BN Sabah digesa henti penjualan pulau serta-merta

(Oleh: Masdar Wahid)

SABAH: KEADILAN mendesak kerajaan Barisan Nasional di Sabah menghentikan penjualan pulau-pulaunya serta-merta, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), parti itu, Dr Roland Chia Ming Shen.

Beliau yang juga Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) menegaskan, penjualan itu mengundang ancaman keselamatan di negara ini.

“Kita mendesak kerajaan Sabah umumkan siapa pemilik pulau-pulau itu dan mungkinkah ia diberi kepada kroni,”

“Kedua, kita juga menuntut kerajaan negeri dedahkan sejak bila pemilik tanah memiliki geran dan atas tujuan apa penjualan pulau itu dibuat,” katanya dihubungi Keadilandaily.com hari ini.

Roland bimbang jika penjualan itu tidak dihentikan, ia bakal mengundang ancaman pengganas.

“Dalam keadaan pulau tidak dijual pun, rakyat kita diculik seperti yang kerap berlaku di Semporna, inikan pula jika pulau-pulau kita dijual,” tegas beliau.

Beliau mengulas kemarahan rakyat Sabah berhubung penjualan pulau Mengalum, Pandanan dan Montukod yang dijual menerusi pusat pasaran talian terus berpangkalan di Toronto, Kanada.

Pulau Mengalum terletak di luar pantai Kota Kinabalu seluas 101 hektar, dijual kepada umum pada harga AS$18 juta.

Pulau Pandanan berdekatan Semporna (empat hektar) pula dilapor dijual pada harga AS$2 juta dan Pulau Montukod, kira-kira satu kilometer di luar Kinarut (kira-kira tujuh hektar) dijual dengan harga AS$11.266 juta.

Kelmarin, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur negeri, Datuk Osman Jamal memberitahu, penjualan pulau itu boleh dilakukan kreana ia ‘milik persendirian’.

Sementara itu Datuk Seri Musa Aman selaku Ketua Menteri kekal membisu walaupun penjualan tiga pulau Sabah itu sudah lama diperkatakan di internet.

Sebelum ini, Pensyarah Undang-Undang Universiti Malaysia Sabah (UMS), Marja Azlima Omar menasihatkan kerajaan Sabah segera menamakan 250 pulau di negeri itu.

Ini kerana Marja bimbang pulau-pulau itu berdepan tuntutan negara jiran seperti berlaku dalam kes pulau Batu Putih.

Lebih 500 pulau wujud di Sabah dengan separuh daripadanya tidak mempunyai nama termasuk 55 di Tawau, daerah yang bersempadan dengan Indonesia.

1 comment

azman kamarul said...

ok lsh tu....di semenanjung depa "jual" Tanjung Pagar dan Pulau Batu Putih

Powered by Blogger.