Perundangan Islam: PAS cadang muzakarah libatkan NGO, Umno

Oleh G Manimaran


KUALA LUMPUR, 29 Sept – PAS mencadangkan agar diadakan satu muzakarah untuk meleraikan kekeliruan dan membetulkan persepsi negatif yang timbul dalam masyarakat terhadap sistem perundangan Islam di negara ini.

Selain itu PAS turut mencadangkan agar muzakarah ini dihadiri oleh para mufti dan Umno mewakili parti pemerintah.

“Muzakarah ini diharap dapat diadakan secara terbuka bagi memberi ruang luas kepada seluruh masyarakat mendengar pandangan semua pihak, bukannya tindakan sebelah pihak,” kata Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini.

PAS mengesyorkan pandangan ini ketika negara menyaksikan kontroversi berkaitan dengan pelaksanaan hukum hudud.

Isu ini muncul kembali minggu lalu.

Kerajaan negeri Kelantan menggerakkan hasrat mahu melaksanakan hudud pada 1993.

Kata Tuan Ibrahim, Islam sebagai sebuah agama yang ditegakkan di atas nas dan hujah, PAS melihat muzakarah adalah medan menambahkan ilmu dan maklumat secara sihat yang perlu diterima dan disokong oleh semua pihak.

Dipetik Harakahdaily, Tuan Ibrahim menegaskan, isu hudud bukan satu isu politik, tapi ia merupakan satu isu yang seringkali dihebahkan terutama menjelang pilihan raya.

“Sedangkan isu hudud merupakan isu yang menyentuh umat Islam secara langsung, dan ianya adalah tuntutan syarak bagi pemerintah untuk melaksanakannya,” kata beliau.

No comments

Powered by Blogger.