfitri Parti Keadilan Rakyat di sini hari ini.

Sebelum ini, laporan Ketua Audit Negara tahun 2008 menyatakan ketirisan sebanyak RM28 billion setahun mendatangkan kejutan kepada rakyat dan ahli parlimen Pakatan Rakyat.

Pemimpin Pakatan Rakyat menganggap ketirisan sebanyak RM 28 billion setahun adalah bencana yang tidak mungkin dapat diatasi kerana ketirisan itu berlaku dan dilakukan oleh pemimpin-pemimpin utama negara yang sudah menjadi budaya tegar mereka.

Hasil pemerhatian tersebut, Pakatan memperkenalkan Buku Jingga yang menggariskan keutamaan dalam perbelanjaan negara dan menutup segala ketirisan dalam sistem kewangan negara.

Teori yang sama dipraktikkan di Selangor dan Pulau Pinang dan buktinya kedua-dua negeri itu mempunyai lebihan pendapatan.

Malah menurut Anwar, beliau tidak yakin janji Najib bahawa belanjawan yang akan dibentangkan pada 7 Oktober depan adalah inklusif, menumpukan rakyat dan meningkatkan langkah-langkah transformasi.

Ujarnya, Najib sudah melaungkan perkara sama demi mendapatkan populariti sejak memegang kementerian itu tiga tahun lalu namun masih tiada apa yang berubah. Beliau memberi contoh pemansuhan ISA sebagai bukti kenyataan beliau.

“Seperti ISA, tiada apa yang berlaku? Apa idea di sebalik pengumuman pemansuhan itu? untuk membebaskan masyarakat dan menghormati demokrasi. Ini masih tak berubah,”katanya.

No comments

Powered by Blogger.